HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2009

Kempen Kita Bersaudara dapat sambutan pelbagai kaum

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Kempen Kita Bersaudara terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia selepas dilancarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Sambutan Tahun Baru Hijrah pada 31 Disember 2008 lalu di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan.

Kempen anjuran Lajnah Penerangan dan Dakwah serta Lajnah Perpaduan Nasional, Dewan Muslimat PAS Pusat itu mensasarkan khusus untuk anggota Kelab Penyokong PAS serta seluruh rakyat Malaysia di seluruh negara tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi, selepas pelancaran, kempen itu meneruskan lagi acara sulungnya bertempat di pusat membeli belah KB Mall dengan program Rahsia 3C...Kita Bersaudara pada 1 Januari 2009 yang lepas.

Katanya, sasaran program Rahsia 3C...Kita Bersaudara khususnya kepada generasi muda dengan menampilkan pendekatan berhibur sambil menguji minda.

Tambah Aiman Athirah, selari dengan situasi semasa yang menuntut kepekaan semua pihak, Sekretariat Kempen Kita Bersaudara juga telah melebarkan solidaritinya dengan menerima pelawaan untuk turut serta dalam beberapa program berkaitan Isu Selamatkan Gaza (Palestin).

Ini termasuklah program Himpunan Aman "Rise For Gaza" yang dianjurkan oleh sebuah badan NGO, Aman Palestine pada 10 Januari 2009 bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam Selangor.

Justeru katanya, sekretariat Kempen Kita Bersaudara juga mengadakan jualan amal dan hasilnya dikumpulkan untuk membantu Misi Kemanusiaan Palestin.

"Kempen Kita Bersaudara juga telah mengiringi penghantaran Memorandum Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kepada Perdana Menteri pada 5 Januari 2009 yang menuntut agar satu sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan isu keganasan Israel di Gaza, Palestin.

"Sambutan baik juga jelas diberikan oleh semua ahli parlimen kepada kemunculan Kempen Kita Bersaudara ini," katanya dalam kenyataannya kepada Harakah.

Dalam pada itu katanya, Mood Kita Bersaudara juga telah mengiringi gerak kerja bagi membantu memenangkan calon PAS dalam PRK Kuala Terengganu. Sekretariat Kempen Kita Bersaudara telah membekalkan lebih 500 set bahan-bahan Kempen Kita Bersaudara untuk digunakan oleh para pimpinan dan petugas khususnya DAP dan keADILan.

Jelas Athirah, Kelab Penyokong PAS juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga sepanjang kempen serta merayu undi khususnya pada hari pembuangan undi dengan semangat "Nam Sagodarghel" (We Are Brothers) dan "Makkal Sakthi" (people's power). - mns_

Tiada ulasan: