HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Julai 2008

Kerajaan tidak dedahkan bayaran ex-gratia kepada hakim


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk mendedahkan jumlah bayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu dibuat bagi menghormati permintaan hakimhakim berkenaan yang tercapai semasa perbincangan dengan mereka sebelum keputusan pembayaran itu dibuat.

"Kita hormati keputusan mereka dan malahan mereka juga merasa serba salah sama ada untuk menerima bayaran pampasan itu kerana bimbang ia satu perbuatan rasuah," katanya ketika menggulung perbahasan Rang UndangUndang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan menegaskan bahawa bayaran itu sebagai hadiah bagi mengenang jasa mereka, yang ada antaranya telah uzur dan sukar bergerak serta bagi membantu mengurangkan bebanan hidup selepas dipecat.

Katanya peristiwa pemecatan hakimhakim itu juga adalah satu titik sejarah hitam dalam bidang kehakiman negara apabila ada pihak menganggap kerajaan ketika itu bertindak mencampuri bidang kuasa kehakiman negara.

"Jadi semasa saya menjadi menteri, saya telah mencadangkan kepada kerajaan supaya kita membantu hakimhakim ini. Kita bukan beri pampasan, tapi sebagai hadiah untuk jasa mereka.

"Cadangan itu juga diterima baik oleh bekasbekas hakim," katanya.

Isu pembayaran exgratia itu menimbulkan perbahasan hangat di kalangan anggota Parlimen yang mempertikaikan bayaran itu sebagai tidak wajar serta mendesak Zaid untuk mengumumkan jumlah bayaran terbabit.

Antara mereka yang mendesak untuk mengetahui jumlah bayaran itu ialah Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Berhubung pembentukan Suruhanjaya Pelantikan Hakim pula, Zaid berkata kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak akan terjejas.

Menurutnya sesuatu keputusan suruhanjaya itu akan tetap dikemukakan kepada Perdana Menteri yang akan memberi kata putus untuk menerima atau sebaliknya penamaan sesuatu calon, seperti amalan di England.

Beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu dapat memastikan proses pelantikan hakim dibuat secara lebih telus berbanding amalan sekarang iaitu Ketua Hakim sahaja mempunyai kuasa untuk mencadangkan sesuatu kepada Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berhubung kes salah laku hakim, Zaid berkata hanya Ketua Hakim Negara yang berhak bertindak dan bukannya manamana menteri.

"Kuasa sebenar terletak kepada Ketua Hakim Negara...maka biarlah beliau bertindak," katanya berhubung pertanyaan mengenai salah laku hakim terutama melibatkan Hakim Datuk Ian Chin yang membuat kenyataan yang boleh menjejaskan sistem kehakiman negara ini.

Pada 11 Jun lepas, Chin semasa mendengar kes pertikaian terhadap keputusan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas di Sarawak, mendedahkan kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu persidangan hakim pada 1997 pernah mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan.

Dewan rakyat kemudian meluluskan Rang UndangUndang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 itu, yang antaranya bagi membolehkan seseorang hakim itu dihitung tempoh perkhidmatannya bermula dari tarikh beliau memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, bagi maksud perkiraan jumlah pencen. BERNAMA

Tiada ulasan: