HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Julai 2008

"Umno yang pecah belah orang Melayu di kampung" – Kesavanan
Johari Jaafar


IPOH (Hrkh) - Adun Hutan Melintang, Kesavanan Subramanium dalam menyokong titah Paduka Seri Sultan Perak di Dewan Persidangan Negeri Perak kemarin, menempelak tohmahan yang dilemparkan oleh Adun Sungai Rapat dan Adun Pangkor yang menuduh Pakatan Rakyat sebagai pemecah belah masyarakat orang Melayu di kampung-kampung dengan mengadakan pemilihan Ketua Kampung.

Beliau berkali-kali menyeru dan mencabar wakil Pangkor, Dato' Zambry Abdul Kadir supaya kembali masuk ke dalam Dewan untuk berdebat dengan beliau.

Kesavanan mempersoalkan langkah Kerajaan Pusat menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di kampung-kampung dengan menafikan perlantikan Ketua Kampung yang telah dipilih oleh rakyat sendiri.

"Dalam perkara ini, siapakah sebenarnya yang memecah belahkan masyarakat Melayu di kampung-kampung?" katanya.

Beliau menyifatkan penubuhan JKKKP oleh Kerajaan Persekutuan lebih menjurus untuk menimbulkan persengketaan sesama penduduk kampung dan langkah tersebut amat tidak wajar sama sekali.

Beliau menyeru agar penampilan politik perkauman yang diamalkan Umno dan BN yang memecah belahkan masyarakat Malaysia dihentikan segera agar rakyat dapat menyaksikan perubahan lanskap politik negara keseluruhannya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki ketika ditemu menjelaskan ramai orang Melayu sendiri telah menyedarinya parti itu sebenarnya adalah parti perkauman Melayu yang bersifat 'chauvinis' dan 'ultra' kerana sikapnya yang mengamalkan 'pecah dan perintah' untuk mengekalkan kuasa.

Menurut beliau, penubuhan Jawatankuasa Kampung Kerajaan Persekutuan (JKKKP) adalah bukti jelas betapa Umno merupakan dalang dalam usaha merobekan kesatuan dan persepakatan orang Melayu di kampung-kampung.

Namun disebalik tindakan yang tidak bermarwah itu, Umno menuduh PAS sebagai punca perpecahan masyarakat Melayu kerana menyalah gunakan platform masjid dan surau untuk menghasut rakyat dengan dakyah penyelewengan ajaran agama Islam yang sebenar.

Umno dan BN bukan setakad bertindak tidak menghormati pilihan rakyat di kampung-kampung, malah tidak mahu mengiktiraf kemenangan wakil rakyat dan wakil parlimen Pakatan Rakyat, katanya lagi. - mns_

Tiada ulasan: