HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 April 2008

Hindraf:Ini kata Syed Hamid…


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar membayangkan kerajaan tidak akan layan desakan supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan dibawah ISA.

Katanya orangramai harus lihat dulu pada apa yang telah mereka lakukan.

"Kita tidak boleh menunggu sesuatu perkara buruk dan keganasan berlaku. Sebab itulah kita adakan akta ini. Yang penting bagi sesebuah negara itu ialah keselamatan dan kestabilan negara demi rakyat perlulah diutamakan," katanya.

Selain pembangkang dan beberapa pertubuhan,Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu turut meminta kerajaan membebaskan mereka yang ditahan tiak lama lepas perhimpunan haram anjuran Hindraf di Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Bercakap kepada para wartawan di Kota Tinggi Sabtu beliau juga menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan dalam negeri (ISA) demi menjamin kestabilan dan keselamatan negara.

Menurut Syed Hamid akta ini ditubuhkan untuk mengelakkan sesuatu perkara yang boleh mengancam kestabilan, keselamatan dan kemakmuran negara yang pelbagai kaum ini.

"Banyak perkara buruk boleh berlaku jika akta ini dimansuhkan kerana ia berkait rapat dengan sensitiviti kaum dan agama di mana individu atau pihak tertentu akan ditangkap kerana telah melanggar undang-undang.

"Contohnya Hindraf dan Jemaah Islamiah. Kita tidak suka ambil tindakan terhadap sesiapa, tetapi bila keadaan memaksa, kita terpaksa menangkap mereka demi keselamatan orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menghapuskan kedua-dua akta ini jika beliau menjadi Perdana Menteri.

Menteri itu berkata adalah mudah bagi pembangkang menabur janji dari melaksanakannya.

Syed Hamid berkata rakyat memang mempunyai hak untuk untuk menyuarakan pandangan atau ketidakpuasan hati mereka terhadap sesuatu perkara, tetapi ia perlu dibuat melalui cara yang betul yang tidak bertentangan dengan undang-undang.

Tiada ulasan: