15 rakan samseng
Oleh Norfaisal Jahuri
ALOR GAJAH: Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di daerah ini menderita sakit tulang belakang dan pinggul akibat dibelasah 15 rakan asramanya hanya kerana dia tidak disukai kumpulan pelajar terbabit.
Kejadian pada 15 Jun lalu itu turut menyebabkan Mohamad Zulkefli Roslan, 16, kini trauma dan tidak mahu lagi meneruskan persekolahan di situ.
Dia kini tidak lagi ke sekolah kerana menjalani beberapa pemeriksaan di Hospital Melaka (HM).
Setakat ini, doktor mengesahkan tulang belakang pada pinggulnya beralih dari kedudukan asal dan membengkok.
Mangsa juga kini sukar untuk berjalan dan lebih banyak berbaring.
Mohamad Zulkefli berkata, ketika kejadian, dia baring bersendirian di katil asrama selepas solat Maghrib di surau.
Katanya, seorang rakan seusianya tiba-tiba datang memberitahu ramai rakan dari blok sama tidak berpuas hati dengannya dan sedang menunggu di luar.
Dia kemudian keluar dan berjumpa kumpulan pelajar terbabit.
“Belum sempat menjawab pertanyaan mereka, saya terus dibelasah dari belakang. Saya cuba menyelamatkan diri, tapi mereka membelasah saya dari semua arah.
“Mereka berhenti membelasah selepas saya rebah akibat dipukul dengan objek keras di belakang kepala.
“Saya terbaring tanpa sesiapa membantu. Hampir 20 minit baru saya dapat bangun walaupun dalam kesakitan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kebaya, Paya Datuk, dekat sini, semalam.
Kata Mohamad Zulkefli, selepas itu, dia menghubungi bapanya, Roslan Baba, 53, bagi memaklumkan perkara itu.
Anak kedua daripada lima beradik itu dibawa ke HM untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh.
Sementara itu, Roslan berkata, anaknya kini diberikan cuti sakit sejak kejadian itu hingga akhir bulan ini.
Dia yang juga penyelia tapak binaan berkata, sehari selepas kejadian, anaknya dirawat di wad HM selama empat hari apabila doktor mendapati tulang belakang anaknya menghadapi masalah.
“Penghujung bulan lalu, anak saya sekali lagi dimasukkan ke wad selama tiga hari kerana mengadu bahagian pinggulnya sakit.
“Kini anak saya terpaksa dirujuk kepada pakar tulang berikutan masalah tulang belakang di pinggulnya didapati bengkok.
“Anak saya hanya menjalani rawatan fisioterapi dan memakai alat penyokong tulang belakang,” katanya.
Dia dan isteri, Juhaidah Jamal, 44, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah serta pelajar yang membelasah anaknya.
Dia juga mendakwa permohonan anaknya berpindah ke sekolah lain belum mendapat kelulusan.
Pengurusan sekolah teknik terbabit gagal dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan