Setiausaha Politik MB Kedah fail petisyen Dun Belantik
Bashir Ishak
ALOR STAR (Hrkh) - Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohd. Sanusi Md. Nor hari ini memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-12 yang lalu bagi Dun N.23 Belantik.
Petisyen tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Star melalui firma Taulan Rasul & Co. jam 10.30 pagi tadi.
Pada PRU ke-12 pada 8 Mac yang lalu, Mohd. Sanusi sebagai calon PAS tewas kepada calon BN, Mohd. Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.
Tiga nama disenaraikan sebagai defendan dalam petisyen tersebut iaitu Mohd. Tajudin, Suruhanjaya Pilihan raya dan Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Sik.
Mohd Sanusi yang dihubungi menjelaskan terdapat 13 tuntutan yang dikemukakan di dalam petisyen tersebut dan antaranya ialah berkaitan kemasukan 1,031 pengundi pos di Daerah Mengundi Kota Aur yang tidak mengikut peraturan.
Menurutnya, seramai 1,031 pengundi pos tersebut tidak tercatat ketika nama bagi Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku ke 3 tahun 2007 dibuka untuk pameran dan bantahan. Bagaimanapun nama-nama tersebut diwartakan dalam DPT 3 sebagai pengundi pos dan sekaligus digunapakai dalam PRU ke 12.
Peguam Darshan Singh mengetuai pasukan 12 orang peguam yang bakal menghadapi perbicaraan kes ini yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.
Hari ini adalah hari terakhir bagi mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan PRU yang lalu untuk memfailkan petisyen. Petisyen dibuat dalam masa 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan. Keputusan PRU ke-12 diwartakan pada 8 April lalu. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan