HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 April 2008

Sidang Dewan Rakyat panas
Oleh Utusan


Kuala Lumpur: Menepati ramalan, hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini berlangsung dalam suasana panas apabila masing-masing Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang saling teruja untuk bangkit bersuara mengemukakan pelbagai isu sehinggakan sesi soal jawab yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi hanya dimulakan setengah jam kemudian.

Awal-awal lagi anggota veteran pembangkang, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) membangkitkan soal Ahli Parlimen tidak mengangkat tangan kanan semasa upacara angkat sumpah Isnin lalu, sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengeluarkan keputusan mengesahkan pelantikan semua anggota Dewan itu.

Tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat jelas cukup menguji Pandikar apabila beliau terpaksa menghadapi satu demi satu Aturan Mesyuarat (Point of Order) daripada Ahli-ahli Parlimen pembangkang terutamanya yang tidak berpuas hati dengan keputusan beliau untuk tidak membenarkan soalan tambahan kepada soalan pertama daripada Razali Ibrahim (BN-Muar) kepada Perdana Menteri.

``Pada persidangan kali ini saya tidak boleh memberikan soalan tambahan,'' kata Pandikar, sambil memberi alasan masa sudah terlalu lama dihabiskan dengan melayan Aturan Mesyuarat sedangkan yang lebih penting ialah mengemukakan soalan-soalan untuk kepentingan rakyat.

Keputusan Pandikar itu menyebabkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang melenting dan menyifatkannya tidak masuk akal.

``Ini `ridiculous'...Perdana Menteri sudah datang sini. Kalau tidak... tak payah datang pun tak apa,'' katanya.

Ketika ini lebih ramai Ahli-ahli Parlimen bangkit membantah dan ada juga yang menegur Kit Siang sehinggakan timbul kekecohan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kemudian bangun meminta izin Yang Dipertua untuk mendengar satu atau dua soalan tambahan.

Pandikar kemudian membenarkannya menyebabkan ramai yang bangun sebelum beliau memanggil Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan soalan tambahan.

Tiada ulasan: