HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2009

"Saya cukup berani keluar Umno" - Nasarudin

MSTAR ONLINE


IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim sambil menegaskan beliau "cukup berani" untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau keluar Umno bukan kerana tidak berpeluang bertanding dalam pemilihan parti di Bahagian Parit tahun lalu.

"Ia tiada kaitan dengan itu dan perkara itu tidak timbul sama sekali," kata beliau yang keluar Umno Ahad lalu.

Malah kata Nasarudin, jika beliau lemah sudah pasti tidak berani untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

"Masih ada semangat untuk berjuang dalam diri saya," kata beliau selepas menemui pengundi-pengundinya malam tadi.

Beliau berucap dalam sesi Ceramah Khas Mesra Rakyat di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan dekat sini.

Ia antara lain bagi menjelaskan kepada rakyat di kawasannya mengenai pendirian beliau keluar Umno dan menyerta PKR.

Ia dianjurkan oleh PKR.

Turut hadir ialah Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ceramah itu, Nasarudin turut meminta ADUN Umno yang lain di Perak supaya menyertai PKR.

"Saya fikir mereka cukup matang untuk berfikir bagi diri masing-masing," katanya.

Sambil menyifatkan kehadiran yang ramai dalam ceramah itu, Nasarudin menjelaskan, beliau tidak pernah menyaksikan jumlah itu termasuk ketika kempen pilihan raya umum yang lalu.

"Justeru, ia adalah jelas bahawa orang ramai menyokong saya dan mereka gembira," katanya.

Beliau juga berkata, PKR tidak menawarkan apa-apa kepadanya untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Anwar pula berkata, beberapa ADUN Barisan Nasional juga ada menghubunginya untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut perkara tersebut.

Wanita KeADILan gesa amalan diskriminasi gender dihentikan

SUARA KEADILAN ONLINE


KETUA Wanita KeADILan Zuraida Kamaruddin menggesa Perdana Menteri, Abdullah Badawi untuk mengarahkan kesemua peringkat pentadbiran negara, khususnya Kementerian Pelajaran agar menghapuskan dengan serta-merta segala amalan diskriminasi gender bagi mengotakan komitmen beliau untuk menamatkan ketidakadilan yang berunsurkan gender.

Amalan diskriminasi ini telah didedahkan beliau dalam satu kenyataan yang diterima Suara Keadilan berikutan seorang wanita yang memohon jawatan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) telah dinafikan hak untuk diambil bekerja hanya kerana beliau sedang hamil.

“Insiden sedemikian mengukuhkan pengamatan bahawa gender mainstreaming di Malaysia terus gagal. Kegagalan itu telah meneruskan diskriminasi terhadap sebahagaian wanita di negara ini,” katanya.

Menurutnya, Perlembagaan mengenai pemberian hak kepada warganegara tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau gender (Perlembagaan Malaysia, Perkara 8[2]) hanya berupa tulisan-tulisan di atas kertas yang tidak memberi sebarang perlindungan yang bermakna kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya.

Tambahnya, lebih memburukkan adalah bilamana pelaku terhadap pelanggaran hak perlindungan itu ialah pihak agensi kerajaan sendiri, Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi Pejabat Pelajaran Daerahnya (PPD). Kerajaan sememangnya tidak acuh dalam meratakan pengetahuan dan penghayatan kesensitifan gender di kalangan masyarakat dan dalam pentadbiran kerajaan.

Sebagai pendandatangan kepada UN Convention for the Elimination of All Forms of Discrimination against Women, Malaysia, menurutnya selama ini telah dicanangkan sebagai komited dalam menghormati hak wanita Malaysia

” Perkara 11 dalam Konvensyen tersebut menuntut setiap negara agar mengambil segala langkah ke arah menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita dalam bidang pekerjaan bagi memastikan keadilan sebagai hak asasi sejagat untuk semua manusia berlaku,” katanya lagi dalam kenyataan bertarikh 28 Januari yang lalu.

Dalam kes ini, Noorfadilla Ahmad Saikin telah ditawarkan sebagai guru di bawah skima GSTT sembilan hari selepas menghadiri temuduga berkenaan pada 2 Januari lalu. Beliau telah diminta hadir untuk mengambil butiran penempatan sekolah di PPD, Hulu Langat.

Menurut kenyataan berkenaan, sebaik sahaja diberitahu bahawa beliau sedang hamil tiga bulan, pegawai yang bertugas terus menyatakan bahawa pemohon yang hamil sepatutnya tidak boleh memohon GSTT.

“Tiada alasan yang logik dikemukakan dan tiada pula tercatat di mana-mana dokumen permohonan tentang syarat bahawa pemohon hamil tidak dibenarkan memohon pekerjaan tersebut. Jelas sebagaimana yang disebutkan oleh Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Lok Yim Pheng, bagi wanita yang dinafikan hak untuk diambil bekerja hanya kerana mereka sedang hamil adalah tidak adil, khususnya bagi mereka yang benar-benar berminat dalam profesion perguruan,” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mempersoalkan kedudukan wanita

Soalnya, Mengapa ketidakadilan seperti ini tetap berulang dalam pentadbiran kerajaan? Kecuaian kerajaan BN dalam memastikan hak wanita terbela pada setiap ketika, tempat, masa, dan keadaan amatlah menghampakan.

Apakah Wanita Malaysia sekarang ini sentiasa boleh mengharapkan kerajaan Malaysia untuk memelihara dengan baik dan berkesan hak-hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan dan Undang-Undang serta Konvensyen Antarabangsa?

Kempen Kita Bersaudara dapat sambutan pelbagai kaum

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Kempen Kita Bersaudara terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia selepas dilancarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Sambutan Tahun Baru Hijrah pada 31 Disember 2008 lalu di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan.

Kempen anjuran Lajnah Penerangan dan Dakwah serta Lajnah Perpaduan Nasional, Dewan Muslimat PAS Pusat itu mensasarkan khusus untuk anggota Kelab Penyokong PAS serta seluruh rakyat Malaysia di seluruh negara tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi, selepas pelancaran, kempen itu meneruskan lagi acara sulungnya bertempat di pusat membeli belah KB Mall dengan program Rahsia 3C...Kita Bersaudara pada 1 Januari 2009 yang lepas.

Katanya, sasaran program Rahsia 3C...Kita Bersaudara khususnya kepada generasi muda dengan menampilkan pendekatan berhibur sambil menguji minda.

Tambah Aiman Athirah, selari dengan situasi semasa yang menuntut kepekaan semua pihak, Sekretariat Kempen Kita Bersaudara juga telah melebarkan solidaritinya dengan menerima pelawaan untuk turut serta dalam beberapa program berkaitan Isu Selamatkan Gaza (Palestin).

Ini termasuklah program Himpunan Aman "Rise For Gaza" yang dianjurkan oleh sebuah badan NGO, Aman Palestine pada 10 Januari 2009 bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam Selangor.

Justeru katanya, sekretariat Kempen Kita Bersaudara juga mengadakan jualan amal dan hasilnya dikumpulkan untuk membantu Misi Kemanusiaan Palestin.

"Kempen Kita Bersaudara juga telah mengiringi penghantaran Memorandum Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kepada Perdana Menteri pada 5 Januari 2009 yang menuntut agar satu sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan isu keganasan Israel di Gaza, Palestin.

"Sambutan baik juga jelas diberikan oleh semua ahli parlimen kepada kemunculan Kempen Kita Bersaudara ini," katanya dalam kenyataannya kepada Harakah.

Dalam pada itu katanya, Mood Kita Bersaudara juga telah mengiringi gerak kerja bagi membantu memenangkan calon PAS dalam PRK Kuala Terengganu. Sekretariat Kempen Kita Bersaudara telah membekalkan lebih 500 set bahan-bahan Kempen Kita Bersaudara untuk digunakan oleh para pimpinan dan petugas khususnya DAP dan keADILan.

Jelas Athirah, Kelab Penyokong PAS juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga sepanjang kempen serta merayu undi khususnya pada hari pembuangan undi dengan semangat "Nam Sagodarghel" (We Are Brothers) dan "Makkal Sakthi" (people's power). - mns_

Hanya pengecut tanding guna sistem kuota, hapus segera

MSTAR ONLINE


BALIK PULAU: Sambil menyifatkan mereka yang cuba mengelak daripada saingan sebagai "pengecut", anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Azalina Othman menggesa agar sistem kuota pemilihan parti itu dihapuskan secepat mungkin.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan berkata, MT Umno seharusnya mengambil keputusan segera berhubung penggunaan sistem kuota tanpa menunggu sehingga selepas perhimpunan agung tahunan dan pemilihan pusat Mac ini.

"Hanya pengecut memilih untuk bertanding di bawah sistem kuota. Puteri Umno tidak pernah mengamalkan sistem kuota ketika era saya dan malah sekarang dan sesiapapun boleh bertanding apa juga jawatan.

"Dan, begitu juga parti-parti lain seperti DAP, PKR dan PAS. Mereka tiada sistem kuota.

"Saya sedih dengan sistem ini yang tidak menggalakkan demokrasi dalam pertandingan parti," kata beliau pada sidang media selepas melancarkan "Zoom! Homestay Pulau Pinang di Pulau Betong di sini hari ini.

Azalina berkata, sistem itu mengurangkan peluang individu berkelayakan untuk bertanding.

Beliau menegaskan, sekiranya sistem itu dibubarkan maka ia akan menjadikan pemimpin yang bertanding untuk sesuatu jawatan itu lebih bertanggungjawab.

"Sistem kouta ini hanya menjadikan pemimpin menjaga orang-orang tertentu mendapatkan kouta untuk membolehkannya bertanding," katanya.

Beliau mengulas laporan mStar Online dan The Star hari ini bahawa MT Umno telah membincangkan syor bagi membolehkan lebih tiga juta ahli parti itu secara langsung memilih barisan kepimpinan termasuk peringkat pusat kelak.

Syor yang turut disentuh ialah menghapuskan sistem kuota yang diperkenalkan hampir dua dekad lalu.

Ia merupakan antara pelbagai syor dan saranan yang disentuh oleh MT malam kelmarin, hasil sesi retreat tahun lalu - susulan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Bagaimanapun MT tidak mengambil sebarang keputusan muktamad mengenai cadangan itu, sebaliknya perkara tersebut akan diteliti secara mendalam selepas perhimpunan agung dan pemilihan Mac ini.

Syor-syor itu yang dikemukakan pada mesyuarat itu, antara lain bertujuan menangani masalah gejala politik wang yang dilihat sebagai semakin serius selain mahu memperkukuhkan parti dari pelbagai sudut bagi menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Ketika dihubungi mStar Online semalam, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan seorang lagi anggota MT, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengesahkan perbincangan mengenainya.

Azalina juga mengakui bahawa cadangan memansuhkan sistem kuota berusia dua dekad merupakan antara beberapa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MT kelmarin.

"Umno kena berhenti bercakap saja, perlu jujur dan berubah untuk kekal relevan," katanya lagi.

Jelas beliau, sudah tiba masanya untuk Umno mula bekerja demi kestabilan dan kekuatan parti di masa hadapan.

Beliau berkata, perubahan yang dibuat oleh Umno mestilah disertakan dengan keikhlasan demi masa depan Umno sebagai sebuah parti yang disegani.

"Sebagai generasi muda dalam parti, saya melihat perlu adanya keikhlasan dalam perubahan yang dilakukan oleh Umno.

"Untuk berjaya Umno perlu berhenti bercakap dan mula bergerak," katanya.

90 calon ditawar borang tanding pemilihan Umno

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Kesemua 90 calon yang layak bertanding jawatan utama kepimpinan pusat Umno telah diminta mengembalikan borang penerimaan tawaran bertanding sebelum 20 Februari ini bagi mengelakkan pencalonan terbatal.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, surat tawaran kepada semua calon yang layak bertanding telah mula diedarkan oleh ibu pejabat Umno sejak Khamis lalu.

"Surat-surat tawaran untuk calon bertanding sudah kita edarkan," katanya.

Pemilihan akan berlangsung sempena perhimpunan agung tahunan hujung Mac ini.

Bagi calon-calon yang gagal mengembalikan borang dengan lengkap sebelum berakhirnya tarikh yang ditetapkan, pencalonnan mereka akan terbatal dengan sendirinya, kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Selain itu borang pelantikan wakil calon untuk jawatan-jawatan yang dipertandingkan turut disertakan dan perlu dikembalikan dalam tempoh yang sama.

Bagi pemilihan kali ini, lima jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) akan dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli MT.

Hanya jawatan Presiden menyaksikan tiada pertandingan apabila Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi calon tunggal yang melepasi minimum 58 kuota pencalonan.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatannya.

Dalam pada itu, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri juga mengadakan pemilihan - berlangsung sehari sebelum perhimpunan agung Umno.

Berikut adalah senarai calon-calon yang layak bertanding:

PENGERUSI TETAP

1. Badruddin Amiruldin – Jerai 2. Che Onn Ismail – Kapar

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

1. Mohamad Aziz – Sri Gading

2. Badruddin Amiruldin – Jerai

3. Ahmad Bhari Abdul Rahman – Selayang

4. Mohd Ali Hassan – Tebrau

5. Che Onn Ismail – Kapar

6. Abdul Raman Suliman – Parit Buntar

7. Rizuan Abdul Hamid – Kepong

8. Azumu Tak – Ipoh Barat

PRESIDEN

1. Mohd Najib Tun Abd Razak – Pekan (Menang tanpa bertanding)

TIMBALAN PRESIDEN

1. Muhyiddin Mohd Yassin – Pagoh

2. Mohd. Ali Mohd. Rustam – Bukit Katil

3. Muhammad Muhammad Taib – Kelana Jaya

NAIB PRESIDEN

1. Hishammuddin Tun Hussein - Sembrong

2. Ahmad Zahid Hamidi – Bagan Datok

3. Mohd Shafie Apdal – Semporna

4. Mohamed Khaled Nordin – Pasir Gudang

5. Syed Hamid Syed Jaafar Albar – Kota Tinggi

6. Mohd Isa Dato Abd Samad – Telok Kemang

7. Rais Yatim – Jelebu

8. Jamaludin Dato Mohd Jarjis – Rompin

9. A. Rahim Tamby Chik – Kota Melaka

AHLI MAJLIS TERTINGGI

1. Noh Omar – Tanjong Karang

2. Mohd Zin Mohamed – Sepang

3. Musa Aman – Libaran

4. Mustapa Mohamed – Jeli

5. Abdul Ghani Othman – Ledang

6. Ismail Sabri Yaakob – Bera

7. Zainal Abidin Osman – Nibong Tebal

8. Azian Osman – Ipoh Timur

9. Tajuddin Abdul Rahman – Pasir Salak

10. Adnan Yaakob – Bentong

11. Azalina Othman – Pengerang

12. Abd. Latiff Ahmad – Mersing

13. Mohamad Hassan – Rembau

14. Sharil @ Shahrir Ab Samad – Johor Bahru

15. Mahdzir Khalid – Padang Terap

16. Ahmad Husni Mohd Hanadzlah - Tambun

17. Hamzah Zainudin – Ipoh Barat

18. Ahmad Shabery Cheek – Kemaman

19. Mohd Puad Zarkashi – Batu Pahat

20. Noraini Ahmad – Parit Sulong

21. Zulhasnan Rafique – Setiawangsa

22. Awang Adek Hussin – Bachok

23. Mohamad Norza Zakaria – Wangsa Maju

24. Mohd Johari Baharum – Kubang Pasu

25. Shahidan Kassim – Arau

26. Idris Haron – Tangga Batu

27. Abd Aziz Sheikh Fadzir – Baling

28. Anifah Aman @ Haniff Bin Amman - Kimanis

29. Lajim Ukin – Beaufort

30. Shaziman Abu Mansor – Tampin

31. Zambry Abd Kadir – Lumut

32. Saifuddin Abdulllah – Temerloh

33. Ahmad Said – Kemaman

34. Idris Jusoh – Besut

35. Md Alwi Che Ahmad – Ketereh

36. Syed Ali Abbas Alhabshee – Cheras

37. Md. Isa Sabu – Kangar

38. Moktar Radin – Kinabatangan

39. Abdul Latiff Mirasa – Bagan

40. Hilmi Yahaya – Balik Pulau

41. Abdul Azeez Abdul Rahim – Baling

42. Norraesah Mohamad – Balik Pulau

43. Hasan Malek – Kuala Pilah

44. Raja Ropiaah Raja Abdullah – Petaling Jaya Utara

45. Jamaludin Dato Mohd Jarjis – Rompin

46. Shahrizhat Abdul Jalil – Kepong

47. Abdul Rahman Bakar – Marang

48. Abdul Aziz Shamsuddin – Gopeng

49. Mohammed Radzi @ Mohd Radzi Manan – Kampar

50. Raja Ahmad Zainuddin Raja Haji Omar - Larut

51. Halimah Mohamed Sadique – Tenggara

52. Ghazali Ibrahim – Padang Terap

53. Masidi Manjun @ Masdi – Ranau

54. Astaman Abdul Aziz – Wangsa Maju

55. Ishak Ismail – Seremban

56. Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali – Gerik

57. Siti Zaharah Sulaiman – Paya Besar

58. Md Salleh Md Said – Kota Belut

59. Subahan Kamal – Selayang

60. Zahidi ainul Abidin – Padang Besar

61. Adnan Wan Mamat – Kuantan

62. Azhar Ibrahim – Kepala Batas

63. Abdullah Md Zin – Besut

64. Mohd Radzi Sheikh Ahmad – Kangar

65. T. Putera T. Awang – Hulu Terengganu

66. Azimi Daim – Kulim – Bandar Baharu

67. Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri – Kuala Nerus

68. Sazmi Miah – Machang

69. Mohamed Jin Samsudin – Bukit Gantang

70. Lilah Yasin – Jempol

71. A Rahim Tamby Chik – Kota Melaka

72. Syed Hamid Tan Sri Syed Jaafar Albar – Kota Tinggi

Undur menjelang Ogos? Samy tunggu masa sesuai

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden yang paling lama menerajui MIC, mengumumkan mahu melepaskan jawatan itu menjelang suku ketiga tahun ini.

Ketika membayangkan kemungkinan itu, bekas Menteri Kerja Raya itu berkata, "saya hanya akan berada dalam MIC antara enam hingga tujuh bulan sahaja."

Bagaimanapun beliau tidak memberikan dengan jelas tarikh akan berundur daripada memegang jawatan itu.

Kata Samy Vellu lagi, jikapun bersara daripada politik tahun ini beliau tetap akan memantau perjalanan MIC dari dekat.

"Saya tidak akan tinggal di Australia ataupun Britain selepas melepaskan jawatan.

"Saya akan tinggal di Kuala Lumpur untuk melihat perkembangan semasa politik," kata beliau yang dipetik oleh akhbar Makkal Osai hari ini.

Beliau memegang jawatan itu sejak 1979.

Samy Vellu yang tewas dalam mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu telah menyatakan hasrat untuk bertanding semula jawatan Presiden MIC - buat penggal ke-10.

Pemilihan Presiden dijangka diadakan April atau Mei ini.

Samy Vellu tidak dapat dihubungi untuk pengesahan dan ulasan lanjut mengenai laporan akhbar itu.

Bagaimanapun beberapa pemimpin MIC yang menghadiri majlis perasmian bangunan pengusaha butik masyarakat India di ibu negara kelmarin mengesahkan Samy Vellu ada mengatakan demikian.

Pemimpin-pemimpin itu memberitahu Samy Vellu tidak menekankan hasrat tersebut, sebaliknya bercakap seimbas lalu.

mStar Online juga difahamkan pemilihan Presiden MIC, yang lazimnya diadakan berasingan daripada pertandingan bagi jawatan-jawatan utama pusat yang lain, kemungkinan ditangguhkan sehingga September ini.

Pada 28 November ini, Samy Vellu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang rancangan untuk berundur walaupun kebanyakan parti komponen utama dalam Barisan Nasional (BN) telah melakukan perubahan kepimpinan.

Beliau berkata, kepimpinannya dalam MIC tetap diperlukan kerana beliau masih terus berkerja untuk masyarakat India di negara ini.

Dalam pada itu, Samy Vellu hari dalam kenyataan yang diedarkan menerusi SMS berkata, beliau akan mengumumkan penyerahan jawatan Presiden parti pada masa yang sesuai kepada seiapa yang dilantik sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti September ini.

"Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, misi saya sekarang ialah untuk mengukuhkan parti dan kemudian menyerahkannya kepada (mereka yang bakal dilantik sebagai) timbalan presiden," katanya.

Beliau juga mengesahkan hari ini bahawa tidak terdapat sebarang jangka waktu yang ditetapkan bagi penyerahan itu.

Samy Vellu berkata beliau akan berbincang dengan anggota parti terlebih dahulu sebelum memutuskan tarikh berkenaan.

Teka-teki lompat parti di Negeri Sembilan

Muda Mohd Noor


Jika benar akan berlaku usaha melompat parti dalam masa terdekat di Negeri Sembilan, hanya tiga wakil rakyat Umno yang berpotensi menyertai Pakatan Rakyat, dakwa ketua bahagian Seremban.

Datuk Ishak Ismail berkata calon-calon itu kemungkinannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting, Shamsul Kahar Md Deli, Datuk Aziz Shamsuddin (Palong) dan Mustafa Salim (Lenggeng).

Dua daripada mereka, Aziz dan Mustafa, bagaimanapun menafikan mereka akan menyertai pembangkang.

Dihubungi hari ini, Ishak berkata desas-desus itu disampaikan orang kepadanya.

"Tetapi daripada bacaan saya, Aziz yang paling berpotensi akan menyertai PKR," katanya.

Aziz, ketika dihubungi petang ini berkata, beliau tidak ingin campur urusan PKR.

"Soal PKR ini saya cukup menyampah, saya tidak mahu," katanya.

Mustafa pula berkata, "walau apa terjadi" beliau tidak akan meninggalkan Umno.

"Saya menolak sekeras-kerasnya spekulasi saya akan menyertai PKR," katanya kepada Malaysiakini.

Manakala Shamsul Kahar yang juga exco pelajaran dan pendidikan tinggi kerajaan negeri tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan spekulasi tersebut.

Ketua Wanita Umno bahagian Jempol, Noraini Idris berkata, orang mengaitkan nama Shamsul Kahar dan Aziz kerana kedua-dua mereka kalah dalam pertandingan bahagian baru-baru ini.

"Orang sengaja nak buruk-burukkan nama mereka. Saya tidak dengar khabar mereka nak masuk parti lain," katanya.

Ishak juga berkata, ketiga-tiga mereka dianggap mempunyai masalah kerana tewas dalam pertandingan peringkat bahagian masing-masing.

Aziz kalah di Jempol kepada penyandang jawatan ketua bahagian Datuk Lilah Yassin.

Shamsul Kahar pula tewas jawatan timbalan ketua bahagian itu kepada Mohd Salim Shariff, manakala Mustaffa sedang menghadapi tindakan undang-undang.

Ketika dihubungi, ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salawati Abdullah berkata, beliau mendengar berita PKR memujuk bekas ketua-ketua cawangan Umno untuk memujuk wakil rakyat mereka supaya menyertai parti pembangkang tersebut..

"Ini berlaku di kawasan Seremban dan luar Seremban tetapi saya tidak tahu sama ada benar atau tidak.

"Saya baru dengar dari kawan-kawan di sini," katanya.

Bekas setiausaha Umno bahagian Seremban, Datuk Md Yusop Hermain Shah pula berkata, cakap Ishak tidak boleh dipercayai dengan mendakwa pemimpin itu "mahu memecahbelahkan Umno negeri".

Difahamkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri satu program PKR di Tampin, bulan depan.

Seorang pemimpin PKR negeri Badrul Hisham Shahrin berkata, Anwar akan mengumumkan tiga atau empat wakil rakyat Umno yang akan menyertai parti itu "dalam masa terdekat".

Beliau bagaimanapun tidak menamakan wakil-wakil rakyat terbabit.

Sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan beberapa Adun BN akan meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan - keputusan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan BN itu.

Pada pilihanraya umum lalu, BN negeri memperoleh majoriti mudah dengan meraih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 15 lagi kerusi dimenangi pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS .

Desas-desus isu lompat parti - antara kedua-dua hala BN dan Pakatan Rakyat - muncul kembali susulan penyertaan Adun Bota, Perak Datuk Nasharuddin Hashim bersama PKR hujung minggu lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan desas-desus beberapa Adunnya akan menyertai pembangkang.

Umno kaji undian langsung, hapus sistem kuota

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) Umno telah membincangkan syor bagi membolehkan lebih tiga juta ahli parti itu secara langsung memilih barisan kepimpinan termasuk peringkat pusat kelak.

Syor yang turut disentuh ialah menghapuskan sistem kuota yang diperkenalkan hampir dua dekad lalu.

Ia merupakan antara pelbagai syor dan saranan yang disentuh oleh MT malam kelmarin, hasil sesi retreat tahun lalu - susulan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Bagaimanapun MT tidak mengambil sebarang keputusan muktamad mengenai cadangan itu, sebaliknya perkara tersebut akan diteliti secara mendalam selepas perhimpunan agung dan pemilihan Mac ini.

Syor-syor itu yang dikemukakan pada mesyuarat itu, antara lain bertujuan menangani masalah gejala politik wang yang dilihat sebagai semakin serius selain mahu memperkukuhkan parti dari pelbagai sudut bagi menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Umumnya dipercayai sistem kuota mendapatkan pencalonan dan pengundian berpusat dipercayai antara punca yang menyumbang kepada berleluasanya masalah rasuah politik semasa pemilihan.

Mesyuarat MT kelmarin yang berlangsung lebih tiga jam dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

MASIH PERINGKAT CADANGAN

Ketika dihubungi mStar Online semalam, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mengesahkan syor-syor itu ada disentuh kelmarin tetapi "ia masih di peringkat cadangan."

"Belum ada keputusan muktamad, ia hanya di peringkat cadangan... belum ada keputusan lagi," kata beliau.

Umno kini mempunyai kira-kira 3.5 juta ahli termasuk empat sayap iaitu Wanita, Pemuda, Puteri dan Putera.

Bagaimanapun Putera Umno tidak melibatkan pemilihan formal masa sekarang.

Sistem kuota diperkenalkan selepas pemilihan sengit tahun 1987, yang membawa kepada perpecahan dalam parti dan Umno diharamkan tahun berikutnya.

BANYAK CADANGAN

Sambil mengakui banyak cadangan telah dibangkitkan dan masih dikemukakan, Muhammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor memberitahu, perkara tersebut akan diteliti selepas pemilihan Mac ini.

"Syor supaya sistem kuota juga dikaji semula juga dilontarkan," katanya.

"Cadangan ini tidak akan dilaksanakan Mac ini, tetapi akan dilaksanakan pada pemilihan akan datang jika diterima pakai," katanya.

JAWATANKUASA PENGURUSAN

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ini juga berkata, jawatankuasa pengurusan akan meneliti secara mendalam kesemua cadangan yang dikemukakan selepas pemilihan.

Muhammad menambah, MT membincangkan pendekatan baru yang menyeluruh untuk menyuntik semangat baru kepada ahli-ahli Umno bagi menghadapi masa depan.

"Syor-syor itu dikemukakan agar ahli-ahli Umno diberikan semangat baru dan parti bergerak mengikut kesesuaian semasa," katanya lagi.

KOMEN SETIAUSAHA AGUNG

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, MT telah memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa cadangan yang dikemukakan semasa retreat Umno termasuk pemansuhan sistem kuota.

Namun jelas beliau, cadangan bagi menghapuskan sistem kuota mustahil untuk dilaksanakan pada pemilihan kali ini jika pun parti bersetuju menerimanya.

Bagaimanapun beliau menambah, cadangan itu akan diperhalusi dan dipertimbangkan dari pelbagai aspek demi kebaikan parti.

"Jika parti setuju nak hapuskan, paling cepatpun (laksana) dalam pemilihan akan datang. Kalau itu (hapus kuota) yang terbaik, kita akan percepatkan," katanya.

PERUBAHAN MENYELURUH

Dalam pada itu, seorang lagi anggota MT, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, syor pemansuhan sistem kuota merupakan antara pelbagai idea yang dibincangkan untuk memperkukuhkan sistem parti dari segi pentadbiran, pengurusan dan perlembagaan.

"Ia dibincangkan... pada dasarnya kebanyakan ahli bersetuju bahawa sistem kuota ini perlu dihapuskan," kata beliau yang juga Menteri Dalam Negeri.

"Ia merupakan sebahagian daripada proses untuk berhadapan dengan peralihan kuasa dan memantapkan terus Umno... kita mengkaji semua mekanisme yang sedia ada dan mewujudkan mekanisme yang baru jika perlu bagi Umno menghadapi pemilihan dan pilihan raya umum akan datang," katanya.

Muhyiddin, Karpal mahu undang-undang halang lompat parti

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu undang-undang digubal bagi menghalang seseorang wakil rakyat melompat parti.

"Bukannya kita takut ada lagi yang akan meninggalkan Barisan Nasional tetapi ini adalah soal prinsip," kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kota Kinabalu semalam.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di rumah terbuka Presiden Parti Liberal Demokrat, Datuk VK Liew yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Muhyiddin berkata, cadangan itu perlu dilihat secara serius dengan mengambil kira senario politik semasa.

"Secara peribadi, saya setuju tetapi terpulang kepada pemimpin-pemimpin BN untuk meminda Perlembagaan," kata beliau dipetik Bernama.

Kelmarin, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan melahirkan pandangan bahawa masanya sudah tiba bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memperkenalkan undangundang seperti itu agar kestabilan politik dapat diwujudkan berdasarkan keikhlasan dan kejujuran seseorang itu.

Sambil menekankan bahawa perbuatan melompat parti harus dikecam tanpa sebarang tolak ansur, Karpal berkata, pendirian DAP dalam soal itu adalah jelas.

"Kehendak rakyat tidak boleh dikompromi oleh mana-mana perwakilan yang mengkhianati pengundi mereka dengan melompat parti," katanya.

Bagi mengelakkan perbuatan melompat parti, jelas beliau, Perlembagaan Persekutuan memerlukan pindaan segera untuk mengatasi kejadian-kejadian berpindah parti lain.

"Dalam menggesa pindaan sedemikian, Pairin boleh dianggap bahawa beliau mempunyai restu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang wajar menggerakkan pindaan sepatutnya pada sesi Parlimen yang bermula 16 Februari ini," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di sini.

Syor berkenaan menjadi perhatian ekoran tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bota di Perak, Datuk Nasarudin Hashim dari Umno melompat Parti Keadilan Rakyat pada Ahad lalu.

Kugan: BNBBC gesa elak SMS hasutan perkauman

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) telah meminta masyarakat India di negara ini supaya jangan bertindak emosi serta menghentikan penghantaran teks khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau hasutan perkauman berhubung kes kematian A. Kugan.

Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia adalah penting bagi mengelak keruntuhan harmoni dan perpaduan yang dipupuk dalam masyarakat pelbagai bangsa dan kaum di Malaysia.

"Biar kita melihat secara membina untuk bekerjasama bagi mengenal pasti faktor-faktor bersama yang akan mengubah prosedur polis berhubung tahanan dalam polis.

"Ia bukan untuk membahagi-bahagikan kesalahah tetapi menonjolkan pengajaran am yang membantu mencegah kemungkinan kematian seperti itu berulang pada masa depan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tiong berkata, wujud kebimbangan dari pelbagai aspek yang perlu diubah bagi membanteras sepenuhnya kematian dalam tahanan.

Katanya, proses pemilihan anggota polis perlu disemak semula bagi mencerminkan kualiti kelayakan dan keupayaan untuk berkhidmat kepada negara.

"Tenaga pengajar di akademi polis perlu disaring sebelum diterima bekerja dan semua pelatih polis tidak harus dibenarkan lulus secara automatik tetapi hanya mereka yang layak sahaja boleh keluar untuk berkhidmat," katanya.

Tiong berkata, anggota polis perlu juga didedahkan kepada kaedah baru soal siasat suspek tanpa kekerasan dengan bantuan pakar dari luar negara.

"Kami menggesa polis menjalankan siasatan secara adil atas kematian Kugan dan biar kita duduk bersama untuk mencari penyelesaian kekal bagi membanteras kejadian suspek mati dalam tahanan," katanya.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari di lokap di Balai Polis Taipan, Subang Jaya, kerana disyaki terbabit dalam kecurian kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, mati semasa disoal siasat pada 20 Jan lalu.

Tajol dipertanggungjawabkan, bagaimana dengan Najib?

WAN NORDIN WAN YAACOB


KUALA LUMPUR - Tindakan Umno/BN mempertanggungjawabkan Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali berikutan kemasukan Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim ke dalam Parti Keadilan Rakyat menunjukkan Umno berat sebelah.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar kepada Harakah semasa dihubungi bagi mengulas isu berkaitan Tajol Rosli di Perak.

"Mengapa Tajol sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan berikutan isu kemasukan Adun Bota ke dalam KeADILan?

"Mengapa tidak Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu BN, Dato' Seri najib Tun Razak tidak dipertanggungjawabkan di atas kekalahan memalukan Umno di sana?," katanya.

Sedangkan kata Kamarudin dalam kes Najib, ia lebih memalukan kerana Parlimen Kuala Terengganu adalah kerusi yang dimenangi Umno/BN pada pilihan raya umum Mac 2008.

"Terang-terang kekalahan di Parlimen Kuala Terengganu amat memalukan Umno dan mengapa Najib tidak diambil tindakan seperti Tajol?," katanya lagi.

Majlis Tertinggi (MT) Umno 29 Januari menerima peletakan jawatan Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta merta.

Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat Tajol Rosli digantikan Najib.

Bercakap kepada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu, beliau bagaimanapun memberitahu bahawa Najib hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung Umno Mac ini.

Menurut Perdana Menteri, langkah ini diputuskan berdasarkan kehendak Tajol Rosli sendiri yang merasakan perlu ada pemimpin lain yang mengetuai UMNO Perak.

"Hanya setakat sampai Mac iaitu sampai selesainya Perhimpunan Agung Umno. Selepas itu akan dilantik ketua baru bagi Umno Perak.

"Sementara yang akan jadi Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Zahid pun begitu juga sampai selepas perhimpunan agung. Selepas itu keputusan baru akan dibuat," katanya./wann_

Presiden PAS dan rombongan pimpinan serah dana RM 250,000, tinjau penderitaan Gaza

Harakahdaily


RAFAH, Mesir - Bendahari PAS Dr Hatta Ramli memaklumkan kepada Penolong Pengarang Harakahdaily Azamin Amin melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan 20 anggota rombongan PAS telah berjaya menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan PAS sejumlah RM250,000 untuk meringankan derita penduduk Gaza di Palestin.

Kata Dr. Hatta yang kini berada di sana, Ustaz Hadi dan rombongan termasuk sembilan ahli parlimen PAS mahu melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung umat Palestin akibat serangan Zionis.

Rombongan pimpinan PAS yang berlepas ke Mesir 28 Januari lalu telah selamat tiba di Rafah semalam dan dalam usaha menuju ke Gaza, Palestin.

"Rombongan Presiden PAS telah mendapat taklimat daripada Duta Malaysia di Mesir dan turut mendapat sokongan namun kerajaan Mesir tidak membenarkan kami memasuki Gaza, dan masih berada di Rafah," katanya melalui sms tersebut.

Sebelum itu katanya, mereka telah melawat Hospital Arish pada sebelah paginya untuk melihat mangsa serangan Israel ke atas Palestin.

"Ramai sukarelawan pelbagai bangsa kecewa kerana tidak dapat sumbang bakti di Gaza akibat peraturan ketat kerajaan Mesir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Arish jauhnya 40 kilometer dari Rafah dan adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin.

Di hospital itu katanya Tuan Guru Presiden PAS telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.

"Selain itu, Presiden dan rombongan dalam rangka lawatan menemui para pemimpin Ikhwan di Mesir, kemudian Damsyik, Beirut dan Amman seterusnya berjumpa dengan pemimpin Hamas sendiri.

"Objektif utama selain menyalurkan pelbagai jenis bantuan, Presiden dan pimpinan PAS mahu berbincang dan merangka bersama-sama pemimpin tersebut mekanisme dan tindakan terbaik bagi mengatasi kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin khususnya Gaza disamping menilai sendiri kemusnahan yang dialami untuk tujuan bantuan seterusnya ," katanya.

Keesokannya (31 Januari, hari ini), rombongan pimpinan PAS itu akan berlepas ke Damsyik untuk menemui pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Meshaal bagi meneliti langkah-langkah selanjutnya untuk rakyat Palestin khususnya melibatkan pembangunan semula Gaza dari segi modal insan, pendidikan dan ekonomi.

"Kami seterusnya akan melalui jalan darat ke Beirut menemui pemimpin gerakan Islam termasuk Hamas dan Fathi Yakan untuk berbincang masalahummah dan tindakan terdekat. Destinasi terakhir ialah Jordan untuk menemui pimpinan Ikhwan Muslimin dan untuk dapat taklimat tentang Tebing Barat.

"Jumlah sumbangan PAS sebanyak RM250,000 yang diterima daripada pelbagai pihak dan masyarakat prihatin di Malaysia telah berjaya kita sampaikan," katanya.

Selain beliau dan Presiden, ahli parlimen yang turut serta dalam rombongan ialah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian dan Ketua Pemuda PAS), Dr. Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lo' Lo' Ghazali (Tititwangsa), Dr. Mujahid Rawa (Parit Buntar),Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Hayati Othman (Pendang), Roslan Shaharum (Bukit Gantang) dan beberapa akitivis yang lain.

"Terima kasih atas doa, sumbangan dan keprihatin orang ramai kepada rakyat Palestin dan semoga semangat perjuangan sentiasa disemarakkan dan doakan kami selamat kembali," kata Dr Hatta dalam sms ketujuh kepada Azamin lewat jam 10.00 malam semalam. - azm

Jumaat, 30 Januari 2009

Kekerasan: SPRM tubuh pasukan khas, minta polis siasat kesahihan laporan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan penubuhan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Maran bahawa pegawainya menggunakan kekerasan semasa menjalankan siasatan.

Dalam satu kenyataan media petang tadi, SPRM juga meminta polis mengambil tindakan terhadap pengadu terbabit jika laporan yang dibuat adalah palsu.

"SPRM memberi jaminan penyiasatan itu akan dilakukan secara profesional dan adil. Penyiasatan dalaman itu akan dipantau oleh Jawatankuasa Aduan yang dibentuk di bawah Seksyen 15 Akta SPRM 2009.

"Pada waktu sama, pegawai SPRM Pahang turut membuat laporan polis berikutan wujud unsur ugutan bagi tujuan memburukkan imej SPRM kepada pihak tertentu.

"Sekiranya dakwaan itu tidak benar dan berunsur fitnah, satu tindakan wajar diambil ke atas pengadu yang sudah membuat laporan palsu itu," tegas kenyataan itu.

Sukan: Jaguh Kampung, Jaguh Dunia

A Kadir Jasin


PEMBAHAS Sinbad kata dia tengok saya dalam Astro bercakap fasal sukan. Itu rancangan lama. Saya dan tiga ahli penal lain berbincang tajuk “Jaguh Kampung, Jaguh Dunia.”

Saudara Sinbad minta saya ulas fasal sukan. Saya tak pandai sukan. Dan saya pun bukan jenis yang kuat bersukan. Not the athletic type, kata orang putih.

Masa kanak-kanak ada kawan-kawan yang kata saya “ponen”. Tapi saya main juga bola sepak, sole, randas (rounders) dan sepak raga dengan budak-budak pondok berdekatan rumah saya.

Daripada dulu hingga sekarang saya suka berkebun. Itulah bentuk senaman yang saya buat hampir setiap hari. Saya berkebun bunga dan sayur-sayuran. Kalau memelihara ikan dan memancing boleh dianggap bersenam, saya bersenamlah seadanya.

Masa kanak-kanak dan waktu sekolah menanglah kita minat bola. Kita semua nak jadi (Datuk) Abdul Ghani Minhat, Raja Bola yang mengharumkan nama Malaysia dalam arena bola sepak Asia pada tahun 1950-an hingga penghujung 1960-an.

Waktu itu pasukan bola Malaysia hebat. Selalu di tempat teratas dalam carta bola sepak Asia. Selalu johan Merdeka Cup.

Setiap kampung ada pasukan bola. Padang bola dengan padang ragut sama. Tiang gol kita buat daripada buluh. Pada musim kemarau kita main bola dalam bendang yang kering kontang. Kita tak pakai kasut dan selalu “aim” betis kering lawan.

Budak-budak kampung waktu itu kurus dan renjong sebab makan ala kadar dan sering diserang bermacam-macam penyakit macam demam kura (malaria), lelah dan jangkitan pelbagai jenis cacing sehingga boroi perut. Kudis buta, kurap, panau, hingus dan telinga bernanah perkara biasa.

Tetapi yang selamat dan tak mati selalunya menjadi kuat, tahan lasak dan gigih – kuat bersawah, kuat menternak kerbau lembu dan kuat bersukan. Ada juga yang berjaya menjadi orang profesional.

Malangnya selepas menikmati kesenangan hasil kemajuan ekonomi, ramai kawan-kawan saya yang satu sekolah dengan saya di Sekolah Melayu Pendang, di Saint Michael School dan Maktab Sultan Abdul Hamid di Alor Star kena kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ramai sudah meninggal dunia atau kena potong sana sini.

Waktu itu kita main bola kerana minat dan kerana hendak naikkan nama kampung. Setiap kampung ada youth club, ada pasukan bola dan ada gelanggang silat.

Di Kedah, jaguh dan juara bola selalunya pasukan estet macam Harvard Estate dan Sungai Tok Pawang Estate.

Sekarang kampung tak ada padang bola lagi. Kalau ada pun ditumbuhi rumput dan lalang. Padang ragut sudah dipugar menjadi sawah atau kampung. Ada tidak pun padang sekolah dan padang di kompleks sukan daerah.

Banyak punca dan situasi yang menyebabkan mutu dan pencapaian sukan negara semakin hari semakin meragukan.

Mungkin kita boleh mempertimbangkan fakta dan faktor berikut:-

1. Sistem pendidikan yang terlampau mengutamakan peperiksaan dan pencapaian akademik;

2. Kedudukan dan keutamaan sukan yang sekadar melepas batuk di tangga dalam sistem kokurikulum;

3. Sistem persekolahan yang tidak memberi pengiktirafan yang secukupnya kepada kebolehan dan bakat istimewa (special skills and talents) murid;

4. Kegiatan sukan terlalu kerap dilanda kemelut politik, sama ada politik persatuan atau campur tangan parti-parti politik;

5. Sukan terlalu bergantung kepada naungan dan bantuan kewangan daripada kerajaan;

6. Ini memberikan alasan kepada kerajaan dan parti-parti politik masuk campur dalam pentadbiran dan urusan badan-badan dan pasukan-pasukan sukan;

7. Boleh dikatakan hampir semua badan sukan utama dipimpin atau dinaungi oleh orang politik atau isteri, anak dan menantu mereka;

8. Kerana pendedahan yang kurang profesional dan mirip kepada sensasi oleh media massa, khas televisyen, ahli sukan kita mudah dirosakkan oleh kemasyhuran, glamour, sanjungan dan kekayaan;

9. Peranan media massa, khasnya TV, adalah penting untuk memberikan galakan kepada ahli sukan dan untuk menjana penajaan dan pengiklanan;

10. Tetapi liputan yang terlalu mengutamakan aspek-aspek sensasi seperti kisah peribadi, gaya hidup dan pendapatan ahli sukan kerap menimbulkan kesan negatif;

11. Sistem pendidikan dan latihan sukan tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada aspek-aspek saintifik seperti psikologi, perubatan dan pemakanan menyebabkan ahli sukan kita kurang kekuatan fizikal dan ketahanan mental; dan

12. Pasaran sukan kita tidak cukup besar dan kuat di segi kewangan untuk menampung sukan profesional kecuali bagi sukan massa seperti bola sepak.

Sukar membuat ramalan mengenai hala tuju dan prestasi sukan negara buat beberapa waktu akan datang.

Apa yang terpaksa diterima adalah hakikat bahawa Malaysia adalah antara negara paling terkebelakang dalam carta sukan antarabangsa berbanding bilangan penduduk dan taraf ekonomi.

Pada sukan Olimpik Beijing tahun lalu, Malaysia dengan penduduk seramai 24 juta hanya memperoleh satu pingat perak dan menduduki tempat ke-74.

Bandingkan dengan Jamaica dengan penduduk 2.8 juta dan lebih miskin daripada negara kita menduduki tempat ke-13 dengan enam emas, tiga perak dan dua gangsa.

Ini sekali gus menjadikannya negara membangun paling berjaya di Sukan Olimpik.

Kita boleh belajar sesuatu daripada Jamaica yang pada Olimpik lalu mempersembahkan kepada dunia pelari sensasi, Hussain (Ussain) Bolt dan sebelum itu Merlene Joyce Ottey.

Dan siapa tidak kenal “No Woman, No Cry” Bob Marley?

Samad Said: Jika demo gagal, undi protes PPSMI

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 4:07pm)


Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, kata seorang tokoh sasterawan.

Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir.

"Gunalah undi secara bijaksana," kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan lanjut yang perlu diambil sekiranya perhimpunan raksasa 100,000 rakyat – ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) – anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) masih tidak dihiraukan kerajaan.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad merancang mengadakan perhimpunan itu pada 7 Mac bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung isu itu.

Sebuah lagi perkumpulan aktivis bahasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang dianggotai 24 persatuan penulis di seluruh negara turut mengancam mengadakan "Perarakan Keranda" – dinamakan Keranda 152 – bagi tujuan yang sama, dijadual pertengahan bulan depan.

Gapena juga tetap dengan pendiriannya mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung pelaksanaan dasar itu sejak tujuh tahun lalu yang didakwanya melanggar Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan – yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Berhubung rancangan GMP berhimpun besar-besaran, A Samad berkata tindakan generasi muda daripada pelbagai kumpulan bagi tujuan menyatakan bantahan terhadap dasar itu memang wajar.

"Wajar kerana semua sumber lain telah digunakan, tetapi tidak dihiraukan," katanya, yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Bekas editor kanan Berita Harian dan pengarang pelbagai genre kreatif itu juga menyangkal tanggapan bahawa tindakan berdemonstrasi seperti GMP atau Gapena sebagai "tidak rasional".

Mengulas sama ada aktivis bahasa dan sastera veteran wajar sama-sama turun padang berdemonstrasi, A Samad berkata:

"Orang tua berjuang daripada sisi yang lain. Tetapi tidak bererti tidak berjuang. Sekarang giliran angkatan muda."

Generasi muda sekarang, tambahnya, daripada pelbagai organisasi dan parti politik termasuk Umno mendukung perjuangan bersama itu.

Selasa lalu, A Samad hadir dalam mesyuarat GMP bagi membincangkan siri bantahan terhadap PPSMI di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Turut terlibat dalam perbincangan itu beberapa tokoh sastera dan politik, termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang menganggotai jawatankuasa induk GMP.

Ditanya sama ada kemunculannya itu boleh menjejaskan imejnya sebagai tokoh sasterawan yang tidak partisan selama ini, A Samad menjelaskan, kehadiran beliau berdasarkan isu, bukan pihak yang mendukung gerakan tersebut.

"Saya tidak boleh terlepas daripada apa yang bergelora (dasar PPSMI)," jelasnya.

"Orang kiri jemput saya pergi (hadir), orang kanan jemput saya pergi."

Esok, kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman membantah pelaksanaan PPSMI.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.

Pak Samad diura-urakan akan turut serta buat pertama kali dalam program sebegitu.

Sewaktu ditanya penyertaannya esok, sasterawan kelahiran Singapura itu bagaimanapun masih mahu berteka-teki.

"Awak tengoklah esok," katanya, sambil ketawa kecil.

A Samad menerima gelaran tertinggi dalam dunia kesusasteraan tanah air pada 1986.

Selain itu, beliau yang terkenal dengan novel Salina – mengisahkah keperitan hidup seorang pelacur di Singapura akibat perang – turut dianugerahkan SEA Write Award daripada kerajaan Thailand.

Usaha hukum Israel di Mahkamah Antarabangsa mesti dilancarkan!

Harakahdaily


KUALA LUMPUR- Empat Badan-bandan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia menggesa satu usaha drastik dilaksanakan bagi membawa Israel ke muka pengadilan di Mahakamah Antarabangsa sekaligus menghukum rejim itu yang secara biadap membunuh lebih 1,300 umat Islam tidak berdosa di Gaza, Palestin.

Ngo-ngo terbabit terdiri daripada Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (JAMA'IY) dan Center for International Muslim Minority Affairs (CIMMA) dalam kenyataan bersama mahu tindakan paling tegas ke atas Israel seperti memutuskan semua perhubungan dan mengharam penjualan atau pembekalan sebarang senjata kepada Israel.

Kenyataan media bersama yang dihantar ke Harakahdaily itu ditandatangani oleh Pengerusi Shura Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Presiden Teras dan Kordinator CIMMA, Mohd Azmi Abdul Hamid serta Timbalan Pengerusi JAMAI'Y Zulkifly Ibrahim.

Dalam masa yang sama NGO terbabit mahu tidakan undang-undang diambil ke atas mana-mana Negara dan syarikat yang menjual senjata kepada Israel selain mendesak semua Negara OIC , EU , NAM dan Komenwel supaya memutuskan semua perhubungan ekonomi, politik dan budaya dengan Israel dan membatalkan semua perjanjian dengan Israel.

" Kami mahu persidangan antarabangsa untuk menghakimi jenayah perang ke atas kemanusiaan yang dilakukan ke atas Gaza termasuk yang dilakukan di Lebabon pada 2006.

"Dan kami juga menegaskan kembali Resolusi PBB 3379 yang mengklasifikasi Zionism sebagai rasis dan memecat keanggotaan Israel dari PBB di samping melancarkan kempen antarabangsa untuk membangunkan Gaza , menamatkan sekatan ke atas Gaza dan membebaskan semua tahanan politik dikalangan rakyat Palestin di Israel," kata wakil-wakil NGo terbabit.

NGO terbabit menegaskan sudah sampai masanya Israel mesti diheret ke mahkamah antarabangsa untuk didakwa atas tindakannya melakukan jenayah perang ke atas Gaza yang mana Israel secara paling biadap masih menafikan bahawa senjata yang diguna dalam serangan 21 hari ke atas Gaza adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.

Ini sangat bercanggah dengan dakwa kumpulan Hak Asasi Manusia iaitu Amnesty international bahawa Israel secara terang-terangan telah menguna munisi fosforus putih ke atas kawasan yang padat dengan penduduk di Gaza secara rambang dan melanggar undang-undang antarabangsa. Ini adalah asas yang kuat untuk mendakwa Isreal telah melakukan jenayah perang.

Pada hari yang sama fosforus putih digugurkan ke atas hospital al-Quds di Gaza City, yang menyebabkan kebakaran dan memaksa seluruh kakitangan dan pesakit dikeluarkan dari kawasan tersebut untuk menyelamatkan nyawa .

Ketika itu , PBB menuduh Israel mengguna fosforus putih dan sepatutnya boleh didakwa di mahkamah antarabangsa terhadap keganasan yang dilakukannya ke atas Gaza sejak 27 Disember 2008 serangan bermula .

Wakil-wakil NGO Islam itu mahu supaya semua pencipta keadilan dan keamanan melancarkan kempen di peringkat antarabangsa agar dapat mendakwa Israel di atas kesalahannya serta kezalimannya dimahkamah antarabangsa.

"Tindakan ganas serangan Israel secara rambang ke atas populasi Gaza sangat ketara melanggar hampir keseluruhan undang-undang antarabangsa . Ia termasuk prinsip keseimbangan (proportionality) dan pengasingan ( antara anggota tentera dan rakyat awam) ketika melancarkan perang.

"Kami berpendirian bahawa bahasa kecamaan semata-mata yang kerap dilaungkan oleh pelbagai pihak tidak akan memadai untuk menangani keganasan Israel yang terbaru ini.

"Sudah sampai masanya anggota tentera secara individu dibicarakan. Pembicaraan ini nanti akan menghentikan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dari pelbagai pihak .

"Dengan cara ini dapat dihantar mesej yang jelas bahawa kini semua individu mesti bertanggungjawab terhadap setiap tindakannya . Pembicaraan itu juga dapat menghalang keganasan yang dilakukan ke atas Gaza atau mana-mana kawasan dan dengan itu dapat memulakan proses pendamaian," demikian antara petikan kenyataan bersama NGO Islam terbabit. - azm _

Dr Mariah desak Mykmu.net mohon maaf secara terbuka

Saidah Hairan

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood mengutuk keras sikap dan perbuatan penulis Jamilisa yang menyebarkan fitnah dalam laman web Mykmu.net terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali yang kononnya ditangkap berkhalwat.

Beliau menegaskan perbuatan Jamilisa yang tersebar dalam ruangan forum politik Malaysia pada 25 Januari lalu telah menjatuhkan maruah pimpinan wanita Islam.

Katanya, itu perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan penulis tersebut wajar meminta maaf kepada Dr Halimah, suami, keluarga dan pihak PAS.

"Bagi kami pimpinan wanita PAS ini merupakan satu perkara yang sukar untuk dimaafkan kerana melibatkan maruah diri, keluarga dan perjuangan PAS," tegasnya.

Katanya, walaupun Jamilisa telah meminta maaf seperti yang disiarkan dalam laman web Mykmu.net tetapi itu tidak memadai kerana fitnah tersebut melibatkan maruah seorang isteri, ibu dan wakil rakyat.

Beliau mendesak laman web tersebut meminta maaf secara terbuka dan berjumpa sendiri dengan Dr Halimah, suami serta wakil PAS.

"Tuduhan ini bukan satu perkara yang main-main kerana ia melibatkan kredibiliti di mana selama ini akhlak Dr Halimah tidak pernah tercalar walaupun sedikit," tegas beliau.

Beliau memetik maksud surah An-Nur ayat 4 di mana Allah melarang menuduh wanita yang baik berzina.

Ayat itu bermaksud; "Dan orang-orang yang menuduh wanita yang baik berbuat zina dan tidak mendatangkan empat orang saksi maka deralah mereka yang menuduh itu dengan 80 kali deraan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik."

Dr Mariah yang juga AJK PAS Pusat berharap Dr Halimah akan meneruskan tindakan saman malu bagi memberi pengajaran terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah.

"Dr Halimah ada bersama dengan saya dalam Forum Keluarga Bahagia Masyarakat Penyayang di Dewan Orang Ramai Bukit Kuching, Kuala Selangor pada malam 25 Januari lalu," jelasnya. - lanh _

Pelancaran Mansuhkan PPSMI, esok!

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Gerakkan Memansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) atau ringkasnya GMP akan mengadakan pelancarannya esok (31 Januari ) jam 3 petang di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Setiausaha GMP Hasni Abas berkata keputusan perlancaran ini telah diputuskan pada mesyuarat Badan Induk GMP pada 20 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Dato' Dr Hassan Ahmad yang juga Pengerusi GMP.

Perlancaran ini akan dipimpin oleh Pengerusi GMP sendiri yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka malah bakal hadir adalah pejuang-pejuang bahasa, pimpinan politik dan dari pelbagai NGO.

"Semua mereka yang menyokong perjuangan GMP dijemput hadir khususnya yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. - azm _

Rithauddeen akui Umno semakin menjunam

Lanjusoh


KOTA BHARU - 'Bubar sayap Umno - bagi membanteras politik wang kata Tengku Rithauddeen'. Sesuatu yang cukup mengejutkan biar pun ditolak pemimpin lain Umno.

Sebagai orang lama dalam Umno, Pengerusi Lembaga Displin Umno itu merasakan sudah sampai masanya Puteri, Putera dan Pergerakan Wanita Umno tidak perlu lagi kerana menyebabkan berlaku politik wang akibat berebut jawatan.

Inilah luahan yang semakin nyaring. Ia tiba-tiba muncul ketika demam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu belum kebah lagi.

Bagi Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat petanda yang menimpa rumah tangga Umno sekarang semakin jelas, retak menunggu belah.

"Kalau sebelum ini media yang mengampu Umno mendakwa Pakatan Rakyat retak menunggu belah, sedangkan hakikat sebenar situasi itu berlaku dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Petanda yang berlaku sekarang tidak mampu lagi dinafikan, bukankah keruntuhan tamadun bermula dengan konflik dalaman dan disokong gerak geri musuh dari luar," katanya di sini.

Menurutnya kenyataan yang dikeluarkan veteran Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen sebenarnya tidak mengejutkan kerana pemimpin Umno sendiri mempamerkan parti itu menuju ke arah kehancuran.

Kata beliau kes demi kes politik wang yang sudah lama membelit pemimpin Umno kini terpaksa diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila gagal ditangani Lembaga Disiplin Umno.

Zainuddin berkata, 'lelangit' tempat bergantung Umno sekarang sudah gonyang sehingga ada di kalangan pemimpin Umno mencadang digubal undang-undang antilompat parti bagi mengelakkan parti itu merudum dengan lebih cepat.

Mereka sedang merasai betapa resahnya tanpa kuasa politik selepas tindakan nekad Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim meninggalkan parti itu dan menyertai KeADILan.

Sedangkan cadangan seperti itu sudah lama dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, namun ditolak mentah-mentah Mahkamah Agung.

Dun Kelantan telah meminda perlembagaan negeri Perkara XXX1A yang menyatakan sekiranya seorang Adun meninggalkan parti atau dipecat maka kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya menjadi kosong.

Bagaimanapun Mahkamah Agung menolak pindaan tersebut dengan alasan bertentangan dengan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.

Zainuddin yang juga Adun Limbongan berkata, kerajaan PAS di Kelantan sudah merasakan apa yang ditanggung Umno sekarang, namun Umno dilihat cukup gawat dan amat bimbang.

Oleh itu beliau mengajak wakil-wakil rakyat BN berhijrah ke Pakatan Rakyat sebelum mereka jatuh bersama parti itu, yang mana kini sedang bergelosor turun. - mj _

Habib Jewels taja lebih RM3 juta aksesori kahwin Linda Jasmine

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
[EKSKLUSIF]


AMPANG: Dianggarkan lebih RM3 juta harga barang kemas tajaan Habib Jewels yang akan digayakan oleh jurutari profesional Linda Jasmine, 37 semasa majlis perkahwinannya dengan aktor Que Haidar, 30 pada 14 Februari depan di Bora Ombak, di sini.

Antara aksesori tersebut untuk tiga persalinan dan upacara berbeza adalah:

Akad nikah

Anting-anting: RM127, 830

Gelang: RM165,000

Persandingan (Set safir biru dan berlian)

Rantai: RM2.35 juta

Anting-anting: RM629,000

Gelang: RM74,800

Cincin: RM21,000

Memotong kek (Set ‘white south sea pearl’)

Tiara: RM156,395

Anting-anting: RM88,325

Menurut Linda, Habib Jewels menjadi pilihan kerana pelbagai pilihan koleksi aksesori yang terdapat di situ.

"Bukan sahaja saya yang gemar memilih aksesori Habib Jewels untuk koleksi peribadi malah ahli keluarga terutama ibu saudara saya selalu ke sini," kata Linda ketika hadir untuk memilih barang kemas di Habib Jewels, Ampang Point, di sini semalam.

Ketika sesi pemilihan dilakukan, Linda ditemani oleh rakan sekerjanya, Zuhana dan penolong pengurus komunikasi dan pemasaran Habib Jewels, Yasheedah Yashaiya.

Linda mengaku beliau agak cerewet membuat pilihan. Bagi beliau, sikap tersebut penting untuk menentukan aksesori yang benar-benar cantik dan sepadan dengan pakaian yang bakal disarungkan semasa majlis perkahwinannya nanti.

"Saya tak mahu nanti orang mengata ‘itu’ dan ‘ini’ semasa majlis berbahagia kami. Kalau boleh saya nak nampak ringkas tetapi menarik dipandang orang," luahnya yang sebolehnya ingin tampak kelihatan seperti seorang 'Ratu' pada majlis yang penuh bermakna itu.

Tinggal kira-kira dua minggu lagi, dan sehingga kini sudah 75 peratus persiapan perkahwinan yang dilakukan oleh beliau dan bakal suaminya.

Setakat ini, cincin nikah untuk kedua bakal mempelai ini telah dibeli, dan pakaian pengantin perempuan yang dijahit menggunakan khidmat tiga pereka iaitu Datin Kirana (baju nikah), Saiful Bahrin (Sanding) dan Calvin Thoo (potong kek) juga telah disiapkan.

Selain itu, antara pihak yang turut terlibat di dalam majlis perkahwinan pasangan berbeza usia tujuh tahun ini adalah Lord’s Tailor (pakaian Que), AZ Saloon and Bridal House (mengurus resepsi di Johor), Jakel (fabrik), Polkadotted Creative Solutions oleh Jeslina Hashim (dekorasi)dan The Blooming Cake.

"Saya dimaklumkan ketiga-tiga pakaian yang akan saya pakai nanti telah disiapkan tetapi setakat ini saya belum tengok dan cuba lagi.

"Kad jemputan juga telah siap dicetak tetapi belum diedarkan kesemuanya. Saya anggarkan dalam 400 tetamu yang dijemput ke majlis nikah kami nanti.

"Kalau boleh saya nak jemput semua tetapi tak dapat buat. Jadi, saya ingin memohon maaf kepada mereka yang kami tidak dapat jemput," beritahu Linda yang akan membawa turun ahli keluarganya dari Amerika Syarikat semasa majlis itu nanti.

Resepsi perkahwinan sebelah Que pula akan diadakan di Felda Taib Andak, Johor pada 15 Mac.

Majlis resepsi di Bora Ombak sempena Hari Valentine akan diserikan oleh anak didik Linda dari Akademi Fantasia iaitu penyanyi Amylea, Farhan dan Riz.

Lompat: ADUN Bota perlu temui pengundi, dapatkan "lampu hijau"

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Bota, Datuk Nasarudin Hashim perlu kembali kepada pengundi-pengundi di kawasannya untuk menjelaskan pendirian beliau keluar Umno dan Barisan Nasional (BN), Ahad lalu.

Pengarah Eksekutif Institut Integriti Pilihan Raya Kebangsaan (NIEI), Amin Iskandar berkata, oleh kerana perundangan semasa tidak membolehkan seseorang wakil rakyat berhenti dan bertanding semula, Nasarudin wajar menemui semula pengundinya untuk menerangkan pendirian beliau.

"Kalau boleh sebelum melompat perlu berunding (dengan pengundi) dulu... jadi pengundi-pengundi boleh memutuskan sama ada adil ataupun tidak tindakan menyertai parti lain," kata beliau ketika dihubungi.

"Beliau boleh mengadakan dialog dan menjelaskan kepada mereka (pengundi kawasan Bota)," kata beliau kepada mStar Online.

CERAMAH MALAM INI

Nasarudin ketika dihubungi mStar Online pagi tadi berkata, beliau akan mengambil bahagian dalam Ceramah Khas Mesra Rakyat di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan malam ini.

Ia antara lain bagi menjelaskan kepada rakyat di kawasannya mengenai pendirian beliau keluar Umno dan menyerta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata Nasarudin, ia dianjurkan oleh PKR.

Turut hadir ialah Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin.

Ketika ditanya soal moral dengan tindakan beliau, Amin memberitahu, dari segi demokrasi Nasarudin ada hak untuk berbuat demikian.

"Tetapi apabila melompat beliau perlu kembali kepada pengundi untuk menjelaskan," katanya lagi.

Bagaimanapun jelas beliau, jika ramai tidak bersetuju, wakil rakyat terbabit perlu melepaskan jawatan dan bertanding lagi.

"Tetapi ada masalah (aspek perundangan)... itu adalah satu halangan," katanya.

ANTI LOMPAT

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, sudah tiba masanya untuk difikirkan secara serius bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan antilompat parti.

"Kita banyak menyaksikan ketidakstabilan politik di masa lalu. Kini masanya untuk mempertimbangkan cadangan ini.

"Dengan adanya peruntukan undang-udang antilompat parti dalam perlembagaan, kita dapat melaksanakan satu lagi langkah ke arah kestabilan dalam landskap masyarakat dan politik kita," katanya.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah berkata, beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menyokong pindaan tersebut dibuat dalam perlembagaan persekutuan dan negeri.

Kelmarin, Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada BN Perak supaya mengadakan gerakan besarbesaran bagi mendesak Nasarudin supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu yang dimenanginya atas tiket BN.

Nasarudin telah melompat parti kepada PKR Ahad lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, undang-undang antilompat parti perlu dilakukan termasuk dengan membenarkan wakil rakyat yang mengosongkan kerusi mereka bertanding semula dalam tempoh terdekat dan bukannya lima tahun seperti peruntukan sedia ada.

KOMEN MAFREL

Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi Malaysian for Free & Fair Election (Mafrel), Syed Ibrahim Noh berkata, pihaknya menyambut baik jika tindakan seseorang wakil rakyat itu melompat parti demi kebaikan rakyat.

"Jika niat baik, jika mahu berkhidmat untuk rakyat dan pengundi, saya ingat sihat.

"Tetapi jika melompat kerana mahu jawatan dan ganjaran, tidak harus berbuat demikian," kata beliau sambil mengakui tentang halangan aspek perundangan yang wujud.

Malah, beliau juga berpendapat wakil rakyat berkenaan perlu kembali kepada pengundi untuk mendapatkan "penerimaan."

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa ia juga satu soal yang rumit untuk dibicarakan secara langsung.

Undang-undang pilihan raya tidak membenarkan seseorang wakil rakyat yang bertanding untuk kembali bertanding selama lima tahun jika memutuskan untuk melepaskan kerusi yang dimenanginya.

Kepimpinan baru: Umno Perak perlu sedia terima perubahan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Umno Perak perlu bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan perubahan dalam struktur badan perhubungan negeri itu ekoran pelantikan sementara kepimpinan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, sebagai pemimpin yang sentiasa mendahulukan kepentingan parti berbanding peribadi, barisan kepimpinan negeri perlu akur dengan setiap keputusan dibuat.

"Oleh itu saya sedia menawar diri untuk untuk ditentukan kedudukan saya selepas ini.

"Mungkin Datuk Seri Najib fikirkan jawatan yang saya sandang sekarang perlu digantikan dengan pemimpin baru, saya akan terima dengan hati terbuka," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau, pemimpin Umno Perak perlu terbuka dalam menerima perubahan yang bakal dilakukan demi kepentingan parti.

"Mungkin saya, atau sesiapa juga yang akan terkeluar dari senarai nanti, jadi saya harap semua akan bersedia dan jangan pula merajuk atau akan mengambil tindakan yang bertentangan dengan perjuangan parti," katanya.

Bagaimanapun Ramly berkata, sehingga pagi ini pihaknya belum menerima apa-apa maklumat sama ada untuk mengadakan mesyuarat pertama bersama Najib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan negeri yang baru.

"Buat masa ini kita belum menerima apa-apa signal lagi... tapi saya yakin mungkin dalam tempoh masa terdekat," katanya.

Semalam, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi BN Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang meletak keduadua jawatan itu, berkuat kuasa serta merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.

Selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Najib dan Ahmad Zahid akan memegang jawatan itu sehingga perhimpunan agung Umno Mac depan dan pelantikan baru akan dibuat selepas persidangan itu.

Abdullah, yang juga Presiden Umno berkata, beliau menerima keputusan Tajol Rosli yang meletakkan jawatan atas alasan ingin mengundur diri dan memberi peluang kepada pemimpin baru menerajui Umno di negeri itu.

Hati-hati risiko guna kad debit

MALAYSIA KINI


Pemegang kad debit menghadapi risiko hilang semua simpanan dalam akaun tanpa jaminan bank jika kad itu disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kata Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Setiausah agungnya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata sindiket penipuan boleh mencuri data pemilik kad untuk diklon sebagai kad debit palsu untuk membeli barangan, lapor Bernama.

Tambahnya, kerana kad debit disambung terus kepada akaun pemegang kad dan sebarang pembelian menggunakannya, wang akan ditolak serta-merta daripada akaun pengguna.

"Ini bermakna risiko terletak sepenuhnya pada pemegang kad debit dan bank tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang dialami oleh pemegang akibat penyalahgunaan kad berkenaan," beliau dipetik berkata hari ini.

Berbeza dengan pengguna kad kredit yang mendapat jaminan tertentu bank, pemilik kad debit tidak mendapat jaminan sedemikian.

"Jika kad kredit disalahgunakan oleh pihak tertentu, maka pemegang boleh mempertikaikan jumlah perbelanjaan dan menuntut semula bayaran dari bank," katanya.

Muhamad Sha'ani, yang juga ketua eksekutif Pusat Perkhidmatan Aduan Pengguna Nasional (NCCC), menambah bank tempatan membuat promosi kad debit secara agresif sejak tahun lepas dan pengguna perlu berwaspada untuk memilikinya.

Bagaimanapun sumber perbankan menjelaskan, risiko kad debit adalah minima apabila digunakan dalam negara kerana penggunaannya berdasarkan tandatangan pemegang dan kad mempunyai cip keselamatan.

Tambahnya, seperti dipetik agensi berita itu, pemegang kad debit tidak perlu berhutang untuk berbelanja kerana mereka hanya dapat berbelanja mengikut jumlah simpanan dalam akaun sahaja.

"Ini membantu mendisiplinkan pengguna dari segi perbelanjaan yang tidak perlu atau menanggung hutang berlebihan," kata sumber yang tidak didedahkan identitinya.

Kad debit itu baik untuk bank kerana mereka tidak perlu memberi sebarang kredit kepada pemegang dan sekali gus mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar, tambahnya.

Kabinet MPPUM diketahui Isnin depan

Abdul Rahim Sabri


Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya akan ditentukan awal minggu depan, kata seorang perwakilan kerusi umum kumpulan pro-Mahasiswa, Mohd Ridhuan Mohammad.

Sementara watikah pelantikan semua 41 calon yang menang akan diserahkan pada 5 Februari, tiga hari selepas pertemuan pertama bagi membincangkan pembentukan jawatankuasa MPP.

Anggota-anggota MPP daripada kumpulan Penggerak Mahasiswa (dulu dikenali pro-Aspirasi) dan pro-Mahasiswa sudah dihubungi semalam untuk bertemu dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk Dr Azarae Idris, Isnin depan.

Dalam piliharaya kampus itu minggu lalu, Penggerak Mahasiswa memenangi 20 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus gagal mempertahankan penguasaan mereka pada sesi lalu.

Manakala pro-Mahasiswa memenangi 19 kerusi – menyebabkan ia tidak layak membentuk kabinet MPP dengan segera – dan calon bebas memenangi dua kerusi.

Susulan itu, pembentukan rasmi MPP terpaksa ditangguhkan hampir dua minggu.

Dua perwakilan bebas - Noor Azween Mohd Iqbal dan Lim Bee San – dari Fakulti Undang-undang menyokong kumpulan pro-Mahasiswa dalam pungutan suara dua hari selepas pilihanraya kampus, 19 Januari.

Sebanyak 9 kerusi umum dan 32 kerusi fakulti dipertandingkan pada sesi ini.

Jurucakap Penggerak Mahasiswa, Wan Mohd Hasif Wan Mohd Ali pula berkata pemilihan yang dipertua MPP tidak bergantung kepada jumlah majoriti kerusi yang dimenangi.

Sebaliknya ia dipilih melalui undian daripada 41 anggota MPP yang menang baru-baru ini.

"Pada 1997, siapa yang akan menjadi yang dipertua dipilih oleh suara majoriti (undian terbanyak), tidak kira calon itu menang kerusi umum atau fakulti," katanya.

Tambahnya, Penggerak Mahasiswa juga mempunyai calon yang berkelayakan untuk mengisi jawatan teratas badan tertinggi pelajar itu.

"Kita ada calon YDP dan timbalannya. Oleh kerana kemenangan 21-20, keadaan menjadi sukar.

"Jadi kita ada permintaan. Kami hendak jawatan naib yang dipertua diisi oleh calon fakulti kami," katanya.

Dalam pilihanraya kampus sesi lalu yang diadakan pada 2007, pro-Mahasiswa memenangi 11 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Beliau mencadangkan, tiga jawatan naib yang dipertua MPP wajar diisi oleh pemimpin pelajar berketurunan Melayu, Cina dan India “sebagai tanda perpaduan”.

Wan Mohd Hasif menambah, pihaknya tidak membuat sebarang perundingan atau pertemuan secara rasmi ataupun tertutup dengan Pro-Mahasiswa untuk membentuk jawatankuasa MPP.

Dihubungi semalam, Mohd Ridhuan pula berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk meletakkan tokoh bagi yang dipertua MPP.

Lagipun, katanya, calon pro-Mahasiswa mendapat undi popular pelajar dan memenangi lapan daripada sembilan kerusi umum yang dipertandingkan.

Mohd Ridhuan turut mengesahkan pihaknya tidak mengadakan perbincangan dengan Penggerak Mahasiswa untuk membentuk kabinet campuran.

Tiga 'bandar politik wang' Umno

Muda Mohd Noor


Temerloh, bandar ikan patin, dijadikan lokasi strategik agen-agen politik wang dalam Umno untuk mengatur strategi kempen pemimpin nasional yang berebut jawatan dalam pemilihan parti Mac depan.

Menurut sumber, bandar itu dipilih sebagai tempat pertemuan pemimpin-pemimpin Umno bagi mewakili tengah Pahang yang merangkumi bahagian-bahagian Maran, Jerantut, Bera dan Kuala Krau.

Kuantan pula dijadikan lokasi mobilisasi sokongan perwakilan- perwakilan timur Pahang dan Raub bagi barat Pahang.

Kata sumber, mereka berkumpul di tempat-tempat tertentu di bandar Temerloh pada hari yang telah ditetapkan.

"Pemimpin luar Pahang yang ingin melobi perwakilan-perwakilan Umno Pahang Tengah perlu bertemu di Temerloh. Mereka menghulurkan wang kepada agen-agen untuk diagihkan kepada perwakilan.

"Banyak tempat yang boleh dijadikan tempat bertemu seperti restoran, resort dan hotel tertentu," kata sumber dalaman parti itu lagi yang enggan dikenali.

"Mereka daripada pelbagai golongan, ada yang bekerja sendiri, penganggur dan sebagainya.

"Kegiatan agen-agen politik berkumpul ini berlaku sejak bulan Oktober lagi iaitu sebaik sahaja mesyuarat Umno bahagian bermula.

"Mereka bukan menjadi agen untuk seorang dua sahaja tetapi semua orang yang mahu menggunakan khidmat mereka."

Sumber itu diminta mengulas penangkapan beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terlibat dalam politik wang menjelang pemilihan Umno.

Sumber itu berkata, identiti agen berkenaan sukar dikesan kerana mereka hanya berhubung dengan individu tertentu sahaja.

"Malah calon yang hendak bertanding tidak mengenali agen berkenaan dan kerana itu mereka terpaksa menggunakan orang tertentu di tempat berkenaan.

"Calon hanya memberi ucapan berkempen kepada agen berkenaan supaya memanjangkannya kepada perwakilan bahagian," katanya.

Menurut sumber itu lagi, agen ini mempunyai "kaki" mereka sendiri di setiap bahagian di Pahang.

Dengan ini, katanya, mereka boleh mengatur pertemuan dengan agen-agen di bahagian tersebut dengan mudah.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Datuk Mohd Hamdan Sudin ketika dihubungi berkata, ramai pemimpin politik dari seluruh negara berkunjung ke Temerloh terutama pada hari minggu.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu sama ada agen-agen politik bergiat di bandar tersebut.

Gubal undang-undang antilompat parti

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak hari ini mencadangkan supaya peruntukan Perlembagaan dipinda bagi membolehkan undang-undang antilompat parti segera digubal.

Mereka berpendapat, perkembangan terbaru kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim keluar Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut keperluan undang-undang sedemikian diperkenalkan.

Langkah itu juga, kata mereka, dapat membendung usaha pujuk-memujuk antara para pemimpin parti-parti politik di negara ini untuk keluar parti sekali gus menggalakkan budaya tidak beretika itu berleluasa.

Di Kota Kinabalu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata, sudah tiba masanya usul meminda Perlembagaan bagi membolehkan penggubalan undang-undang antilompat parti segera dibentangkan di Parlimen.

Katanya, usul itu mesti ditimbang secara serius dan diluluskan untuk mewujudkan kestabilan politik jangka masa panjang.

“Sudah tiba masanya kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau pun negeri segera meminda Perlembagaan bagi mewujudkan undang-undang antilompat parti untuk kesejahteraan rakyat.

“Ia bagi memastikan kestabilan politik kita tidak terjejas, ini kerana sudah terbukti sebelum ini, perbuatan tersebut jelas merosakkan kestabilan politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang menyekat wakil rakyat melompat parti.

Cadangan itu berikutan tindakan Nasaruddin meninggalkan BN dan UMNO untuk menyertai PKR, Ahad lalu.

Sebelum ini, Pairin ketika menjadi Ketua Menteri di bawah kerajaan PBS, pernah mencadangkan supaya diwujudkan undang-undang tersebut bagi menghalang mana-mana pihak melompat parti.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, dengan pindaan undang-undang itu, harapan rakyat yang memilih wakil rakyat juga tidak akan dikhianati.

Pairin khuatir, sekiranya undang- undang tersebut masih tidak dipinda, perbuatan berkenaan semakin menular dan wakil rakyat tidak takut untuk berbuat demikian.

“Ini bukan sahaja melibatkan kestabilan politik tetapi juga mencakupi kepentingan sosial,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V. K. Liew berkata, sebarang percubaan untuk meminda Perlembagaan sukar dilaksanakan memandangkan majoriti gabungan parti pemerintah, BN di Parlimen kurang dari dua pertiga.

Katanya, mengikut perlembagaan yang ada, sebarang cadangan untuk menghalang seseorang daripada menyertai mana-mana pertubuhan seperti parti politik adalah bertentangan dengan kebebasan berpersatuan.

“Oleh itu, adalah sia-sia untuk bercakap mengenainya melainkan kita melepasi halangan Perlembagaan terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Liew berkata, di Sabah, kerajaan PBS yang lepas pernah menguatkuasakan undang-undang seumpama itu pada tahun 1980-an tetapi kemudiannya diisytihar ultra vires Perlembagaan Persekutuan kerana menyekat kebebasan berpersatuan.

Di Kuala Terengganu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, undang-undang antilompat parti perlu dilakukan termasuk dengan membenarkan wakil rakyat yang mengosongkan kerusi mereka bertanding semula dalam tempoh terdekat dan bukannya lima tahun seperti peruntukan sedia ada.

"Sediakan air milo" - antara syarat suami untuk kembali bersama

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ


WALAUPUN kemarau yang melanda rumah tangga aktres Wan Nor Azlin, 41, dan suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 39, saban hari belum menemui penghujungnya, beliau tetap nekad untuk membawa pulang Yazli dalam masa terdekat ini sehingga sanggup menerima segala syarat yang dikenakan oleh suaminya sebelum ini.

Menurut Azlin, beliau menantikan saat suaminya akan menunaikan janji untuk pulang ke rumah dengan berlandaskan tiga syarat terhadapnya yang turut dihebahkan menerusi sebuah akhbar tabloid baru-baru ini.

"Sehingga sekarang Yazli belum pulang tetapi di dalam akhbar tabloid itu dia kata nak balik bersama tiga syarat.

"Antara syaratnya adalah saya perlu menyambutnya dengan senyuman manis dan menyediakan minuman milo kepadanya," kata Azlin ketika ditemui semasa sebutan kedua kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak terhadap Yazli di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.

Ditanya apakah reaksi Azlin apabila mendengar syarat tersebut, beliau berkata ringkas: "Saya akan terima."

Dalam masa yang sama, Azlin berasa kecewa kerana Yazli masih belum memunculkan diri di mahkamah untuk menghadapi perbicaraan kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak yang perlu dilunaskan oleh suaminya sejak menghilangkan diri sejak 10 Julai lalu.

Yang membuatkan Azlin tertanya-tanya, mengapa suaminya itu sanggup datang ke pejabat akhbar tabloid itu sedangkan tidak boleh menjejakkan kaki ke mahkamah inikah lagi pulang ke rumah.

"Kes ini ‘pending’ terlalu lama seolah-olah suami saya hendak mengambil kesempatan terhadap peluang yang diberikan. Dia sepatutnya tahu tentang undang-undang (seorang peguam) dan apa yang patut dilakukan.

"Keluarganya juga masih mendiamkan diri. Sepatutnya mereka memberikan kata-kata nasihat kepada Yazli sebab sekarang ini anak-anak yang menjadi mangsa. Saya kecewa dengan sikapnya.

"Saya rasa dia memang tinggal dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana Datuk Ma’amor pernah memberitahu yang suami saya berada bersama mereka tetapi kenapa mereka tidak mahu memberitahu dan memujuk suami saya untuk hadir ke mahkamah.

"Kalau suami saya tiada duit, dia boleh balik ke rumah. Jika dia tak mampu, saya tak kisah kalau dia balik juga dan biar saya bekerja. Tetapi dia kena uruskan rumah tangga pula seperti mengemas rumah, memasak dan menjaga anak-anak seperti sembilan tahun saya lakukan dulu.

"Yazli perlu beranikan diri muncul...," luah Azlin dengan separuh mengharap.

Azlin pilih waran tangkap atas suami, mahkamah tidak benarkan

Dalam pada itu, mengenai perbicaraan kes semalam, Azlin memilih supaya waran tangkap terhadap suaminya dikeluarkan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan untuk tidak membenarkan Azlin berbuat demikian disebabkan kegagalan mengecam alamat suaminya, Yazli berada sekarang.

Ketika sebutan kedua kes tersebut berjalan hari ini, Ghazali turut bersoal jawab dengan Azlin sehingga akhirnya mereka menemui kata sepakat untuk meneruskan perbicaraan kes tuntutan nafkah Azlin dan anak-anak terhadap suaminya pada 8 April depan, pukul 2 petang.

Azlin akur dengan keputusan tersebut walaupun pada mulanya beliau nekad mahu mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Yazli melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Azlin: Saya yakin dia (Yazli) bersama PPIM. Jadi, mahkamah boleh sampaikan waran itu melalui Dr. Zaidi.

Hakim: Nak alamatkan ke mana? Waran tangkap perlu kepada dia sebab nak tangkap dia.

Azlin: Tetapi dia tak nak hadir.

Hakim: Lagi cepat jika bicara melalui sebelah pihak tetapi peluang tetap diberikan kepada dia. Bila-bila masa dia boleh hadir. Terpulang kepada dia nak hadir atau tidak, mahkamah akan putuskan sebelah pihak.

Dalam pada itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Azlin, iklan yang memerintahkan Yazli menghadiri perbicaraan tersebut semalam telah dikeluarkan pada 21 Januari lalu di mana iklan ditampal di papan notis dalam mahkamah dan dipaparkan di dalam ruangan iklan akhbar Utusan Malaysia.

Namun, Yazli masih gagal menampakkan diri untuk muncul di dalam perbicaraan tersebut.
Azlin dan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan ketika ditemubual oleh pihak media di luar mahkamah selepas selesai sebutan kes tersebut.

"Kita perlu sentiasa mengikuti kes ini dan menunggu tindakan selanjutnya. Di akhir kes ini nanti, mahkamah akan mencapai kata putus di mana jika Yazli masih enggan menghadirkan diri, dia akan dimasukkan ke dalam penjara dan dia juga perlu melunaskan nafkah mengikut jumlah yang ditentukan oleh pihak mahkamah," jelas Fakhrul dengan panjang lebar mengenai perbicaraan kes tersebut.

Pada 15 Disember lalu, Azlin yang pernah menerima ugutan ‘ah long’ enggan melakukan proses Sulh semula seperti yang diminta oleh suaminya sebaliknya beliau ingin meneruskan perbicaraan mengenai kes tersebut.

Pada 12 Disember lalu, Yazli hadir ke mahkamah dengan mengemukakan surat permohonan tersebut.

Pada 18 November lalu, proses Sulh Azlin yang difailkan pada 29 Oktober lalu gagal dibicarakan kerana Yazli tidak hadir ke mahkamah.

Difahamkan, Azlin menuntut lebih daripada puluhan ribu kepada Yazli. Namun, Azlin bagaimanapun bersedia untuk mendengar berapa jumlah yang suaminya mahu berikan asalkan dia bertanggungjawab.

Sehingga kini Yazli belum pulang selepas meninggalkan rumah sejak 10 Julai lalu.

Pertama kali Azlin dan anak-anaknya ditinggalkan ialah pada tahun 2001 selama 40 hari, manakala pada tahun 2005 selama dua tahun.

Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Azlin telah disimbah cat merah kerana suaminya gagal membayar hutang ‘ah long’.

Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.

Yazli menjelaskan punca dia menghilangkan diri kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ‘ah long’ selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.

Zulkifli pula ajak MP Umno sertai PAS bentuk kerajaan pusat

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang sebelum ini disebut-sebut menyertai Umno atau PAS, menggesa ahli-ahli Parlimen dari Umno agar menyertai PAS untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Zulkifli, yang menjadi perhatian ekoran kontroversi dalam isu membantah forum anjuran Majlis Peguam Ogos lalu berkata, cara terbaik menyelesaikan masalah penyakit kronik Umno ialah dengan membubarkan parti itu.

"Apa yang menyedihkan, kelemahan pimpinan dan parti Umno hari ini menyebabkan bukan sahaja hak istimewa bangsa mula dipertikaikan, malah agama Islam sendiri turut diserang dan diperlekehkan.

"Saya percaya cara terbaik untuk memartabatkan dan memperkukuhkan Islam dan bangsa Melayu ialah dengan membubarkan Umno, sekali gus saya menyeru supaya semua ahli dan pimpinan Umno supaya menyertai PAS," kata beliau dalam blognya.

Zulkifli memenangi kerusi itu atas tiket PKR, yang Jawatankuasa Disiplinnya pernah memangil beliau berhubung isu tersebut.

Kata beliau, jika cadangan itu diterima, PAS yang mempunyai 24 Ahli Parlimen, akan menambah kedudukannya sebanyak 89 anggota Dewan Rakyat.

"Ini akan menjadikan Ahli Parlimen PAS berjumlah 113 orang, sekali gus membolehkan PAS membentuk Kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah (sebanyak 112).

"Dengan sokongan Ahli Parlimen PKR seramai 31 orang (21 beragama Islam) maka PAS akan boleh membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti yang selesa.

"Insya-Allah dengan menjadikan peristiwa Gaza sebagai pengajaran, saya berharap dan berdoa agar pimpinan dan ahli Umno akan dapat berlapang dada dan memikirkan serta menimbang cadangan saya ini," katanya lagi.

Kelmarin, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin mencadangkan pembubaran kesemua sayap Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri Umno sebagai salah satu cara membendung masalah politik wang, rasuah dan salah guna kuasa dalam Umno.

PKR merupakan salah satu komponen Pakatan Rakyat, yang Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan sasaran mahu membentuk kerajaan pusat yang baru dengan menarik wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai pihaknya menjelang 16 September lalu.

Tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari Umno, Datuk Nasarudin Hashim menyertai PKR.

Tajol letak jawatan, Najib Pengerusi Umno Perak

Oleh ARIFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat lebih tiga jam, menerima keputusan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkuasa kuasa serta-merta.

Kekosongan itu diisi oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Jawatan Timbalan Pengerusi Umno Perak pula akan disandang oleh Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Najib dan Zahid hanya akan memegang jawatan itu sehingga akhir Mac ini.

Umno dijadual mengadakan perhimpunan agung dan pemilihan pucuk pimpinan pusat Mac ini.

Ia merupakan antara keputusan yang diputuskan oleh mesyuarat MT yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bermula pukul 9 malam tadi.

"Pelantikan ini berkuat kuasa serta-merta, jadi mulai sekarang Datuk Seri Najib adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak," kata beliau pada sidang akhbar di sini awal pagi ini.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata, alasan yang diberikan oleh Tajol ialah "adalah lebih baik orang lain memimpin Perak selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota menyertai pembangkang."

"Kita menghormati kehendak dan keputusan. Dia nak undur diri. Lebih baik rasanya bagi orang lain pimpin Umno Perak," katanya

Selain itu, Abdullah yang juga Pengerusi BN memberitahu, MT juga memberi penjelasan Tajol mengenai kedudukan Umno dan BN Perak khususnya mengenai keputusan ADUN Bota keluar parti.

Di Kampar pagi tadi, Tajol mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Gerik pada 29 Mac ini.

Kata Tajol, beliau juga tidak akan bertanding mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi pada perhimpunan agung Umno dari 24 hingga 28 Mac ini, yang sekali gus akan menyebabkan semua jawatan yang disandangnya melalui lantikan termasuk sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, tergugur.

Malah beliau menyelar sebuah akhbar hari ini yang melaporkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.

"Saya terperanjat dengan laporan itu. Akhbar itu memang tidak beretika. Selama ini hubungan saya dengan wartawan memang baik tapi hari ini saya memang marah dengan akhbar itu.

"Laporan itu tidak sepatutnya dibuat kerana ia merupakan satu mesyuarat tertutup dan tidak sepatutnya apa yang berlaku dalam mesyuarat itu dilaporkan," katanya.

Akhbar berkenaan dalam laporan muka depannya mendakwa Tajol pada majlis perjumpaan bersama Pemimpin Umno Bahagian Parit di Bangunan Umno Parit lewat petang Selasa lalu mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak kerana rasa bertanggungjawab terhadap tindakan ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim, keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat.

"Saya tidak cukup kuat pimpin Umno, BN Perak" - Tajol

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: "Saya tidak cukup kuat," demikian reaksi awal Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali selepas keputusannya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Umno Perak diterima oleh Majlis Tertinggi (MT).

"Ini bukan sahaja saya rasa bertanggungjawab terhadap peletakan jawatan ADUN Bota, tetapi saya juga rasa tidak terpikul tanggungjawab untuk memenangkan semula Perak," kata beliau lagi.

Kedudukan Tajol itu, yang bekas Menteri Besar Perak, diganti oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.

Najib juga akan memegang jawatan sebagai Pengerusi BN Perak.

Tajol meletakkan kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.

Ketika ditemui wartawan di lobi Menara Dato Onn, Tajol menambah, tindakan beliau itu bukan kerana paksaan mana-mana pihak.

"Saya yang letak jawatan, tiada paksaan kerana ini yang terbaik buat Umno Perak," katanya lagi.

Tajol menjelaskan, beliau telah memutuskan untuk melepaskan jawatan itu sejurus selepas pilihan raya umum Mac lalu, tetapi parti memintanya untuk memikirkan semula.

Oleh itu, katanya, beliau tidak memanggil mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak kerana tidak mahu perkara yang sama berulang.

"Saya tidak mahu ia berlaku (dipujuk) lagi... saya terus jumpa Datuk Najib, jumpa MT hari ini (malam tadi).

"Hari ini pun saya ulangi semula dalam MT, MT terima dengan baik," katanya.

Tajol bagaimanapun berkata, beliau akan terus memberi kerjasama kepada pucuk kepimpinan untuk bekerja keras demi kemenangan parti.

Ketika ditanya sama ada yakin dengan kepimpinan baru, Tajol berkata: "Kalau kepimpinan baru pun tak boleh menangkan Perak, tiada siapa yang boleh."

Demo bantah SPRM di Menara Dato Onn, MT mesyuarat

Oleh ARIFUDDIN ISHAK
DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno kini sedang bermesyuarat dengan sekumpulan ahli dipercayai, anggota Pemuda dan Putera, mengadakan 'demonstrasi' membantah tindakan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal membanteras gejala politik wang.

Mereka menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan SPRM, yang didakwa keterlaluan dan kasar semasa menyoal siasat 39 orang berhubung politik wang di Pahang baru-baru ini.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Zuraidi Abdul Rahim iaitu perwakilan dari Baling berkata, tindakan SPRM itu telah mencemarkan imej mereka.

Beliau mendakwa mewakili kira-kira 2,500 anggota Pemuda.

"Dua atau tiga orang daripada mereka telah membuat laporan polis," kata beliau kepada wartawan di sini malam ini.

Kumpulan itu berhimpun di pekarangan Menara Dato Onn di sini dengan membawa sepanduk tertera mesej "Lembaga disiplin sudah nyanyuk", "Jangan ambil hak ahli Umno" dan "Kami menolak SPRM, boleh blah".

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di Menara Dato Onn kira-kira pukul 8.40 malam untuk mempengerusikan mesyuarat MT.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat MT beliau melancarkan sistem pendaftaran keahlian Umno atas talian di lobi Menara Dato Onn.

Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak turut hadir. Semalam, salah seorang daripada 39 orang terbabit, Hilmi Kamaruzzman memfailkan laporan polis di Balai Polis Damansara kerana mendakwa didera oleh pegawai penyiasat SPRM semasa disoal siasat.

Tambah Zuraidi, pucuk pimpinan parti perlu memandang serius mengenai perkara tersebut dan meneliti penubuhan SPRM.

Katanya, masalah parti harus diselesaikan di peringkat dalaman.

"Soal parti hanya parti yang tentukan, bukan pihak ketiga," katanya.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta anggota MT.

Kumpulan itu beredar dari kawasan Menara Dato Onn selepas Abdullah dan timbalannya memasuki lif untuk ke dewan mesyuarat.

"Tak ada apa yang boleh dibuat dengan ADUN Bota itu, mesyuarat ini bukan khusus bincangkan mengenai beliau," katanya kepada mStar Online.

Namun jelas Tengku Adnan, salah satu agenda pada mesyuarat tersebut akan turut membincangkan mengenai tindakan Nasarudin itu.

"Kita akan bincang juga hal itu sebagai isu-isu berbangkit," katanya.

Tambah beliau lagi isu politik wang yang melibatkan beberapa pemimpin Umno yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan turut dibincangkan.

Mubarak: Halusi semangat Umno, bukannya mansuh sayap

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mahu Umno melihat kembali struktur parti serta semangat perjuangannya tanpa memansuhkan kesemua sayap partinya bagi membendung gejala politik wang.

Presidennya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, kepimpinan Umno seharusnya melihat dengan lebih dekat sayap Pemuda dan Puteri mengenai objektif penubuhannya yang bertujuan untuk memperkukuhkan parti.

"Apa yang penting barisan kepimpinan parti perlulah melihat secara mendalam setiap sayapnya dan pastikan mereka benar-benar faham mengenai perjuangan sebenar Umno," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kedua-dua Presiden dan Timbalan Presiden Umno telah pun menolak idea berkenaan semalam.

Jelas beliau, cadangan supaya memansuhkan sayap parti bagi mengelakkan gejala politik wang tidak perlu, sebaliknya usaha pemurnian dikalangan pemimpin di semua sayap perlu dilakukan.

"Hanya dengan usaha memastikan setiap pemimpin dalam Umno tahu dan faham perjuangan Umno, gejala tidak sihat termasuk politik wang dapat dielakkan.

"Bila mereka tahu, sudah pasti mereka tidak akan terlibat dengan politik wang dan akan berkhidmat dengan ikhlas dan jujur," katanya.

Tambah beliau, Umno memerlukan penyertaan golongan muda bagi menyediakan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.

"Mereka menyertai kepimpinan di peringkat sayap parti untuk belajar dan cari pengalaman bagi memimpin parti diperingkat induk kelak.

"Kita sememangnya memerlukan generasi pelapis, tapi kita perlu tanamkan tabiat yang baik diperingkat awal," katanya.

Abu Zahar berkata, pemimpin Umno di peringkat pusat perlu terus memastikan keprihatinan mereka terhadap pemimpin di peringkat sayap parti agar mereka tidak terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat sehingga terjebak dengan politik wang.

"Pemimpin senior tidak boleh terus putus hubungan dengan pemimpin muda, mereka perlu terus dididik," katanya.

Rangka dalam tangki najis wanita Malaysia

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Petah Wazzan Iskandar


KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang wanita rakyat Malaysia di Thailand sejak hampir setahun lalu, akhirnya terbongkar selepas rangka anggota badannya ditemui dalam tangki najis rumah sewanya di Ranong, kira-kira 300 kilometer dari Phuket.

A Fairos Ahmad Sulaiman, 37, dari Kampung Temong Hilir Enggor, Kuala Kangsar, dipercayai dibunuh manakala anak lelakinya, Johan Sebastiaan, 5, masih tidak dapat dikesan.

Mengikut laporan polis Ranong kepada peguam keluarga Fairos, rangka yang ditemui pada 10 Oktober lalu itu, disahkan sebagai Fairos berdasarkan ujian DNA oleh Institut Perubatan Forensik, Hospital Polis di Bangkok.

Keputusan ujian DNA yang dikeluarkan pada 26 November lalu, dimaklumkan kepada keluarga mangsa, baru-baru ini.

Polis Thailand juga mengesahkan suami mangsa, Mohd Lufti Abdullah @ Lambertus Den Dulk, seorang warga Belanda, yang disyaki suspek kes pembunuhan itu sudah meninggalkan Thailand dengan menaiki pesawat dari Bangkok ke Singapura.

Pihak berkuasa negara itu kini berusaha menjejaki suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Phuket.

Bagaimanapun, tiada rekod menunjukkan Johan dibawa keluar dari negara itu, tetapi ibu mangsa, Marthiah @ Saadiah Mat Piah, 63, mendakwa Mohd Lufti pernah menghubunginya dan memaklumkan Johan ada bersamanya di Belanda.

Fairos mengenali Mohd Lufti sewaktu bekerja Langkawi, sebelum mereka bernikah di Wilayah Satun, Thailand pada 22 Jun 2004 dan menetap di Ranong. Kehilangan mangsa dilaporkan oleh ibunya di Balai Polis Kuala Kangsar pada 17 Februari tahun lalu. Polis Ranong turut dimaklumkan mengenai kehilangan Fairos.

Marthiah ketika dihubungi berkata, Fairos yang mengajar bahasa Inggeris secara persendirian di Ranong, kali terakhir menghubunginya pada 8 November 2007.

"Dia menangis dan memaklumkan dipukul suami. Dia juga berkelakuan ganjil kerana memohon maaf dan meminta saya membuat laporan polis jika dia dan Johan tidak pulang ke Kuala Kangsar keesokan hari.

"Itulah perbualan terakhir kami dan selepas itu saya tidak lagi menerima panggilan daripadanya," katanya.

Marthiah berkata, seminggu selepas itu beliau menghubungi Mohd Lufti, tetapi menantunya sekadar menyebut nama 'Fairos' dan 'Malaysia' sebelum menyerahkan telefon kepada Johan yang hanya sempat menyebut perkataan 'oma'.

"Sebulan kemudian, Mohd Lufti menghubungi saya dan memaklumkan sudah membawa Johan ke Belanda. Dia memberitahu tidak boleh menunggu Fairos yang tidak kembali ke Thailand selepas pulang ke Malaysia.

"Bagaimanapun, saya terkejut apabila dihubungi polis Thailand pada 13 Oktober lalu yang memaklumkan mengenai penemuan rangka itu," katanya.

Marthiah berkata, beliau pergi ke Balai Polis Ranong untuk membuat padanan DNA pada 10 November lalu dengan ditemani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz serta dua peguam, Noraishah Shamsuddin dan Yasmin Mohd Ariff.

"Sebaik ditunjukkan rangka itu, naluri keibuan kuat menyatakan ia adalah Fairos. Saya juga dibawa ke rumah di mana rangka itu ditemui," katanya.

Sementara itu, Noraishah dari Noraishah Yasmin & Associates memberitahu Berita Harian,

kes itu hanya terbongkar selepas hampir setahun mangsa dibunuh kerana penutup tangki najis berkenaan disimen.