HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 April 2008

Jamal Abdillah hadapi tuduhan ugut isteri


SHAH ALAM: Penyanyi Jamal Abdillah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam terhadap tuduhan mengugut isterinya, Fatimahtuzahra Samad, 25, melalui SMS pada April tahun lepas.

Jamal, 49, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Seksyen 4, Shah Alam pada 7.44 pagi 21 April tahun lepas dengan kata-kata ugutan yang berbunyi "tunggu dan lihat apa akan terjadi".

Penyanyi itu diwakili peguam Datuk Mohd Taqiyuddin Yahya. Semasa prosiding, Fatimahtuzahra memohon kepada mahkamah untuk menarik balik tuduhan tersebut dan juga satu lagi tuduhan iaitu menyebabkan kecederaan kepada beliau akibat tumbukan di pipi pada 8.25 malam pada hari dan di alamt yang sama.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan tuduhan menyebabkan kecederaan itu ditarik balik mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.

Pegawai pendakwa, Cif Inspektor Adzlin Mohd Amin berkata beliau perlu membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan ugutan itu terhadap Jamal dan beliau memohon tempoh dua bulan kepada mahkamah untuk berbuat demikian.

Majistret Suriyanilakma Abdul Kadir membenarkan Jamal diikat ikat jamin RM2,000 dan menetapkan 12 Jun bagi sebutan semula. BERNAMA

Tiada ulasan: