Pindaan AUKU tetap halang pelajar berpolitik
Mstar Online
SEPANG: Bacaan pertama pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang ditunggu-tunggu banyak pihak dijangka dibentangkan di Parlimen minggu depan.
Walaupun setelah dipolitikkan dengan meluas, dengan banyak pihak mahu agar pelajar universiti dan kolej dibenarkan berpolitik secara bebas pindaan itu tetap dijangka tidak membenarkan pelajar daripada terlibat dalam kegiatan siasah.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk, Khaled Nordin ketika ditanya mengenai perkara itu enggan mengesahkan sama ada pindaan AUKU tetap menghalang pembabitan pelajar dalam politik, tetapi berkata: "Pindaan ini bertujuan membuka ruang untuk pelajar menjadi lebih cemerlang.:
"Jika terlibat dalam politik tindakan akan ditetapkan oleh parti politik. Ini bermakna mereka tetap dikongkong, jadi macam mana hendak cemerlang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sidang kemuncak kerjaya di sini, hari ini.
Katanya, jika segala-galanya berjalan lancar, rang undang-undang pindaan akta itu akan dibaca kali kedua dan dibahaskan pada sesi Bajet bulan depan.
Katanya, cadangan pindaan yang terhadap akta itu telah dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Kabinet Jumaat lepas.
Mengenai penstrukturan semula caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Khaled berkata, keputusannya dijangka diketahui minggu depan.
Menurutnya, pihak kementerian masih menunggu jawapan balas daripada Majlis Fatwa yang dirujuk mengenai perkara itu bulan lepas.
Sebelum ini, Isu PTPTN menarik perhatian banyak pihak yang kurang senang dengan keputusan perbadanan itu mengenakan caj perkhidmatan tiga peratus.
Berikutan itu, Majlis Fatwa dirujuk oleh kementerian bagi memastikan sama ada caj tiga peratus daripada kadar bayaran balik yang dikenakan PTPTN boleh disifatkan sebagai mempunyai unsur riba.
Setakat ini, terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion. Daripada itu, hampir 50 peratus daripada mereka masih belum membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan