HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Julai 2008

Abdullah: Guna “Hydrofuel” jimat 50 peratus petrol
Oleh Bernama


PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menggalakkan rakyat menggunakan teknologi tempatan “Hydrofuel” bagi mengurangkan kos petrol sehingga 50 peratus.

Perdana Menteri berkata, teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Bumiputera tempatan berpangkalan di Banting, Selangor, Hydrogen Fuel Industries (M) Sdn Bhd itu sudah teruji dan diguna pakai oleh sebilangan kenderaan di negara ini.

Selain menjimatkan kos petrol, teknologi itu juga dapat mengurangkan pelepasan gas karbon monoksid dari kenderaan, katanya ketika melancarkan Teksi Hydrofuel di Dataran Masjid Putrajaya, di sini.

“Sekarang minyak petrol RM2.70 seliter. Jadi jimat 50 peratus bermakna bayar RM1.35 untuk seliter petrol. Ia lebih murah lagi daripada RM1.92 sebelum kerajaan bagi naik harga minyak sampai orang marah,” katanya.

Beliau berkata, sekarang ini baru rakyat tahu bahawa harga minyak boleh diturunkan dengan menggunakan teknologi.

Hydrofuel adalah bahan bakar alternatif melibatkan separa kacukan petroleum dan hidrogen. Ia juga teknologi penjimatan bahan bakar automatif yang berasaskan air.

Peralatannya melibatkan penempatan sebuah balang kanister di bahagian enjin dan sebuah bekas air lima liter di bonet belakang kereta dengan campuran minyak dan air pada nisbah 98.2 peratus: 1.8 peratus.

Abdullah berkata rakyat perlu memberikan sambutan positif terhadap penggunaan teknologi itu agar ia dapat dibangunkan lagi atau dibuat penambahbaikan.

Katanya teknologi tempatan itu sukar dibangunkan sekiranya rakyat sendiri tidak memberikan sambutan.

“Macam buat komputer. Pada tahun pertama ia elok, pada tahun kedua ia lagi elok dan seterusnya pada tahun ke 10 ia bertambah elok lagi,” katanya.

Abdullah berkata rakyat tidak boleh beranggapan teknologi tempatan tidak setanding dengan teknologi Barat atau Jepun.

Katanya penemuan teknologi seperti itu penting agar rakyat tidak terus menjadi pengguna teknologi sahaja sebaliknya menjadi pencipta teknologi pula.

“Teknologi ciptaan anak watan ini dapat bantu menggunakan tenaga dengan lebih cekap lagi,” katanya.

Presiden Hydrogen Fuel Industries Dr Halim Ali yang juga pencipta alat tersebut berkata prosesnya melibatkan air paip disuntik ke dalam kanister yang akan mengasingkan oksigen dan hidrogen pada frekuensi gelombang tinggi.

Katanya pembentukan gas hidrogen itu digunakan selari dengan petrol manakala oksigen yang terbentuk digunakan untuk memperkayakan pembakaran bahan api dan hasilnya petrol dapat dijimatkan antara 29 peratus dan 50 peratus bergantung kepada kuasa kuda kereta dan jenis kereta.

Tiada ulasan: