HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 April 2008

Hishamuddin mohon maaf hunus keris


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memohon maaf kepada orang Melayu dan bukan Melayu berhubung isu keris yang dihunusnya, dua tahun lalu.

Hishammuddin berkata sebagai pemimpin parti yang bertanggungjawab beliau harus berbuat demikian jika tindakannya menghunus keris "Panca Warisan" pada perhimpunan agung Pemuda Umno itu menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) di lima negeri pada pilihan raya umum bulan lepas.

Beliau berkata isu keris antara beberapa perkara yang disentuh secara terbuka dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemuda BN yang dipengerusikannya bagi melihat punca kemerosotan parti pada pilihan raya umum lepas.

"Saya beritahu kepada mereka bahawa saya sendiri bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Kalau sekiranya ia jejas prestasi (parti) kita tak boleh lari daripada realiti.

"Dan kalau itu boleh menjejaskan sesiapa, saya kata saya minta maaf kepada bukan Melayu dan Melayu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung lebih tiga jam sejak pukul 3.30 petang di Tingkat 38, Menara Dato Onn di sini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata realiti sebenar kenapa keris itu dihunus telah dimanipulasi pihak tertentu.

"(Saya minta maaf) kepada bukan Melayu kerana mereka rasa diri mereka takut-takut dengan satu simbol tapi kepada orang Melayu saya minta maaf kerana tak dapat mempertahankan simbol warisan kita yang nilai sebenarnya tidak seperti yang digembar-gemburkan. Tapi realitinya memang begitu," katanya dalam nada kesal.

Hishammuddin bagaimanapun berkata sebagai pemimpin beliau akan menerima hakikat jika benar isu keris itu antara penyebab kepada kekalahan BN.

"Saya bukannya orang yang angkuh atau `arrogant' yang tak boleh terima hakikat itu. Itu merupakan satu pengajaran yang sedih.

"Tapi kalau politik sebegitu rupa, kita sebagai pemimpin mesti besar hati dan jiwa meletakkan kedudukan BN (parti) lebih penting daripada sesuatu," katanya.

Ditanya apakah itu bermakna keris Panca Warisan tidak lagi bermakna, Hishammuddin berkata ia amat bermakna kepadanya sebagai orang Melayu tetapi tidak ramai yang mempertahankannya.

"Keris itu takkan ke mana. Apa yang dipegang Datuk Onn Jaafar (Pengasas Umno) 46 tahun dulu itu baru disedari hari ini," tegasnya.

Isu keris telah dimainkan parti bukan BN khususnya DAP bagi menarik sokongan pengundi kaum bukan Melayu pada pilihan raya umum lepas dengan membentuk persepsi negatif.

Hishammuddin berkata Pemuda BN hari ini telah bersepakat untuk melihat ke hadapan dan menumpukan usaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu.

Beliau berkata BN telah terbukti memerintah negara dengan baik dan bukannya seperti parti lain yang baru membentuk pakatan untuk memerintah negara.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, Pemuda BN menerima suara rakyat yang mahu perubahan dan telah menunjukkannya dalam keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau berkata mesyuarat hari ini juga bersetuju bahawa Pemuda BN Sabah dan Sarawak perlu diberi peranan penting dalam politik arus perdana di peringkat nasional.

Mereka perlu memainkan peranan penting bukan sekadar meminta jawatan Kabinet dan royalti minyak tetapi berkongsi kejayaan menarik sokongan pengundi di Sabah dan Sarawak dalam konteks masyarakat berbilang bangsa dan agama, katanya.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai memuji tindakan Hishammuddin yang berani memohon maaf secara terbuka itu dalam konteks kepentingan semua kaum di negara ini.

"Hishammuddin berani untuk menilai semula (tindakannya) dan memohon maaf jika menghunus keris itu menyakitkan mana-mana pihak," katanya.

Mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting semalam bahawa parti itu tidak bersetuju dengan ketuanan Melayu dan manamana dasar yang mementingkan kaum tertentu, Liow berkata MCA adalah parti komponen BN yang mengambi kira kepentingan semua kaum

"Kita tak main politik perkauman, kita politik pelbagai kaum," katanya mengulas laporan akhbar Cina memetik Ong sebagai berkata demikian dalam satu temubual. BERNAMA

Tiada ulasan: