HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 April 2008

Pulau Pinang mahu terus bincang projek RMK9 dengan kerajaan pusat


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu terus berbincang dengan kerajaan pusat berhubung pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), termasuk projek monorel.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata setakat ini beliau tidak pasti berhubung status projek di bawah RMK9 di negeri itu sama ada diteruskan atau dilewatkan.

Beliau akan mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada kerajaan pusat, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

"Itulah sebab lebih baik kita bersemuka dan berjumpa (kerajaan negeri dengan kerajaan pusat). Saya rasa lebih baik ada interaksi secara langsung, (berikutan) adanya laporan yang tidak berapa tepat dalam media," katanya ketika ditanya mengenai projek di bawah RMK9 yang melibatkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Lim juga berkata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah memaklumkan kepada beliau hari ini bahawa laporan media tempatan minggu lepas yang menyatakan cadangan projek Sistem Light Monorail Transit di negeri Pulau Pinang telah ditangguhkan adalah tidak benar

"Saya difahamkan oleh beliau (Nor Mohamed), itu bukanlah seperti yang dilaporkan oleh media kerana ada dua akhbar, ada dua laporan yang berbeza. Mana laporan nak kita percaya, saya lebih percaya kepada laporan yang lebih positif," katanya.

Lim menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh terhadap apa-apa juga projek yang boleh memanfaatkan rakyat di negeri itu.

Sementara itu, Lim juga menafikan kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bahawa kerajaan negeri telah memberikan kontrak monorel itu kepada syarikat Melewar Group.

"Kami hanya menerima dan melihat cadangan itu. Saya ingat satu dua minggu lagi, kita akan menunggu taklimat yang diberikan oleh Malaysian Reources Corporation Bhd (MRCB).

"Kerajaan negeri belum membuat apaapa keputusan lagi, kalau ada apaapa keputusan atau kontrak yang nak ditawarkan, kita akan buat secara `open tender' (tender terbuka) dan bukan seperti yang dinyatakan oleh beliau bahawa kita dah putuskan dan buat `open tender'," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: