Peguam Anwar minta Syed Hamid henti beri komen 'mencampuri' siasatan polis
oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, R. Sivarasa meminta pegawai-pegawai tinggi kerajaan terutama menteri menghentikan komen-komen yang disifatkan mencampuri siasatan polis dan menimbulkan salah faham berhubung kes liwat Anwar.
Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dilaporkan media tempatan hari ini terutama muka hadapan akhbar the New Straits Times (NST) yang tertulis "What is he afraid of? He can have his own doctor present when giving sample." (Apa yang ditakutkan? Beliau (Anwar) boleh memberi sampel (DNA) dengan kehadiran doktornya.".
Sivarasa berkata, kenyataan Syed Hamid itu seperti mencampuri siasatan yang sedang dijalankan selain menimbulkan salah faham kerana soal takut untuk memberi DNA tidak timbul dan seolah-olah menggambarkan Anwar enggan memberi kerjasama kepada polis.
"Datuk Seri Anwar mempunyai sebab untuk percaya kemungkinan bukti DNA itu akan dipalsukan sekali lagi seperti yang berlaku dalam kes 1998. Ini kerana pengadu berada dalam penjagaan polis sejak 28 Jun lalu dan polis juga mempunyai DNA Datuk Seri Anwar bagi kes terdahulu.
"Justeru, kenyataan Datuk Seri Syed Hamid yang percaya ia boleh diselesaikan dengan memberi sampel DNA kepada doktor peribadi dan pakar forensik antarabangsa tetap tidak menyelesaikan kebimbangan anak guam kami," katanya ketika sidang media di rumah Anwar di Segambut, hari ini.
Beliau berkata, dalam perbicaraan kes pada tahun 1998 dan 1999, bukti DNA Anwar telah direka apabila pegawai polis yang terbabit ketika itu, SAC Rodwan telah mengambil sample DNA daripada penjagaan forensik tanpa kebenaran.
"Ketika sesi soal balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, maka terdedahlah yang DNA yang diambil dari sampel darah yang sengaja diletakkan di atas tilam yang dikenali umum itu," kata Sivarasa.
"Apabila fakta ini dihadapkan, pihak pendakwaan meminda pertuduhan (terhadap Anwar) dan memujuk hakim, Augustine Paul, agar menghapuskan semua bukti DNA daripada rekod (keterangan mahkamah), menghalang peguam-peguam Anwar mencabarnya," katanya.
Sivarasa berkata, Anwar hanya akan mempertimbangkan untuk menjalani ujian DNA jika beliau berjaya diyakinkan yang semua pemeriksaan kesihatan dan sampel yang diambil dilakukan secara bebas dan profesional tanpa campur tangan polis.
Katanya, kebimbangan Anwar itu disebabkan pemalsuan bukti yang berlaku dalam kes terdahulu dilakukan oleh Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan (yang pada ketika itu ketua pendakwaraya dan ketua siasatan) kini memegang jawatan yang lebih berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang.
"Selain itu, siasatan yang dijalankan pada tahap ini tidak memerlukan bukti DNA kerana satu kes masih belum wujud," katanya.
Beliau berkata, Datuk Seri Anwar telah memberikan keterangan selama lima jam setengah kepada polis Rabu lalu walaupun beliau ada hak untuk tidak berbuat demikian atas nasihat peguam-peguamnya.
"Beliau tetap memberi keterangan untuk membuktikan beliau mahu bekerjasama walaupu peguam-peguamnya menasihatkan beliau tidak berbuat demikian kerana kami masih belum mendapat salinan laporan polis," katanya.
Ketika ditanya sama ada Anwar akan memberi sampel DNAnya jika mendapat perintah mahkamah, Sivarasa berkata, hal itu (perintah mahkamah) tiada dalam peruntukan undang-undang.
Beliau seterusnya turut menyelar satu laporan akhbar NST hari ini yang menyatakan Anwar tidak dibogelkan menurut satu sumber yang tidak bernama dari Hospital Kuala Lumpur.
"Laporan (beliau tidak dibogelkan) itu salah sama sekali," katanya.
Anwar semalam mendakwa, beliau telah dibogelkan semasa pemeriksaan ke atasnya dibuat oleh kakitangan HKL, Rabu lalu.
Katanya, seluruh badan termasuk alat sulitnya diperiksa bagi mendapatkan bukti untuk siasatan kes liwat yang dikaitkan dengan dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan