Seramai 60 lelaki di depot tahanan pendatang asing merusuh
SEREMBAN: Sekumpulan 60 lelaki yang ditahan di depot tahanan pendatang tanpa izin Lenggeng dekat sini, merusuh dengan merobohkan pagar dan membakar pejabat pentadbiran dalam blok tahanan depot itu, hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata kejadian pada 8 pagi itu dipercayai berlaku ekoran rasa tidak puas hati tahanan terbabit kerana nama mereka tidak disenaraikan untuk pergi ke negara ketiga.
Beliau berkata rusuhan itu berlarutan sehingga pukul 10 pagi apabila mereka mula membakar pejabat pentadbiran yang memusnahkan peralatan pejabat termasuk komputer dan perabot.
"Sebuah jentera dengan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin yang bergegas ke tempat kejadian berjaya memadam dan mengawal api daripada merebak," katanya pada sidang akhbar di depot itu.
Sehubungan itu, beliau berkata polis menahan 14 warga asing yang dipercayai dapat membantu siasatan iaitu enam warga Myanmar, enam warga Indonesia dan masing-masing seorang warga Vietnam dan Kemboja.
Osman berkata tiada kecederaan dalam kejadian itu, sama ada membabitkan tahanan depot, mahupun anggota Rela yang ditugaskan menjaga depot.
Depot itu menempatkan 820 tahanan lelaki termasuk 218 warga Myanmar dan 270 wanita, selain warga Indonesia, Bangladesh, India, Kemboja, Nepal, Vietnam, Pakistan dan Thailand.
Osman berkata pentadbiran depot memaklumkan kejadian itu kepada polis dan 100 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta 100 anggota terdiri daripada Rela dan Jabatan Imigresen yang dikejarkan ke depot itu berjaya mengawal keadaan kira-kira 12 tengah hari.
Katanya walaupun pagar dirobohkan tetapi tiada tahanan yang dapat melarikan diri kerana kawasan itu mempunyai tiga lapis pagar.
"Kita sedang mengenal pasti dalang kejadian itu. Selain mengasingkan tahanan, kita juga dalam proses memeriksa kesemua tahanan berkenaan.
"Kita tidak tahu menahu program negara ketiga itu dan bagaimana ia tersebar di kalangan tahanan Myanmar itu," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan