Untung bersih Petronas RM61 bilion
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) terus mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh apabila merekodkan keuntungan bersih tertinggi baru berjumlah RM61 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 31.5 peratus berbanding RM46.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Keuntungan sebelum cukai Petronas turut naik sebanyak 25.2 peratus kepada RM95.5 bilion bagi tempoh itu berbanding RM76.3 bilion pada tahun 2007.
Perolehan Petronas juga melonjak sebanyak 21.2 peratus kepada RM223.1 bilion berbanding RM184.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Berikutan peningkatan keuntungan itu, Petronas membayar sebanyak RM67.6 billion kepada kerajaan pada tahun ini berbanding RM52.3 billion pada tahun kewangan lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, prestasi kewangan itu dipacu oleh kenaikan harga minyak mentah, produk-produk petroleum serta peningkatan jualan.
“Keuntungan yang dicatatkan juga adalah hasil peningkatan kecekapan operasi syarikat dan pencapaian (baik) perniagaan Kumpulan Petronas,’’ katanya pada sidang akhbar mengumumkan prestasi kewangan Petronas di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi antarabangsa syarikat minyak nasional itu mencatatkan peningkatan sebanyak 33.1 peratus kepada RM90 bilion berbanding RM67.6 bilion pada 2007.
Jumlah itu mewakili 40.3 peratus daripada keseluruhan perolehan kumpulan Petronas, sekali gus menjadi penyumbang terbesar perolehan syarikat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan