Dasar gangguan seksual di tempat kerja akan diperketat
KUALA LUMPUR: Dasar dalam menangani gangguan seksual di tempat kerja termasuk di syarikat swasta dan korporat akan diperketat bagi menjamin keselamatan pekerja terutama pekerja wanita di tempat kerja mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen.
Beliau berkata langkah itu perlu kerana peraturan dan dasar sedia ada didapati kurang berkesan dalam mengendalikan kes gangguan seksual di tempat kerja.
"Ia akan menggariskan panduan lebih terperinci bagi mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja khususnya di kalangan pekerjapekerja wanita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Kod Amalan Untuk Mencegah dan Mengendalikan Kes Gangguan Seksual di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Ng berkata perkara itu akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia yang memperkenalkan Kod Amalan Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja pada 1999.
Buku kod tersebut setebal 54 muka surat yang dibukukan oleh UM antara lain mengandungi polisi, skop kod amalan dan prosedur penyelesaian aduan gangguan seksual yang dilaksanakan universiti tersebut untuk warga kampusnya.
Ng berkata UM merupakan institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang membukukan kod amalan mencegah dan mengendalikan kes gangguan seksual untuk rujukan warga kampusnya yang juga sesuai untuk masyarakat umum.BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan