HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Oktober 2008

Pak Lah temui komponen BN jelas pelan peralihan

MSTAR ONLINE
[Dikemas kini]


PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menetapkan tarikh, dipercayai minggu depan, untuk menemui pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) bagi memaklumkan tentang perkembangan pelan peralihan kuasa 'yang baru'.

Kata beliau, tarikh itu akan ditetapkan selepas cuti sambutan Aidilfitri yang bermula hari ini.

"Apabila kita bertemu..., kita akan berbincang...selepas Raya," kata beliau.

Abdullah berkata demikian apabila diminta mengulas laporan media bahawa beberapa pemimpin parti komponen BN mengeluh kerana tidak dimaklumkan akan perkembangan berkaitan perubahan dalam rancangan peralihan kuasa itu.

Ia merupakan kenyataan pertama beliau berkaitan pelan peralihan kepimpinan kerajaan dan parti selepas keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno Jumaat lalu.

Abdullah menyatakan demikian di ibu negara tengah hari ini sempena majlis rumah terbuka sambutan Aidilfitri.

Pelan peralihan Jun 2010 sudah tidak akan dilaksanakan, sebaliknya Abdullah dijangka akan bersara lebih awal.

Minggu lalu, Abdullah yang juga Perdana Menteri dan Presiden Umno berkata, beliau akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatan parti ataupun sebaliknya sebelum bahagian-bahagian Umno memulakan persidangan perwakilan tahunan mereka pada 9 Oktober ini.

Terdahulu laporan Bernama menyebut Abbdullah dan isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah memulakan sambutan hari lebaran dengan mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agung Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara awal pagi ini.

Turut serta ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota Kabinet yang beragama Islam.

Bersama baginda berdua, mereka kemudian berangkat ke Masjid Negara bagi sembahyang solat sunat Aidilfitri sebelum kembali ke Istana Negara dengan diiringi oleh para duta dan pesuruhjaya tinggi untuk meraikan hari yang mulia ini.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Selepas itu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menterimenteri Kabinet dan isteri masing-masing berangkat ke Pusat Dagangan Dunia Putra untuk majlis rumah terbuka Hari Raya.

Rumah terbuka Hari Raya itu dibuka kepada para diplomat dan orang kenamaan dari pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, selepas itu dibuka kepada orang ramai sehingga pukul 4.30 petang.

Abdullah memulakan tradisi rumah terbuka Hari Raya bersama menteri-menteri Kabinet empat tahun yang lepas dan sejak itu ia membuka peluang kepada rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat dan juga warga asing untuk bertemu dengan pemimpin negara.

Para pelawat menikmati pelbagai juadah, yang disediakan oleh 45 chef di lima dewan utama, Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn, Dewan Tun Dr Ismail, Dewan Tun Razak 3 dan Dewan Tun Razak 4, PWTC.

Lebih kurang 200,000 orang dijangka mengunjungi majlis rumah terbuka itu dengan 150 anggota keselamatan ditempatkan untuk mengawal keadaan.

Sementara itu, mengenai rumah terbuka Hari Raya tahun ini, Abdullah berkata, bilangan pengunjung adalah lebih kurang sama seperti tahun lepas dan menyuarakan harapannya yang orang ramai akan mengambil kesempatan untuk mengunjungi rumah terbuka mereka yang meraikan Aidilfitri.

Abdullah berkata, sambutan Aidilfitri kini satu acara kebangsaan, satu acara yang seronok bagi semua.

Apabila ditanya sama ada beliau sedih kerana ini mungkin tahun terakhir beliau menyambutnya sebagai perdana menteri memandangkan peralihan kuasa itu, Abdullah berkata, beliau gembira seperti biasa.

"Saya dalam mood baik. Saya meraikan Hari Raya. Adakah saya nampak lain?," tanya beliau sambil tersenyum.

Tiada ulasan: