HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Julai 2008

MIC gesa kerajaan penuhi janji
Oleh Bernama


Kuala Lumpur: Rata-rata pemimpin yang membahaskan ucapan dasar presiden parti Datuk Seri S.Samy Vellu pada Perhimpunan Agung MIC ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) memenuhi permintaan parti untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi kaum India di negara ini.

Di samping itu, mereka juga memuji langkah MIC dalam melakukan proses penjenamaan semula parti dan berpendapat "kaedah politik lama" tidak lagi akan mendatangkan sebarang kejayaan kepada kaum India.

K. Maheswari, pemimpin dari Klang mahu kerajaan memberi peluang perniagaan sama rata kepada ibu tunggal yang kebanyakannya masih ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi mereka.

Mengenai belia India yang terjebak dalam kes jenayah, Maheswari berkata masalah itu boleh diatasi jika mereka diberi peluang pekerjaan.

M.Suresh, wakil dari Permatang Pauh berkata banyak keperluan masyarakat India tidak dipenuhi oleh kerajaan BN dan ini menyebabkan kaum India terus terkebelakang.

Beliau mahu MIC dan sekutunya memastikan masyarakat India dibawa ke dalam arus pembangunan.

Sementara itu, wakil dari Melaka Sankaran Narayanan meminta Jabatan Perdana Menteri mewujudkan satu unit khas iaitu Jabatan Kemiskinan Tegar untuk menangani masalah kemiskinan yang dihadapi oleh kaum India.

"Mengikut statistik, sebanyak 30 peratus daripada populasi kira-kira 1.2 juta orang masih lagi berada pada paras kemiskinan," katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam melahirkan rasa sedih terhadap prestasi buruk MIC pada pilihan raya umum ke-12 Mac lepas.

"Walaupun saya telah dua kali tidak bertanding (dalam pilihan raya umum) ia tidak menyedihkan saya tapi kekalahan MIC baru-baru ini membimbangkan saya," katanya.

Subramaniam menyatakan kesediaan beliau untuk memperkuatkan parti dengan menawarkan diri membantu membangunkan semula parti.

Tiada ulasan: