HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Julai 2008

Syabas lancar operasi bil tertunggak


KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan melancarkan operasi bil tertunggak di beberapa kawasan sekitar Sabak Bernam dan seluruh wilayah Petaling.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som berkata operasi bagi wilayah Petaling akan dijalankan sepanjang Julai manakala operasi di sekitar Sabak Bernam dilaksanakan selama 10 hari mulai semalam melibatkan Jalan Bagan Terap, Sapintas, taman-taman dan perkampungan sekitar pekan Sabak Bernam, Kampung Baru hingga ke Politeknik Sungai Lang termasuk Sungai Air Tawar dan Parit Baru.

Orang ramai dinasihatkan agar segera melunaskan tunggakan masing-masing bagi mengelakkan tindakan pemotongan bekalan air.

"Sekiranya pemotongan dilakukan, pembayaran sebanyak RM50 bagi kos pemotongan dan penyambungan semula akan dikenakan," menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya orang ramai boleh melunaskan bayaran bil tertunggak mereka melalui internet, kaunter pejabat wilayah Syabas, pejabat pos, TNB, Telekom, DBKL, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, dan Majlis Perbandaran Klang.

Mereka juga boleh membuat pembayaran melalui lima kaunter bank di MBF, Bank Simpanan Nasional, Ambank, Citibank Berhad, Bank Islam dan CIMB Bank melalui kemudahan ATM dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web Syabas di www.syabas.com.my atau menghubungi Syabas dengan menelefon talian bebas tol 1 800 88 5252, atau menghantar SMS ke 39222 dengan menaip: PUSPEL.-BERNAMA

Tiada ulasan: