HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 April 2008

Keputusan kes Siti Fatimah untuk keluar Islam diketahui 8 Mei

PULAU PINANG: Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang hari ini menetapkan 8 Mei ini untuk keputusan permohonan seorang wanita mualaf, Siti Fatimah Tan Abdullah, 38, bagi mendapatkan pengisytiharan keluar daripada Islam yang dikemukakannya dua tahun lepas.

Peguam syarie Ahmad Munawir Abdul Aziz, yang mewakili Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), berkata keputusan kes itu akan dibacakan oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mendengar kes itu dahulu, Othman Ibrahim, yang kini Ketua Hakim Syarie Perlis.

Ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, beliau berkata, keputusan mengenai kes itu telah dibuat dan hanya menunggu ia diumumkan.

Pada 10 Julai 2006, Siti Fatimah atau nama asalnya Tan Ean Huang, memfailkan permohonannya itu dengan menamakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutannya, Siti Fatimah berkata beliau tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu sekadar untuk mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki warga negara Iran bernama Ferdoun Ashanian.

Dia memeluk Islam pada 25 Julai 1998 dan berkahwin dengan Ferdoun pada 16 Sept 2004.

Siti Fatimah, yang pernah bekerja sebagai tukang masak, memfailkan permohonan itu selepas ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri tanpa sebarang sebab.

Dalam tuntutannya itu, Siti Fatimah menyatakan bahawa sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya, Buddha, dan memakan daging babi.
BERNAMA

Tiada ulasan: