Majlis angkat sumpah Dun Perak dicemari perang mulut
Ekmal Yusof
IPOH (Hrkh) - Majlis angkat sumpah serta menandatangani surat sumpah jawatan oleh 59 orang Adun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dekat sini semalam dicemari perang mulut di antara Adun Pakatan Rakyat dengan Adun Barisan Nasional (BN).
Perang mulut berlaku selama kira-kira satu jam itu hampir mengeruhkan istiadat angkat sumpah tersebut, namun ia berjaya diatasi dengan penuh sopan santun serta bijaksana oleh Setiausaha Dewan Negeri, Abdullah Bin Antong Sabri.
Insiden bermula apabila BN mencadangkan Dato' Junus Wahid sebagai Yang Dipertua Dewan, tetapi ia telah dibantah oleh Pakatan Rakyat kerana ketika usul itu dibuat bekas Yang Dipertua Dewan itu tidak ada di dalam Dewan.
Kejadian bertikam lidah tersebut berterusan hampir satu jam. Setelah itu timbul kekecohan mengenai cara pengundian hendak dibuat, sama ada ada cara angkat tangan cara terbuka atau undi sulit.
Atas cadangan Setiausaha Dewan Negeri akhirnya Dewan sebulat suara bersetuju menggunakan cara undi sulit dan dikira kemudianya oleh Setiausaha Dewan Negeri di hadapan semua Adun bagi memilih Yang Dipertua Dewan Negeri.
Setelah pengiraan dibuat, Adun Tronoh (DAP) V Sivakumar a/l Varatharaju dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan, sementara Adun Jelapang (DAP) Hee Yit Foong (DAP) dipilih menjadi timbalannya.
Lantikan Yang Dipertua daripada kaum India itu adalah sejarah pertama di Dun Perak dan pelantikan timbalannya pula merupakan julong kali dari kalangan wanita.
Setelah kedua mereka menjalankan istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah tersebut, Setiausaha Dewan Negeri telah mengumumkan giliran Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melakukan angkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan.
Kemudian ia diikuti barisan seramai Adun Pakatan Rakyat serta disempurnakan seterusnya oleh Adun BN yang diketuai bekas Menteri Besar, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali.
Majlis istiadat tersebut yang mencatat penuh sejarah itu berlangsung selama tiga jam dan tamat pada jam 6 petang semalam. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan