Kes liwat: Dewan Ulama PAS Pahang seru rujuk al-Quran dan Hadith
Basiron Abdul Wahab
TEMERLOH - Dewan Ulama PAS Pahang mahu semua pihak merujuk kepada al-Quran dan Hadith dalam menghadapi isu tuduhan liwat kali kedua membabitkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeAdilan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Setiausahanya, Ustaz Ahmad Najmi Abdul Rahim berkata, semua pihak sama ada individu yang menuduh, para penyiasat dan tertuduh perlu bermusabah dan merujuk kepada agama sebagai jalan terbaik untuk berhadapan dengan kes berkenaan.
Beliau berkata, semua pihak perlu merasa gerun kepada azab Allah sebelum membuat apa-apa tindakan berkaitan kes berkenaan.
Menurut Najmi, Dewan Ulama menentang segala bentuk kezaliman dan akan mempertahankan kebenaran tanpa mengira ia membabitkan mana-mana individu termasuk Anwar.
"Kami menentang semua bentuk kezaliman dan akan mempertahankan kebenaran tanpa mengira mana-mana individu termasuklah Anwar," ujarnya.
Beliau berkata, pengajaran daripada kes liwat pertama membabit Anwar wajar dijadikan teladan oleh semua pihak terbabit.
Kesengsaraan, penderitaan penyiksaan yang dialami individu terbabit tetap menjadi mimpi ngeri kepada semua pihak terlibat, katanya.
Walaupun kes berkenaan telah dibuang oleh mahkamah tetapi apakah kesengsaraan saksi semasa di dalam tahanan dan sebagainya sudah ditebus? solanya.
Justeru, Najmi berkata, Dewan Ulama tegas mahu kes liwat ini diselesaikan berdasarkan hukum syariah. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan