HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Januari 2009

4 isu dijangka jadi tumpuan mesyuarat MT Umno malam ini

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) Umno bermesyuarat malam ini dengan dijangka memberi tumpuan terhadap beberapa isu 'panas' semasa - antara lain perkembangan di Perak ekoran tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim keluar Barisan Nasional (BN).

Selain itu, ia juga dijangka membincangkan perkembangan kes politik wang.

Malah, mesyuarat kali ini juga dijangka membincangkan persiapan menjelang perhimpunan tahunan dan pemilihan pucuk pimpinan pusat Mac ini.

Selain itu, mesyuarat malam ini merupakan yang pertama sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu, yang menyaksikan Umno dan BN gagal mempertahankan kerusi tersebut.

Dalam pada itu, salah satu bahagian dalam Terengganu, Besut pula mencadangkan agar calon bagi jawatan Timbalan dan Naib Presiden Umno berkompromi bagi mengelak pertandingan.

Bahagian itu mahu pendekatan tersebut diambil bagi memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail mengesyorkan agar Umno disusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayapsayap parti, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mesyuarat bulanan MT Umno kali ini akan membincangkan mengenai pelbagai isu mengenai keadaan politik semasa.

Bagaimanapun beliau menafikan mesyuarat tersebut khusus bagi membincangkan mengenai tindakan Nasarudin menyertai Pakatan Rakyat berkuat kuasa Ahad lalu.

"MT adakan mesyuarat bulanan seperti biasa, bukan ada sebab-sebab tertentu atau kerana perkara-perkara tertentu.

"Tak ada apa yang boleh dibuat dengan ADUN Bota itu, mesyuarat ini bukan khusus bincangkan mengenai beliau," katanya kepada mStar Online.

Namun jelas Tengku Adnan, salah satu agenda pada mesyuarat tersebut akan turut membincangkan mengenai tindakan Nasarudin itu.

"Kita akan bincang juga hal itu sebagai isu-isu berbangkit," katanya.

Tambah beliau lagi isu politik wang yang melibatkan beberapa pemimpin Umno yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan turut dibincangkan.

"Isu politik wang juga akan disentuh, tunggulah nanti apa perkembangannya," katanya.

Mesyuarat MT dijadual bermula pukul 9 malam ini dengan dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tiada ulasan: