BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jangan cetuskan provokasi atau timbulkan kekacauan.Demikian amaran Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar kepada mereka yang bercadang menyertai upacara pengkebumian A. Kugan hari ini, yang mati semasa ditahan di lokap balai polis Taipan, Subang pada 22 Januari lalu.
Beliau berkata mereka yang menyertai perarakan, dirancangkan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ke Bt 14, Puchong, jangan cetuskan sentimen perkauman yang boleh menimbulkan kejadian tidak diingini.
Orang nombor dua dalam pasukan polis itu juga menjanjikan tindakan keras terhadap "pencetus kekacauan" pada upacara itu, dijadualkan pada 2 petang.
"Saya benar-benar berharap perarakan itu berjalan dengan teratur mengikut agama Kugan. Polis menghormati keperluan keluarga si mati, maka kita benarkan perarakan dari PPUM ke krematorium di Bt 14 Puchong.
"Bagaimanapun, jika ada orang yang cuba melencongkan perarakan dan memulakan demonstrasi, maka kami akan bertindak. Jangan emosional dan tolong berhenti menyebarkan mesej tidak perlu yang tidak memberi faedah kepada sesiapa," kata beliau.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelaras mengenai siasatan ke atas kematian Kugan di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya. Turut hadir di mesyuarat itu ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Ismail berkata polis tidak menentang sebarang perarakan pengkebumian untuk Kugan dan menghormati permintaan keluarganya.
Beliau menasihatkan pihak tertentu jangan mengambil kesempatan dari perarakan itu untuk kepentingan mereka.
Kugan, ditahan pada 15 Januari kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta.
Beliau mati di balai berkenaan pada 22 Januari, semasa disoal siasat.
Kerana mengsyaki sesuatu yang tidak kena, keluarga Kugan meminta dijalankan bedah siasat kali kedua ke atas Kugan di PPUM.
Berikutan hasil bedah siasat itu, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, memerintahkan kes itu diklasifikasi sebagai kes bunuh.
Ditanya mengenai rancangan Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris) untuk berhimpun di PPUM hari ini untuk membantah perarakan itu, Ismail berkata: "Saya ingin tegaskan lagi, jangan ambil mudah".
"Kami telah tegaskan banyak kali, jangan cetuskan situasi haru biru. Sedialah hadapi undang-undang jika anda mahu melanggar undang-undang," ujarnya.
Ditanya sama ada pegawai polis tertentu ditugaskan atas kematian Kugan, beliau berkata polis akan menunggu arahan Peguam Negara sebelum bertindak.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah hari ini merayu kepada semua yang merancang perarakan besar-besaran dengan membawa kain rentang mengutuk perbuatan polis dalam kes tersebut menghentikannya serta-merta.
"Perarakan tersebut harus dielakkan memandangkan kerajaan telah memenuhi semua permintaan keluarga mendiang termasuk membenarkan keluarga mendiang membuat postmortem kali kedua," katanya.
Katanya semua pihak harus menghormati undang-undang negara, mengikut nasihat polis dan perlu sabar menunggu hasil siasatan polis yang sedang berjalan. "Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Peguam Negara telah berjanji tiada "cover up" (selindung) dalam kes ini dan rakyat perlu yakin dan percaya kepada kerajaan kita yang telus dan tegas dalam menegakkan keadilan," tambah Murugiah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan