1008 kes demam denggi dengan enam kes kematian seluruh negara
PUTRAJAYA: Sejumlah 1,008 kes demam denggi dengan enam kematian dilaporkan berlaku di seluruh negara dalam tempoh dari 6 hingga 12 Julai lalu, turun sebanyak 26 kes berbanding 1,034 kes pada minggu sebelumnya, kata Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.
Negeri yang mencatatkan kematian ialah Selangor (empat kes), Kuala Lumpur dan Johor masing-masing satu kes.
Tujuh buah negeri yang mencatatkan peningkatan kes adalah Kelantan (143 peratus), Selangor (95), Melaka (63), Johor (59), Negeri Sembilan (36), Sabah (22) dan Terengganu (16).
Negeri-negeri ini menyumbang kepada 75 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan," kata Dr Hasan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kurangnya aktiviti membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes oleh anggota masyarakat dikenal pasti sebagai antara faktor penyebab kepada bilangan kes yang tinggi.
"Pemeriksaan yang dilakukan oleh kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya di 199 lokaliti yang mencatatkan lebih daripada satu kes menunjukkan 76 peratus premis positif pembiakan Aedes adalah rumah kediaman atau kedai," katanya.
Beliau berkata pemeriksaan juga menunjukkan indeks pembiakan aedes yang tinggi adalah di tapak pembinaan (12.5 peratus), kilang (7.4), premis kerajaan (7.3), taman permainan/rekreasi (4.9), tanah/lot kosong (4.6), sekolah (3.3) dan tempat pembuangan sampah (3.2).
Katanya usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mencegah penyakit demam denggi giat dilakukan seperti mengedar risalah dan poster, mengadakan ceramah dan melakukan aktiviti gotong royong.
Beliau berkata melalui tindakan penguatkuasaan pula, sejumlah 299 kompaun bernilai RM51,550 dan 311 notis arahan pembersihan telah dikeluarkan pada minggu lalu.
Selain itu, beliau turut menyarankan kepada orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami demam di klinik atau hospital terdekat kerana pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa dan mencegah penderitaan akibat demam denggi.BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan