HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 April 2008

"Belum ada MP Pakatan Rakyat yang sedia kosongkan kerusi untuk saya" Anwar
Oleh Bernama


Kuala Lumpur : Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana anggota Pakatan Rakyat yang mahu melepaskan kerusi bagi membolehkannya bertanding dalam pilihan raya kecil.

Beliau bagaimanapun mengaku bahawa secara lisan, beliau ada menerima tawaran beberapa anggota Parlimen dari Pakatan Rakyat yang sudi melepaskan kerusi mereka untuk memberi ruang kepada beliau bertanding sebagai calon PKR.

Katanya tawaran yang diterima lebih kepada cakap mulut dan belum ada perbincangan secara serius diputuskan mengenai perkara itu.

"Saya mahu bertanding, tapi buat masa ni kita tunggu dululah," katanya yang ditemui pada Majlis Makan Malam Anggota Parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Serbaguna Parlimen di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan berkata sebarang keputusan mengenainya akan dimaklumkan kepada pihak media.

Anwar, 57, yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah pada 2004, dilarang bertanding selama empat tahun mengikut undang-undang pilihan raya, dan tempoh larangan itu berakhir pada 14 April lepas.

Tiada ulasan: