HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Julai 2008

Soalan lisan dipinda lagi
Selangor Today


Kejadian meminda soalan lisan yang dikemukakan ahli-ahli Parlimen khususnya dari Pakatan Rakyat yang berlaku pada sesi lalu berulang lagi. Kali ini terhadap pada soalan yang dikemukakan Fuziah Salleh (KeADILan-Kuantan).

Sewaktu sampai giliran soalan tersebut, Fuziah menjelaskan bahawa soalan yang dikemukakan beliau itu telah dipinda tanpa izin. Jelas beliau, soalan yang hendak ditanyanya melibatkan isu Majlis Pembangunan Wanita Negeri tetapi telah dipinda kepada isu Majlis Penasihat Wanita Negara.

Dakwa Fuziah, soalan beliau itu telah ditukar pihak kementerian berkenaan kerana mungkin takut dan enggan menjawab soalan asal yang dikemukakan beliau.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon kemudiannya cuba berdalih dengan mengatakan bahawa pihak kementeriannya akan memberikan jawapan berdasarkan soalan yang dikemukakan dan menafikan tindakan meminda soalan itu.

Fuziah walaubagaimanapun tidak dapat menerima jawapan timbalan menteri itu dan mengkritik tindakan itu dan mengatakan alasan itu sebagai yang tidak mubasabah.

Lantaran bantahan Fuziah itu, Noriah memberi jaminan kementeriannya akan memberikan jawapan bertulis kepada Fuziah bagi menjawab soalan yang asalnya itu.

Timbalan Speaker, Ronald Kindee kemudiannya memanggil soalan berikutnya sekaligus menafikan hak Fuziah yang sebelum itu bertegas meminta dibenarkan memberikan soalan tambahan.

Dalam pada itu, Noriah mencelah lantas berkata bahawa soalan itu juga boleh ditanya Fuziah pada sesi parlimen yang berikutnya.

Tindakan Timbalan Speaker dan Timbalan Menteri itu, menyebabkan Fuziah membalas sekaligus mengakibatkan berlakunya aksi bertikam lidah antara beliau dan Noriah.

Dewan ‘panas’ seketika dengan kelantangan suara kedua ahli parlimen wanita yang bertikam lidah itu sebelum diredakan Ronald.

Sementara itu, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan M. Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) turut bangkit mempertikaikan tindakan kerajaan yang sering meminda soalan seseorang ahli parlimen. Mereka menyelar tindakan itu dan mendesak supaya perkara itu tidak segera dihapuskan.

Sebagaimana sesi parlimen lalu, Speaker sekali lagi memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berulang lagi.

Tiada ulasan: