Najib nafi terbabit dalam isu Anwar
Malaysiakini
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan yang beliau terbabit dengan isu laporan kes liwat terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat oleh seorang pembantu Anwar Sabtu lalu.
Timbalan Perdana Menteri turut menafikan dakwaan yang beliau turut terbabit dalam mengancam keselamatan Anwar.
"Kerajaan BN (Barisan Nasional) tidak pernah mengancam nyawanya (Anwar) dan tidak terlibat dalam sebarang perbuatan mengugut atau mencederakan ahli politik di Malaysia.
"Kita tidak bercadang berbuat demikian. Itu bukan amalan kerajaan BN," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, demikian menurut laporan Bernama.
Anwar kini berlindung di Kedutaan Turki selepas mendakwa, telah mendapat maklumat dari sumber kerajaan dan risikan tentera yang mendakwa ejen BN merancang untuk mencedera atau mungkin membunuhnya, serta mencederakan anggota keluarga atau penyokongnya.
Dalam satu sidang akhbar semalam, isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menyangkal laporan polis yang dibuat oleh pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR itu pada 26 Jun lalu di sebuah tempat di ibu negara.
Wan Azizah yang juga presiden PKR, turut mendakwa kes itu satu konspirasi politik terhadap suaminya.
Wan Azizah menunjukkan gambar Saiful bersama seorang pegawai kanan di pejabat Timbalan Perdana Menteri yang didakwanya diterima menerusi SMS.
Minta biasiswa
Menyentuh mengenai gambar itu, Bernama memetik Najib berkata gambar pegawainya yang diambil dengan pembantu Anwar di pejabatnya pada 12 Februari lalu adalah selepas pembantu Anwar datang ke pejabatnya bersama seorang rakan untuk berjumpa dengan pegawainya bagi mendapatkan sokongan untuk mendapatkan biasiswa dari kerajaan melanjutkan pelajaran.
"Dia (pembantu Anwar) seorang pemimpin di kalangan pelajar. Dia pun ambil gambar dengan pemimpin lain. Soalnya bukanlah peranan sesiapa tetapi sama ada perkara itu berlaku atau tidak. Saya bukan orang di sebalik perkara ini. Itu terserah pada polis untuk tentukan," katanya.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, Najib berkata pembantu Anwar itu merupakan bekas pemimpin pelajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) manakala pegawainya di dalam gambar itu bertanggungjawab antara lain, bagi perkara berkaitan dengan pendidikan tinggi.
"Adalah menjadi lumrah tetamu, terutamanya para pelajar yang datang ke pejabat TPM (Timbalan Perdana Menteri), untuk mengambil gambar dengan pegawai-pegawai sebagai kenangan lawatan mereka," katanya.
Najib menyifatkan sebagai tidak berasas dakwaan yang dibuat oleh Wan Azizah kononnya gambar itu adalah satu bukti adanya pihak berniat jahat untuk membunuh karier politik Anwar.
"Ini (dakwaan Dr Wan Azizah) bertujuan untuk mengalihkan perhatian terhadap tuduhan sebenar," kata Najib.
Beliau berkata tindakan Dr Wan Azizah membuat kenyataan itu serta menyebarkan gambar tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan salah sangka dalam kalangan umum.
"Polis telah memaklumkan bahawa mereka akan menyiasat kes dengan terperinci, Kita percaya ia akan mengambil kira semua aspek termasuk pelbagai dakwaan yang telah dibuat oleh PKR.
"Oleh itu, adalah baik kita menunggu siastan polis dijalankan bagi menentukan kesahihan tuduhan tersebut dan tidak membuat tuduhan dan kenyataan yang berbau politik dan mengheretkan mereka yang tidak terlibat ke dalam kes ini," katanya.
Undang-undang antarabangsa
Dalam satu sidang akhbar di Parlimen mengenai isu keselamatan Anwar, Najib berkata kerajaan memberi jaminan mengenai keselamatannya dan beliau tidak pernah diganggu semasa berkempen sebagai pemimpin pembangkang.
Menyentuh mengenai tindakan Anwar berlindung di Kedutaan Turki, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan perlu bertindak mengikut undang-undang antarabangsa kerana kawasan berkenaan adalah milik kerajaan asing.
"Tetapi punca (Anwar) diterima masuk itu kita mesti lihat juga (sama ada ia) perlindungan politik atau lari dari undang-undang negara.
"Ini yang kita kena pastikan dulu berdasarkan siasatan pihak polis, dan lepas itu, kerajaan akan tentukan tindakan berdasarkan undang-undang antarabangsa," katanya.
Ditanya sama ada tindakan Anwar itu akan menimbulkan masalah antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Turki, Najib berkata hubungan kedua-dua negara tidak akan terjejas tetapi kedua-dua negara perlu bertindak mengikut undang-undang antarabangsa.
Mengenai kebimbangan Anwar bahawa peristiwa 1998 akan berulang kembali apabila beliau dipukul semasa dalam tahanan, Najib berkata:
"Tidak. Perkara itu satu kejadian malang dan ia sudah selesai."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan