HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Julai 2008

Pulau Pinang sasar bebas kemiskinan tegar tahun ini


PULAU PINANG: Kerajaan negeri komited untuk menjadikan Pulau Pinang negeri yang bebas daripada kemiskinan tegar tahun ini, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi merealisasikan hasrat itu ialah menggalakkan aktiviti yang dapat menjana pendapatan penduduk.

"Antara langkah yang diambil ialah meningkatkan pendapatan penduduk dengan sasaran pendapatan kasar isi rumah melebihi paras kemiskinan tegar," katanya ketika berucap pada majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan negeri Pulau Pinang sempena ulang tahun Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas yang ke70 di sini, hari ini.

Dalam usaha membasmi kemiskinan, beliau berkata kerajaan negeri juga mahu setiap keluarga memiliki sebuah rumah sama ada melalui sewaan atau pembelian.

"Kerajaan negeri berharap dapat mencapai hasrat itu melalui penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu milik merangkumi rumah kos rendah dan sederhana rendah," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menyediakan skim perumahan sosial bagi rakyat termiskin seperti Program Perumahan Rakyat yang dilaksanakan bagi tujuan disewa kepada rakyat yang kurang berkemampuan serta yang terjejas akibat projek pembangunan terbengkalai. BERNAMA

Tiada ulasan: