HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Julai 2008

Diari perjalanan Dewan Rakyat
oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


BERIKUT merupakan laporan persidangan Dewan Rakyat di Parlimen pada Rabu (16 Julai 2008).

10:39 pagi

• Yang Dipertua Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta ahli-ahli Parlimen yang mahu terlibat dalam sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2008 berdiri bagi Dewan menetapkan had masa untuk setiap ahli Parlimen berbahas.

• Terdapat 39 orang ahli Parlimen termasuk di peringkat jawatankuasa berdiri, justeru Pandikar meminta Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) untuk mempercepatkan perbahasannya bagi memberi laluan kepada ahli-ahli Parlimen yang lain.

11:01 pagi

• Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) mempersoalkan mengapa parti Barisan Nasional hanya memberi peruntukan tambahan bagi projek koridor di Semenanjung dan tidak di Sabah dan Sarawak dan sama ada projek koridor di Sabah dan Sarawak hanya sekadar gimik politik untuk memikat hati penduduk di kedua-dua negeri itu.

• Wan Azizah turut meminta pendapatan daripada penarikan subsidi petrol digunakan untuk menambahbaik sistem pengangkutan terutama perkhidmatan bas di Lembah Kelang, Kucing dan Kota Kinabalu.

• Beliau juga mempertikaikan kenyataan Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) yang sebelum ini mempersoalkan samada faktor Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diterajui oleh Naib Canselor wanita menjadi punca kemerosotan IPTA terbabit.

11:58 pagi

• Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) meminta akhbar supaya memberi tumpuan kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan ahli-ahli Parlimen untuk kepentingan rakyat daripada memberi laporan berhubung isu kekecohan atau pergaduhan yang berlaku dalam Dewan.

• Ibrahim turut menyampaikan penghargaan kepada Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) yang dikatakan beliau sebagai pengasas sebenar Petronas dan Tun Mahathir Mohamad sebagai orang yang membangunkan Petronas. Beliau berkata demikian bagi memperbetulkan kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek yang dalam debat bersama Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi berkata yang pengasas Petronas Tun Abd Razak.

12:28 pagi

• Dewan menjadi gamat apabila Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan contoh yang tidak baik dan melanggar undang-undang apabila tidak hadir memberi keterangan di IPK Kuala Lumpur, Isnin lalu. Beliau mempersoalkan sama ada sikap Anwar yang kononnya 'PM in waiting' ini melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri dan akan adakah dua set undang-undang iaitu undang-undang untuk rakyat dan Anwar jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Beliau turut menyatakan sokongannya kepada cadangan Pemuda Gerakan supaya satu pasukan forensik bebas dilantik untuk menyiasat dakwaan liwat Anwar bagi mengelakkan berlakunya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan sebelum ini termasuk mereka-reka bukti (fabrication of evidence). Beliau turut meminta Anwar memberikan sampel DNAnya kepada pihak yang bertanggungjawab untuk disiasat. Kenyataan Khairy menyebabkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (BN-Permatang Pauh) yang juga Ketua Pembangkang mempersoalkan bagaimana Khairy tahu yang sampel DNA suaminya diperlukan dan adakah Khairy mempunyai salinan laporan polis yang masih lagi tidak diterima Anwar. Khairy menafikan tuduhan itu dan berkata, beliau mengesyorkan sampel DNA diberi kerana laporan polis adalah berkaitan tuduhan liwat.

• Beliau turut membangkitkan isi perbahasan Anwar dalam debat dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang antaranya mengatakan Pakatan Rakyat berbohong kerana hanya boleh menjanjikan penurunan harga minyak sebanyak 50 sen daripada RM2.70 berbanding janji sebelum pilihanraya iaitu penurunan daripada RM1.92. Khairy turut menyifatkan mekanisme yang dicadangkan Anwar dalam mengurangkan harga minyak sebagai lucu kerana wang RM2 bilion yang datang daripada pengurangan reserve margin dari IPP bukan diperolehi kerajaan sebaliknya Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merupakan sebuah syarikat yang disenarai umum. Justeru, kerajaan tidak boleh meminta dividen daripada TNB seperti yang dilakukan kepada Petronas.

• Berlaku kekecohan apabila Azmin Ali (PKR-Gombak) bangun dan terus ingin mencelah sebelum Khairy sempat menamatkan ucapannya. Khairy bagaimanapun, memberi laluan dengan mengatakan Gombak (Azmin) yang sebenarnya Ketua Pembangkang, bukan Permatang Pauh (Wan Azizah) dan Azmin menjawab yang menjadi Perdana Menteri bukan Kepala Batas (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), sebaliknya Rembau (Khairy). Azmin dalam ucapannya menerangkan pengurangan 50 sen adalah langkah awal untuk menurunkan harga minyak dan jika situasi mengizinkan, pengurangan akan dilaksanakan secara berperingkat.

3.05 petang

• Azmin Ali (PKR-Gombak) melahirkan rasa kecewanya apabila Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap polis pada jam 12.30 tengah hari ini di Jalan Segambut oleh sepasukan anggota polis komando bertopeng menaiki 15 kereta ketika Anwar dalam perjalanan pulang dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara. Beliau menyifatkan tindakan polis sebagai kebinatangan sedangkan Anwar telah memberi jaminan untuk hadir di IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung kes liwat yang dihadapinya pada jam 2 petang ini, justeru beliau mempertikaikan tindakan pihak polis yang didakwanya diarah oleh Umno dan BN menangkap Anwar bersama bukti-bukti yang ada pada pemimpin itu. Azmin turut memberi amaran kepada Umno dan BN supaya jangan cuba membangkitkan kemarahan rakyat seperti yang berlaku pada tahun 1998. Kenyataan beliau disokong Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

• Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) berkata Umno sedia menerima cabaran daripada pembangkang kerana rakyat sebenarnya hanya mahu tahu sama ada Anwar benar-benar melakukan kesalahan liwat seperti yang didakwa atau tidak. Justeru, sampel DNA diperlukan dan beliau mempertikaikan tindakan Anwar yang merujuk kes itu kepada JAWI yang memerlukan empat saksi kerana kata Mukhriz, mustahil untuk mendapatkan empat saksi tanpa dosa besar. Kenyataan Mukhriz menimbulkan kemarahan beberapa ahli Parlimen daripada pembangkang terutama daripada PAS yang mempertikaikan tindakan Mukhriz yang disifatkan menghina Islam. Berlaku perang mulut antara ahli parlimen BN dan Pakatan Rakyat kira-kira 15 minit menyebabkan suasana Dewan gagal dikawal Timbalan Yang Dipertua Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

• Mukhriz seterusnya mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar sememangnya melakukan perbuatan liwat dan ini turut disokong Khairy Jamaluddin (BN-Rembau). Tindakan mereka menyebabkan Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) mendakwa Mukhriz dan Khairy melakukan qazaf iaitu menuduh orang yang baik melakukan kejahatan.

• Disebabkan keadaan yang tidak terkawal, Yang Dipertua Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengambil alih dan meminta semua ahli Parlimen bertenang dan mengingatkan tindakan mereka yang menyimpang daripada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) telah menyebabkan masa terbuang.

• Kit Siang bangun dan membangkitkan Peraturan Mesyuarat 67 (5) dengan mempertahankan isu yang dibangkitkan pembangkang adalah berkaitan kepercayaan terhadap polisi kerajaan. Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) seterusnya bangun dan meminta Speaker memberi nasihat kepada Khairy dan Mukhriz yang disifatkankannya sebagai orang muda yang celupar.

• Khairy sekali lagi bangun dan menegaskan apa yang dikatakan Mukhriz (berhubung tuduhan liwat) bukan fitnah tetapi berdasarkan penghakiman mahkamah. Dewan kembali tenang dan Khalid menyambung kembali perbahasannya berhubung Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2008) 2008.

6.40 petang

• Sebelum memulakan perbahasannya, M. Manogaran (DAP-Telok Intan) menyuarakan rasa kecewanya kerana Dewan tidak mengenakan tindakan terhadap Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang dikatakan menunjukkan isyarat tangan yang lucah di dalam Dewan minggu lalu. Bagaimanapun, Bung mempertahankan dirinya dengan mengatakan yang hal itu merupakan gerak geri tubuh yang tidak membawa maksud apa-apa dan terserah kepada Manogaran untuk mentafsirkannya kerana kata Bung, setiap orang mempunyai gerak geri tubuh masing-masing.

8.29 malam

• Fong Po Kuan (PAS-Batu Gajah) meminta kerajaan memberitahu nisbah peruntukan biasiswa JPA berjumlah RM91 juta bagi pelajar cemerlang SPM 2007 antara Bumiputera dan bukan Bumiputera. Beliau turut meminta kerajaan memberitahu jenis-jenis biasiswa lain yang turut disediakan oleh JPA berserta nisbah bagi setiap biasiswa tersebut. Fong juga mahu mengetahui syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh JPA sebelum mempertimbangkan pemberian biasiswa tersebut.

Tiada ulasan: