HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 April 2008

Kenaikan yuran pengajian universiti bebankan pelajar
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Tindakan pihak pentadbiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), menaikkan yuran pengajian 75 peratus bagi setiap jam kredit mata pelajaran yang diambil mereka dirasakan membebankan para pelajar.

Pandangan tersebut disuarakan seorang mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Salman Hamid menerusi satu emel yang dihantar kepada Harakahdaily.

"Kenaikan ini secara tidak langsung membebankan para pelajar kerana para pelajar terpaksa menanggung bebanan yuran kolej yang tinggi iaitu kira-kira RM 800 bagi kolej tanpa peruntukan makanan dan RM 1400 bagi kolej yang menyediakan peruntukan tersebut," katanya.

Hal ini meninggalkan kesan besar kepada pelajar kerana rata-rata para pelajar APIUM mempunyai latar belakang keluarga yang sederhana dan kurang mampu.

Malah jelasnya, terdapat juga di kalangan kawan-kawan beliau yang terpaksa bekerja bagi menanggung kos pengajian mereka memandangkan mereka berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

"Yang menjadi kebimbangan saya ialah apabila kadar yuran ini akan menyebabkan ramai mahasiswa tidak dapat meneruskan pengajian mereka," katanya.

Salman menyatakan harapan beliau terhadap pihak pentadbiran universiti tersebut agar mengambil kira situasi mahasiswa yang telah sedia terbeban dengan pelbagai kekangan dan masalah.

"Pegawai-pegawai pentadbiran yang rata-ratanya berpendapatan menjangkau empat angka setiap bulan seharusnya memikirkan nasib golongan bawahan seperti kami kerana matlamat utama kami ke Universiti tidak lain hanyalah semata-mata mahu belajar.

"Janganlah susahkan kami dengan bebanan kewangan kerana ianya akan merencatkan proses pembelajaran kami," demikian ujarnya lagi. - mr

Tiada ulasan: