HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 Julai 2008

63 orang masih di tahan ISA, Syed Hamid
Oleh Bernama


Kuala Lumpur : Sehingga 30 Jun tahun ini, seramai 63 orang masih menjalani Perintah Tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata mereka yang ditahan di bawah akta itu terlibat dalam pelbagai kegiatan atau aktiviti yang boleh memudaratkan keselamatan negara iaitu keganasan militan (42 orang), pemalsuan dokumen (enam orang), penyeludupan manusia (seorang), mengumpul maklumat untuk agensi perisikan atau keselamatan asing (sembilan orang) dan Hindraf (lima orang).

"Penahanan di bawah ISA ke atas mereka ini adalah tindakan yang diambil di bawah undang-undang pencegahan, oleh itu mereka tidak dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Manogaran Marimuthu (DAP-Telok Intan) di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Manogaran memohon kementerian menyatakan senarai penuh tahanan ISA, kesalahan, latar belakang dan bila mereka akan dihadapkan ke mahkamah.

Beliau juga mahu tahu sama ada kerajaan memberi sumbangan kewangan kepada keluarga mereka.

Syed Hamid berkata tahanan di bawah akta itu mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada sebuah badan bebas iaitu Lembaga Penasihat atau mengemukakan permohonan Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi sekiranya berpandangan tindakan penahanan yang dibuat ke atas mereka adalah tidak mematuhi prosedur atau peraturan yang ditetapkan.

Beliau juga berkata penahanan di bawah ISA adalah lebih ke arah untuk memulihkan orang tahanan daripada fahaman (ekstrem) yang dipercayai dan tindak tanduknya yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara daripada menghukumnya sebagaimana penjenayah-penjenayah yang dipenjarakan.

"Mereka yang ditahan di bawah akta ini akan menjalani program pemulihan di tempat tahanan dan dinilai dari pelbagai aspek sebelum boleh dibebaskan," katanya.

Sekiranya seseorang tahanan itu ditafsirkan telah pulih dan tidak lagi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara, pastinya tahanan tersebut akan dibebaskan, katanya.

Mengenai sumbangan atau kebajikan kepada keluarga tahanan, Syed Hamid berkata mereka boleh merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

Syed Hamid berkata berdasarkan rekod terkini, seramai 28 orang tahanan yang masih ditahan Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting, Taiping telah mengemukakan permohonan bantuan kewangan bagi keluarga mereka.

Daripada jumlah itu, seramai 17 orang tahanan diluluskan permohonannya dan keluarga mereka telah menerima bantuan kewangan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah di mana keluarga mereka berada serta daripada pihak Baitulmal.

Katanya jumlah kewangan yang diterima setiap bulan adalah mengikut kesesuaian dan pada masa ini terdapat enam lagi permohonan untuk bantuan kewangan yang masih lagi dalam pertimbangan pihak JKM.

Syed Hamid berkata di samping bantuan kewangan, bantuan pelajaran dan kesihatan juga dipertimbangkan oleh JKM.

Tiada ulasan: