HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Julai 2008

Khaled Nordin tawar diri rebut Naib Presiden


JOHOR BAHARU: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini secara terbuka menawarkan diri untuk menjadi calon merebut jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu Disember nanti.

"Saya sanggup terima jika bahagian-bahagian menganggap saya berkemampuan untuk meneruskan usaha parti dan menyumbang kepada kekuatan parti melalui jawatan naib presiden," katanya kepada pemberita selepas perasmian berkelompok persidangan dan taklimat persidangan cawangan-cawangan Umno Bahagian Pasir Gudang di sini.

Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang itu berkata, beliau tidak akan berkecil hati sekiranya tidak menerima pencalonan mencukupi untuk bertanding jawatan itu kerana menjangka ramai yang akan menawarkan diri untuk jawatan tersebut termasuk dari Johor.

"Semua orang mempunyai hak untuk bertanding dan kita harus menghormati hak itu," katanya.

Katanya, ini akan memberikan anggota parti lebih banyak pilihan dalam membuat penilaian yang betul agar menjurus kepada kekuatan parti.

Ditanya mengenai kuota calon yang bertanding beliau menekankan bahawa: "Yang menawarkan diri itu tak patut tekankan sangat tentang kuota. Jika anggota fikirkan kita ini bagus, layak dan berkemampuan, parti akan calonkan kita, buat apa kita sibukkan cakap pasal kuota."

Khaled yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, pemilihan itu nanti akan melihat sama ada anggota parti akan memilih calon berdasarkan negeri atau kemampuan mereka.

Beliau berkata, suasana politik dalam Umno kini berbeza berbanding dulu sejak mengalami prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Katanya, anggota yang kini telah matang akan membuat penilaian yang betul dalam memilih pemimpin demi untuk memulihkan parti dan akan mengelakkan berlakunya sebarang perpecahan.

Mengenai penyerahan teraju kepimpinan Umno secara sukarela daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010, Khaled berkata, Umno Pasir Gudang menghormati keputusan tersebut.

"Ini petanda yang baik untuk parti dan saya berharap semua pihak dapat menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya.

Walaupun terdapat suara-suara sinis yang mengatakan bahawa penyerahan tersebut tidak akan berlaku, Khaled percaya Abdullah yang juga Perdana Menteri akan mengotakan kata-katanya.

"Pak Lah telah menyatakannya secara umum di hadapan kita semua maka tak ada sebab mengapa dia tidak mengotakannya," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: