HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 April 2008

Speaker ikut telunjuk eksekutif di parlimen?
Izwan Abdul Halim


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Insiden 'gamat' di Parlimen sepanjang pagi tadi merupakan isyarat jelas bahawa institusi parlimen yang diterajui oleh Speaker harus mempunyai satu kefahaman bahawa parlimen itu diurus tadbir mengikut peraturan-peraturan yang khusus.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata kefahaman yang terang dari kepimpinan parlimen yakni Speaker dan seluruh pentadbirannya terhadap peraturan-peraturan tetap ini sangat penting dalam menentukan kesempurnaan perjalanan persidangan.

"Apa yang ditimbulkan pagi ini adalah menjurus kepada antaranya kegagalan memenuhi syarat notis 14 hari, hingga satu usul dikemukakan," ujarnya yang ditemui di lobi Parlimen semasa waktu rehat persidangan.

Komen beliau itu merujuk kepada tindakan Speaker mengabaikan peraturan-peraturan mesyuarat yang telah ditetapkan dan dibantah oleh Lim Kit Siang (Ipoh Timur).

Saifuddin turut meragui ketelusan pentadbiran parlimen ekoran tindakan yang dilakukan oleh Speaker.

"Usul asal yang dikemukakan Razali Ibrahim dari Muar memenuhi syarat. Tetapi oleh kerana perubahan itu dibuat oleh cabang eksekutif di mana Yang DiPertua Dewan telah menyebut bahawa dia menerima surat daripada Menteri.

"Jadi itu yang saya timbulkan kebebasan institusi parlimen yang jika dipelihara, Speaker boleh sahaja memaklumkan kepada menteri berkenaan yang menghantar surat pada 18 haribulan berhubung pindaan Pulai, yakni Ong Ka Ting yang akan membahaskannya, itu boleh sahaja diselesaikan dengan mudah.

"Tetapi oleh kerana dia menunjukkan dengan terang dan memaklumkan secara terbuka surat dari menteri, jadi itu jelas merupakan satu pelanggaran terhadap kebebasan institusi parlimen dan itulah yang timbul sebenarnya polemik sepanjang pagi," jelasnya.

Menurutnya, pihak pembangkang melalui Ahli Parlimen Ipoh Timur telah memberi jalan keluar terhadap kemelut tersebut dengan cadangan untuk menggantung terlebih dahulu peraturan tersebut.

Terangnya, Speaker juga boleh mengakui kesilapan itu serta mendapatkan persetujuan seluruh anggota persidangan bahawa semasa 'standing order' tersebut digantung, seluruh ahli persidangan boleh untuk tidak terikat dengan mana-mana peraturan tersebut.

"Maknanya seluruh ahli-ahli YB boleh bersetuju dengan peraturan 14 hari itu dikecualikan, itu sahaja," tegasnya.

Tetapi apa yang terjadi menurutnya ialah keengganan yang ditunjukkan oleh Speaker.

Jelasnya lagi, kunci penyelesaian kepada masalah tersebut ialah mengakui satu kelalaian atau ketidakfahaman walaupun tindakan tersebut mungkin sesuatu yang berat pada tafsiran persidangan.

"Tetapi 'point' saya ialah jika institusi yang didokong dan diterajui oleh Speaker memahami susur galur perjalanan dan kedudukan 'standing order' itu, hal ini tidak akan berlaku.

"Tapi kalau ada campurtangan eksekutif dalam perjalanan atau susun atur, itu merupakan masalah. Jadi itulah yang ditentang oleh ahli-ahli YB tadi," ujarnya mengakhiri penjelasan. - mks.

Tiada ulasan: