HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 April 2008

Projek RMK-9 dikaji balik - Jambatan Pulau Pinang lewat sebab kos, tanah, reka bentuk – PM
Oleh rosni hassan dan nor zainah nordin


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bernilai berbilion ringgit akan dikaji semula pelaksanaannya berikutan masalah kenaikan kos.

Bagaimanapun, katanya, pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang berharga RM3 bilion, iaitu salah satu projek penting di bawah RMK-9, hanya mengalami kelewatan.

Menurut Perdana Menteri, pembinaan infrastruktur itu terlewat ekoran kos pembinaan yang meningkat selain masalah mendapatkan tanah dan reka bentuk yang terbaik.

Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan Asia Eropah (ASEM) di sini hari ini, Abdullah ditanya mengenai berapa banyak projek di bawah rancangan lima tahun itu yang dikaji semula.

Beliau menjawab: “Banyak projek sedang dikaji semula pada waktu ini.’’

Di bawah RMK-9, sebanyak 880 projek pembangunan baru bernilai RM15 bilion dirancang pembinaannya.

Antara projek itu termasuk pembinaan kompleks Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Wilayah Timur, fasa kedua Lebuh Raya Pantai Timur dan projek Jambatan Semporna-Pulau Bum Bum di Sabah.

Turut disenaraikan di bawah rancangan lima tahun itu ialah pembinaan Kem Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kompleks Markas 4 Divisyen dan Pangkalan Unit Udara Polis di Kuching, Sarawak.

Projek-projek lain ialah pembinaan 450 sekolah rendah dan menengah, jalan, projek pembekalan air dan pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak, Selangor.

Namun, kenaikan kos terutama harga bahan-bahan binaan seperti besi, aluminium dan simen yang melonjak naik sejak akhir-akhir ini dikatakan menjejaskan banyak kontraktor yang terlibat dalam projek-projek itu.

Ditanya mengenai projek Jambatan Kedua Pulau Pinang yang kerja-kerja awal pembinaannya telah pun dimulakan, Abdullah menjelaskan, kelewatan pembinaan jambatan itu dijangka tidak mengambil masa yang lama.

“Ada beberapa perkara yang telah melewatkan pembinaannya. Pertama, dari segi untuk mendapatkan tanah yang diperuntukkan untuk pembinaan jambatan berkenaan.

“Kedua, perkara yang berkaitan dengan reka bentuk yang perlu dipastikan ia adalah yang terbaik dan perkara yang ada hubung kait dengan kos yang mana sekarang ini mungkin ada perubahan disebabkan harga dah naik,” katanya.

Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 31 Mac 2006 ketika beliau membentangkan RMK-9 di Dewan Rakyat.

Pembinaan jambatan kedua yang melibatkan kos kira-kira RM3 bilion itu dijangka siap pada 2011 dan ia bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Apabila siap kelak, jambatan sepanjang 24 kilometer yang menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dengan Batu Kawan di Seberang Perai itu dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Jambatan itu apabila siap akan menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan antara 10 terpanjang di dunia.

Pembinaan jambatan itu didakwa mengalami kelewatan ekoran perjanjian antara UEM Group Bhd. dan konsortium usaha sama China, Harbour Engineering Company (CHEC) telah dilanjutkan sehingga sembilan bulan daripada jadual asal.

Laporan akhbar sebelum ini menyebut langkah itu bertujuan memberi lebih masa kepada pihak berkaitan mencapai kata sepakat sebelum melaksanakan perjanjian asal projek tersebut.

Sebelum ini UEM memberi jaminan bahawa pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang akan berjalan lancar dan siap seperti yang dijadualkan pada 2011.

Tahun lepas, Malaysia dan China memeterai perjanjian pinjaman bernilai RM2.7 bilion untuk pembinaan jambatan itu melibatkan kerajaan Malaysia, Exim Bank dari China dan Bank Pembangunan (Malaysia) Bhd.

Tiada ulasan: