HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Januari 2009

Lagi Adun Perak pasang niat keluar BN

Muda Mohd Noor


Selepas kejutan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, kini wakil rakyat Lintang pula Datuk Ahmad Fakeh Adam sedang menimbang untuk meninggalkan Umno "beberapa hari lagi".

"Ketika ini 50-50. (Niat) nak kekal (dalam Umno) dengan masuk pembangkang sama banyak.

"Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti pembangkang yang bakal disertainya jika meninggalkan BN.

Beliau menambah, ada pemimpin DAP ingin menawarkan jawatan menteri besar Perak tetapi "saya tahu itu gula-gula sahaja."

"(Tetapi) hati rasa hendak keluar (Umno). Kita (Adun) telah dipinggirkan.

"Kami seolah-olah tidak penting. Yang lebih penting sekarang ialah ketua Umno bahagian," katanya.

Ahmad Fakeh yang kalah bertanding jawatan ketua Umno bahagian Sungai Siput, Oktober lalu, berkata, ada beberapa Adun lagi yang tidak puas hati dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Beliau kalah kepada timbalannya Datuk Mohd Zulkifli Harun dalam pertandingan satu lawan satu jawatan tersebut.

Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Adun Kubu Gajah), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu) dan Hamidah Osman (Sungai Rapat) diura-urakan turut tidak berpuas hati.

Ahmad Fakeh bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka juga berhasrat untuk meninggalkan Umno dan menyertai parti pembangkang.

"Saya sudah membawa perkara ini dalam mesyuarat Umno Perak tetapi tiada tindakan yang diambil.

"Tetapi bila (Datuk) Nasharuddin Hashim (Adun Bota) keluar parti baru kelam-kabut, baru kami ini penting," katanya.

Ahmad Fakeh berkata, beliau kecewa kerana kerajaan pusat lambat memberi peruntukan kewangan walaupun wang sudah ada.

Sebaliknya, kata beliau, peringkat persekutuan begitu cepat meluluskan bantuan kepada ketua Umno bahagian.

Sebagai contoh, katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mudah memberikan bantuan kepada ketua bahagian walaupun mereka bukan wakil rakyat.

“Ini menjadi masalah kepada Adun yang tidak memegang jawatan ketua bahagian,” katanya lagi.

Bantuan tetap kerajaan pusat kepada setiap Adun ialah RM300,000 setahun, tidak termasuk peruntukan tambahan yang perlu dimohon, tambahnya.

Katanya lagi, seseorang Adun sukar membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya tanpa wang peruntukan tersebut.

Tiada ulasan: