Oleh SHARIZA ABDULLAH
YAN – Selepas dua bulan ‘melupakan’ alam persekolahan untuk menjadi kelindan lori bagi menyara lapan adiknya, Mohd. Norshahrul Amri Anuar, 14, kembali ke sekolah hari ini dengan semangat baru untuk memperbaiki hidup keluarga.
Malah dia yang lebih mesra dipanggil Mat berazam untuk belajar bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mensia-siakan peluang kedua kembali bersekolah atas keprihatinan banyak pihak.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titi Bakong di sini turut bersyukur dapat meneruskan persekolahan seperti rakan-rakan sebayanya.
Mat yang meminati bidang ketenteraan berkata, dia memang merindui suasana persekolahan terutama rakan-rakan yang lama tidak ditemui tetapi terpaksa berhenti sekolah kerana keperitan hidup keluarganya.
“Saya bersyukur kerana mendapat peluang untuk bersekolah semula. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya dan keluarga,” katanya yang mengayuh basikal ke SMK Yan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya itu.
Nasib Mat yang terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan harian RM10 untuk menyara lapan adiknya setelah bapanya dipenjarakan lebih sebulan lalu mengundang simpati pelbagai pihak selepas kisahnya disiarkan dalam Utusan Malaysia.
Selain pelbagai bantuan dihulurkan bagi meringankan beban keluarganya, Mat juga dapat kembali ke sekolah selepas mendapat sokongan pelbagai pihak yang mahu memastikan dia tidak lagi tercicir dalam pelajaran.
Dalam pada itu, ibu Mat, Norsidah Abu, 30, berkata, anak sulungnya itu kembali ke sekolah kali ini dalam keadaan yang berbeza berbanding sebelum ini.
Katanya, Mat kini bukan sahaja mempunyai peralatan persekolahan yang lengkap bahkan turut dapat membawa sedikit wang belanja.
“Kalau sebelum ini minta duit nak beli buku pun susah, tetapi sekarang ini alhamdulillah sudah berkemampuan. Semua ini adalah jasa baik semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Cempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang melawat Mat di SMK Yan berkata, pihaknya akan memantau perkembangan pelajaran Mat dari semasa ke semasa.
Katanya, beliau akan sentiasa berhubung dengan pihak sekolah berkenaan bagi memastikan remaja itu meneruskan pelajarannya sehingga dia menamatkan persekolahannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan