Oleh KAMIL MASLIH
JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas maut manakala lapan penumpang cedera apabila sebuah bas tambahan Hari Raya Aidilfitri merempuh tembok konkrit pembahagi laluan Touch ‘n Go di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, pemandu bas berkenaan, P. Anbalagan, 48, yang berasal dari Pasir Gudang mati di tempat kejadian akibat kecederaan serius di bahagian kepala dan badan.
Bas berkenaan membawa 13 warga Indonesia yang dipercayai pulang daripada bercuti hari raya di Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Johor, Supritendan T. Raveendran, siasatan awal mendapati bas berkenaan hilang kawalan semasa menuju ke plaza tol berkenaan sebelum merempuh tembok konkrit dan tiang laluan tersebut.
Laluan.
“Kejadian itu berlaku selepas bas tersebut yang sepatutnya menggunakan lorong sebelah kiri sekali bagi bas dan lori tiba-tiba menukar laluan ke lorong Touch ‘n Go apabila ia hampir sampai ke plaza tol,” katanya ketika dihubungi.
Raveendran berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada kejadian itu berpunca daripada masalah mekanikal ataupun kecuaian pemandu.
Beliau memberitahu, kesemua penumpang yang cedera dirawat di Hospital Kulai Jaya manakala mayat mangsa dihantar ke rumah mayat hospital berkenaan.
Menurut seorang saksi kejadian itu, M. Siva Chandran, 27, bas yang dipandu dalam kelajuan sederhana itu terbabas semasa menuju ke plaza tol tersebut.
“Pemandu bas cuba membuat brek kecemasan beberapa kali namun akhirnya bas itu merempuh tembok itu menyebabkan bunyi dentuman yang kuat,” katanya yang merupakan seorang pemandu lori tunda.
Berikutan kejadian itu, dia dan beberapa orang lain yang berada di tempat kejadian bergegas mengeluarkan penumpang bas berkenaan sebelum menghubungi pihak hospital bagi mendapatkan bantuan menyelamatkan mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan