BPR perlu siasat dakwaan salah laku rasuah KPN, AG – Gerak
Anis Nazri
KUALA LUMPUR- Badan Pencegah Rasuah (BPR) digesa agar segera menyiasat dakwaan salahlaku dan rasuah yang dilaporkan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara (AG).
Langkah segera itu perlu diambil BPR untuk membuka fail siasatan berhubung dakwaan pengbabitan kedua-dua mereka dalam perbuatan jenayah rekaan bukti dalam kes Anwar pada 1998.
Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Mohd Yunus, berkata dakwaan tersebut wajar disiasat dan didedahkan sekiranya ia benar dan mempunyai kesahihan yang tinggi.
"Gerak tidak mahu imej PDRM dan Peguam Negara tercemar akibat dakwaan korupsi salahguna kuasa dan pemalsuan bukti. Situasi ini melibatkan integriti kedua-dua badan tersebut dan ia perlu dibersihkan dari amalan salahguna kuasa dan pemalsuan bukti," tegas beliau dalam kenyataannya, kepada Harakahdaily, hari ini.
Dalam pada itu, Nazree berkata Gerak berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk seseorang itu dituduh dengan bukti yang palsu, atau menuduh orang lain memalsukan bukti tanpa ada fakta dan asas yang kukuh.
Tambah beliau, adalah tidak wajar untuk Anwar membuat tuduhan tanpa disertakan dokumen salah laku tersebut dan ia memerlukan siasatan segera dengan sewajarnya./wann_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan