HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 April 2008

Muhd Taib didakwa sabotaj pertemuan Ku Li
Nash Rahman


Seorang pemimpin veteran Umno Selangor mendakwa ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib mensabotaj majlis pertemuan ahli parlimen Gua Musang dengan pemimpin Umno sekitar Subang Jaya petang semalam.

Datuk Mazlan Harun berkata, beliau telah memaklumkan hasratnya untuk mengadakan perjumpaan tersebut kepada Muhammad serta turut menjemputnya hadir.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad sebaliknya membawa ketua-ketua cawangan Umno dalam bahagian Kelana Jaya, yang meliputi kawasan Subang Jaya, ke Sarawak dan Melaka.

"Sebenarnya mereka sabotaj. Muhd Taib kalau datang boleh beri pandangan, cerdik pandai boleh menilai," katanya ketika berucap di majlis tersebut di sebuah hotel di Subang Jaya semalam.

"Sebagai ketua bahagian, beliau harus hadir beri pendapatnya jika pandangan kita tidak sesuai dengan kehendak pucuk pimpinan parti.

"Tapi apa yang dibuat (ialah) dia angkut ketua cawangan Kelana Jaya ke Sarawak, ketua Wanita pergi Melaka, inilah jadi masalah kita. Inilah penindasan dari pihak atasan," kata beliau yang juga bekas exco Pemuda Umno, disambut tepukan kira-kira 500 hadirin.

Keadaan seumpama itu, katanya, menyebabkan ahli-ahli tiada tempat untuk meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.

Sayangkan Umno

"Dalam pilihanraya lalu, pemilih Barisan Nasional berpaling tadah (mengundi pembangkang)," katanya lagi.

Menurutnya, jika dikaji pada tahun-tahun kebelakangan ini, boleh dilihat keangkuhan pucuk pimpinan Umno sehingga mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membuat teguran.

"Di kawasan ini (parlimen Kelana Jaya) kita kalah kepada calon PKR. Kalau dulu BN letak kayu pun menang… sekarang pembangkang letak kayu pun menang," katanya.

Selangor adalah antara empat negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Negeri-negeri lain: Kedah, Pulau Pinang dan Perak. PAS pula berjaya mengekalkan Kelantan. Di Parlimen, BN hanya memperolehi 140 kerusi dan gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga.

"Kita bukan marah pada Pak Lah, tapi nak selamatkan Umno. Bukan kita sahaja, di kalangan pucuk pimpinan Umno juga mereka berbelah bagi mengenai soal kepimpinan (Umno)," tambahnya.

Menurut beliau, Umno tidak boleh menang dalam pilihanraya jika bergantung kepada ahli-ahlinya sahaja, tetapi parti itu memerlukan sokongan semua orang Melayu dan bangsa lain.

"(Oleh itu), bila kita tengok pokok nak reput dari akar umbi, kita kena bertindak, jika tidak kita akan hadapi satu bencana paling besar pada pilihanraya umum akan datang.

“(Naib presiden Umno), Tan Sri Muhyiddin Yakin dah sebut dalam wawancara dalam Utusan Malaysia minggu lalu, bahawa Umno hari ini dalam zon bahaya, kerana kuasa Melayu dan habis.

"Kerusi parlimen Umno sebanyak 78, PAS pula 23 kerusi, jumlahnya 101 – tidak sampai separuh daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi parlimen. Itupun jika PAS dan Umno bersatu,” katanya.

Tiada ulasan: