Krisis beras dan krisis 'rabaan'
Oleh Fudzail
KRISIS kekurangan makanan yang melanda dunia menjadi berita besar di mana-mana. Di UAE, dilapurkan yang bekalan stok beras hanya bertahan untuk tiga bulan sahaja.
Malah kenaikan mendadak harga beras memang cukup terasa sekali.
Salah satu punca adalah kerana kerajaan India mengawal ekspot beras. Dengan warga India menjadi majoriti di kawasan Teluk, permintaan terhadap beras memang tinggi.
UAE mengimpot sebanyak 80 ribu tan beras setahun. Majoriti pemakan nasi adalah dari golongan berpendapatan sederhana ke bawah. Krisis beras menambahkan beban kenaikan barangan dan inflasi yang terus mengurangkan simpanan para ekspatriat di UAE.
Krisis beras juga kabarnya melanda tanahair yang pernah menjadi salah sebuah negara pengeluar beras yang besar. Pada hari ini kita menjadi pengimpot beras melalui pemegang AP beras tunggal, BERNAS.
Saya teringat satu projek di kampung yang mana kawasan sawah baru yang seluas 46 ribu hektar. Projek itu bertujuan menjadikan kampung saya sebagai Kawasan Jelapang Padi yang moden, produktif, mapan dan berdaya maju.
Kampung saya dibesarkan itu turut dikenali sebagai Bandar Udang Galah dan menjadi tempat final peraduan memancing nasional saban tahun.
Dikatakan tenaga konsultan dari Australia telah digunakan dalam projek ini. Tidak pasti perkembangan terbaru.
Yang pasti dalam krisis beras, rupanya ada krisis yang menghabiskan beras, krisis rabaan seorang bekas menteri yang menjadi cerita menarik minggu ini.
Rasanya cerita menteri atau wakil rakyat dengan moral yang rendah bukan perkara luar biasa. Kalau akhbar perdana telus dan berani, tidak cukup ruang untuk mendedahkan pelbagai tabiat buruk para pemimpin yang ada atau yang telah menjadi 'bekas' menteri.
Mungkin dalam krisis politik parti Melayu terbesar itu, kes ini sengaja dijadikan bahan untuk memalukan bekas menteri tersebut. Kebetulan bekas menteri yang dihebohkan itu adalah ahli parlimen kampung saya.
Tetapi tidak mengejutkan.
Saya sendiri tidak pernah mengundi beliau atau apa sahaja yang berlambangkan dacing seumur hidup, lagipun beliau bukanlah berasal dari kampung saya, diterjunkan dari daerah lain.
Malah sebelum ini ada keluarga sendiri yang bertanding dengan lambang dacing pun saya tidak undi.
Kalau dahulu, sebelum 1976, ahli parlimen kami (masih dalam Pekan) pernah menjadi Perdana Menteri kedua yang hebat. Saya tidak ingat ahli parlimen selepas aruah Tun Razak sebelum ahli parlimen sekarang dipayung terjunkan dari Pekan kerana kawan baiknya telah bertapak di kawasan aruah bapanya.
Begitupun, tidak dinafikan banyak jugalah jasa ahli parlimen sejak tiga atau empat penggal yang pernah menjadi menteri dalam membangunkan kawasan parlimen kami.
Seperti membawa Universiti TNB ke Muadzam Shah. Ada jugalah perubahan di kampung yang nampak. Tentu banyak juga dengar cerita negatif mengenai beliau, tetapi itu semua sebahagian dari politik, mungkin benar, mungkin tidak.
Sewaktu di TV3 ada juga saya berbaik dengan beliau yang belum bergelar menteri ketika itu. Masih ingat lagi dia memberitahu yang ramai pemuda UMNO di kawasan parlimennya itu adalah PENYANGAK....sesuatu yang tidak dinafikan selagi berada dibawah jenama UMNO.
Nasib baik saya tidak meneruskan penglibatan dalam politik, kalau tidak saya sama sahaja bergelar kroni PENYANGAK kerana berketuakan jenis yang sama.....semuga apa yang terjadi mengubah beliau untuk lebih berbakti kepada rakyat biarpun nanti sebagai pembangkang di parlimen......amin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan