Shafie Apdal tawar diri rebut jawatan Naib Presiden
KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.
Ketika mengumumkan hasrat itu di sini hari ini, beliau berkata penawaran itu dibuat bagi memenuhi hasrat umum rakyat Sabah yang mahu diberikan tempat di dalam tampuk kepimpinan kanan dalam parti dan kerajaan.
Shafie, yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, berkata hasrat beliau itu mendapat restu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri.
Shafie, yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno selama hampir empat penggal iaitu sejak 1997, juga telah menilai kemampuannya untuk bertanding jawatan itu.
"Saya menawarkan diri bukan mahu mengejar jawatan tetapi lebih untuk menjaga kebajikan parti dan ini tidak akan bermakna, jika kita menang tapi akhirnya parti berpecah belah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Seni Muzik Kebangsaan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini hari ini.
Beliau berkata penyatuan anggota Umno lebih penting daripada perjuangan peribadi yang hanya mahu merebut jawatan sematamata tanpa memikirkan hakikat perjuangan sebenar.
Selain Shafie, beberapa pemimpin UMNO telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Antaranya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi serta penyandang Datuk Seri Mohd Ali Rustam. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan