Mohd Rashidi Hassan
PESANAN Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat kepada pemimpin dan ahli-ahli PAS khususnya, supaya jangan sesekali berasa begitu 'gah' dengan kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut di Kuala Terengganu harus diinsafi.
Insya Allah, pemimpin dan ahli-ahli PAS tidak akan menjadi terlalu taksub dengan kemenangan, mereka menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah dan terima kasih kepada rakan-rakan KeADILan dan DAP, khususnya rakyat, yang memberi kepercayaan kepada PAS.
Seperti kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, kemenangan di KT bakal membuka jalan untuk PAS kembali menerajui Kerajaan Negeri Terengganu dan mahu kerjasama erat PAS, KeADILan dan DAP diperkukuhkan.
Apapun yang berlaku, kemenangan PAS di KT merupakan tamparan hebat kepada BN selepas wake-up call pada 8 Mac 2008 dan kemenangan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh Ogos 2008, gagal dibaca dengan baik oleh pemimpin Umno.
Hasil tulisan saya dalam Harakah edisi 1409 lepas dan dalam harakahdaily.net, banyak juga respon yang diterima sama ada dalam bentuk emel dan SMS, termasuk dari kalangan orang-orang Umno.
Tidak kurang juga yang mengakui, ada yang menyokong dan ada yang melepaskan geram, khususnya apabila saya menyentuh soal Ezam Mohd Nor. Kata penulis emel itu, beliau meluat membaca artikel saya yang disifatkannya sebagai 'tidak islamik' kerana menggunakan kata-kata kesat seperti 'barua' dan sebagainya.
Mereka ini tiada hujah, sekadar hendak memberitahu bahawa mereka adalah golongan yang sangat islamik seperti Ezam dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya.
Maka mereka mahu Harakah dan penulis-penulisnya menzahirkan diri sebagai kumpulan islam yang berhemah dari sudut percakapan dan penulisan. Hasrat ini diakui baiknya.
Pada saya tidak perlulah dijawab secara verbatim emel berstatus negatif yang diterima. Namun, tulisan yang ditujukan kepada Ezam, sesuai dengan 'gelagatnya' ketika di Permatang Pauh dan di KT baru-baru ini.
Jika dia menjadi 'musuh' yang berhemah, nescaya serangan balas yang bakal diterimanya, secara berhemah juga.
Tulisan asal saya mengenai Ezam, memang lagi keras, namun alhamdulillah, ada baiknya Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman membuat sedikit editing, bagi melembutkannya.
Saya tiada agenda peribadi dengan Ezam. Masalah beliau adalah 'dosanya kepada ummah'. Segala janji, sumpah atas nama Allah yang diikrarkannya dalam banyak ceramah bersama pemimpin PAS, telah dinodainya.
Begitu juga dengan segala kata nista, kecaman, maki hamun, malah ada juak-juak Ezam yang berceramah di pentas PAS di Taman Melewar, suatu ketika, 'mencarut' dalam ceramah. Semuanya itu mereka ibarat 'menjilat ludah sendiri.' Carilah dalam youtube.com, berlambak ceramah mereka (yang menghentam BN).
Tidak mengapalah, Ezam tidak lagi relevan untuk diperbincangkan. Yang penting sekarang inilah masalah yang dihadapi Umno-BN.
Buat kali pertama Utusan Malaysia, 21 Januari lepas, membuat pengakuan terbuka mengenai punca-punca yang menyebabkan calon sepopular Wan Farid Wan Salleh kalah di KT. Yang jelas dari pengakuan tersebut memberitahu Umno-BN bahawa mereka kalah kerana trend pengundi muda yang kekal menolak BN.
Jika Harakah yang mengkritik, mereka bolehlah ignore kerana datang dari parti lawan, malah yang datang dari akhbar milik Umno sendiri juga tidak diperdulikan.
Malah ada juga rakan-rakan Umno yang membuat pengakuan jujur mengapa BN tewas di KT.
Dalam SMSnya, beliau mencatatkan 11 sebab iaitu kerana, Pemimpin Umno KT tidak bersatu ; Kebanyakan pemimpin dan calon terlalu kurang mesra rakyat; Umno gagal keluarkan 95 peratus pengundi BN; Jentera BN Terengganu dan dari luar tidak bekerjasama, bekerja sendiri-sendiri dan tidak bersemangat; Pengundi perantauan BN tidak balik; Penyokong allahyarham Razali Ismail kecil hati dengan Umno; Pengundi bukan Melayu undi PAS; Calon PAS mesra rakyat walaupun tidak bawa pembangunan; Faktor Anwar Ibrahim; Pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat bersatu; Media utama keterlaluan menyokong BN, blog dan akhbar kecil sokong PAS; dan disebarkan kononnya BN beri wang, ramai pengundi yang tidak dapat marah, lalu tidak mengundi BN.
Apapun pandangan, pengakuan atau analisis, hakikatnya Umno-BN sekarang susah hendak diperbetulkan. Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain sudah semakin tidak relevan dan tidak diterima rakyat.
Masa depan rakyat bukan lagi bersama BN, tetapi Pakatan Rakyat._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan