HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Januari 2009

Pakatan mahu Suruhanjaya Diraja siasat kematian tahanan polis

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian suspek polis, A. Kugan ketika dalam tahanan Selasa lalu.

Beliau berkata, penubuhan suruhanjaya itu penting supaya siasatan secara terbuka dapat dijalankan terhadap kematian Kugan yang dilihat mencurigakan.

"Kita gesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian Kugan dan jenayah berterusan yang dilakukan oleh pasukan polis yang dilindungi oleh beberapa pegawai atasan polis.

"Ini juga bagi memulihkan imej dan kredibiliti polis dan menjaga nama baik pasukan polis di negara ini," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kematian Kugan, 22 yang mati secara mengejut dalam tahanan di Balai Polis USJ 8 pada pukul 11 pagi Selasa lalu setelah direman sejak minggu lalu kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah.

Kematian Kugan bagaimanapun telah menimbulkan syak wasangka di kalangan orang.

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh setelah melihat kertas siasatan dan gambar mayat Kugan.

Mengulas lanjut, Anwar turut mempersoalkan bagaimana Kugan yang disahkan bekerjasama dalam membantu siasatan kes samun kereta mewah itu boleh didera dan dibunuh ketika berada dalam tahanan polis.

"Adakah ini berkaitan dengan kepentingan sindiket penyeludupan kereta tersebut?

"Selain itu, bagaimana keputusan bedah siasat doktor yang didakwa telah disahkan adalah disebabkan paru-paru berair.

"Bagaimana pihak polis termasuk Ketua Polis Negara boleh mengetepikan sewenang-wenangnya semua maklumat seolah-olah cuba melindungi jenayah yang dilakukan," katanya.

Anwar berkata, isu kematian Kugan ini tidak harus dipandang sebagai isu perkauman kerana ia adalah isu yang melibatkan masyarakat di negara ini tanpa mengira kaum.

"Saya rayu kepada media dan rakyat untuk tidak menjadikan ini sebagai isu perkauman.

"Walapun suspek ini kurang penting dan tidak mempunyai latar belakang yang baik tetapi ia (pembunuhan) merupakan kesalahan yang cukup besar.

"Kita perlu membela nasib semua rakyat dan mempertahankan hak daripada perbuatan jenayah dan kezaliman," katanya.

Anwar berkata, beliau dan ahli-ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat tidak akan berdiam diri dan akan 'menggempur' sesi Parlimen akan datang sehingga Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa jenayah sedemikian tidak akan berulang.

Ditanya sama ada PKR akan bekerjasama dengan MIC dalam isu kematian kes Kugan, Anwar berkata, hal itu tidak akan berlaku memandangkan tiada pemimpin MIC yang mengikuti kes tersebut dari dekat sejak dua hari lalu.

Tiada ulasan: