HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Januari 2009

PKR Bandar Tun Razak cabar Gerak

SINAR HARIAN


BANDAR SRI PERMAISURI – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Bandar Tun Razak mencabar Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat laporan polis tentang salah guna kuasa pemimpin Barisan Nasional (BN) di Kuala Terengganu (KT) jika benar mereka peka dan telus dalam kes-kes penyelewengan yang berlaku seperti diperkatakan.

Ketua PKR Bahagian Bandar Tun Razak, Azman Abidin berkata, Gerak juga perlu berani mengambil tindakan penyelewengan yang berlaku di KT seperti dilakukan menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, kurang 12 jam selepas laporan Gerak pada 21 Januari lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) Selangor menyiasat pihak terlibat dalam pemberian lembu itu dan beliau berharap tidak berlaku ‘double standard’ dalam penyiasatan penyelewengan yang lain.

“Pihak PKR Bandar Tun Razak merasakan tindakan Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus adalah perkara memalukan.

“Ini kerana dia tidak dapat membezakan amalan pemberian lembu sempena Aidiladha itu satu sedekah dengan amalan politik wang diamalkan parti tertentu,” katanya.

Beliau mendakwa, tindakan Gerak itu sengaja mencari salah Ahli Parlimen itu memandangkan Khalid juga merupakan menteri besar dan ada sesetengah pihak mencemburui kejayaan pimpinan PR yang mentadbir Selangor.

Azman berkata, beliau menafikan pemberian lembu disampaikan Khalid itu salah guna kuasa Ahli Parlimen tersebut kerana permohonan sumbangan adalah daripada pihaknya sendiri.

“Saya dan beberapa ajk (ahli jawatankuasa) bahagian sendiri yang memohon daripada anak syarikat kerajaan negeri memberikan sumbangan seperti mana yang sering mereka lakukan,” katanya pada sidang media diadakan.

Sementara itu, Setiausaha PKR Bahagian Bandar Tun Razak, Ishak Hamzah berkata, pemberian lembu menjelang Aidiladha adalah dengan niat murni, yang mana memberi manfaat kepada masyarakat, selain ramai juga warga Bandar Tun Razak adalah anak Selangor.

Beliau mendakwa, tindakan Gerak menunjukkan seperti ada pihak yang mendalanginya kerana banyak lagi kes korupsi yang berlaku dalam badan-badan dan parti lain dan bukannya dengan membangkitkan isu amal kebajikan itu.

“Apa yang disumbangkan pada hari itu adalah berbentuk jihad Islam untuk umat seagama menikmati bersama masyarakat setempat. Soal sedekah ini tidak wajar ditimbulkan,” katanya.

Tiada ulasan: