HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Januari 2009

Pak Lah, Najib tolak syor mansuh sayap parti atasi rasuah politik

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI 5 PETANG]


KUALA LUMPUR: Presiden dan Timbalan Presiden Umno menolak cadangan supaya semua sayap parti itu dimansuhkan walaupun perubahan struktur itu dikatakan boleh membendung gejala politik wang yang semakin serius.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ketiga-tiga sayap parti iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah penting kepada Umno dan perlu dikekalkan.

"Masalah yang ada hubung kait dengan poltik wang boleh diatasi dengan pendekatan-pendekaan yang lain.

"Itu pandangan Tengku Ahmad Rithaudeen. Pada saya adalah penting bagi Umno mengekalkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kerana masalah yang ada hubung kait dengan politik wang boleh diatasi dengan pendekatan yang lain.

"Pihak Umno dan pimpinan merasai masalah yang timbul itu. Kita akan cadangkan langkah kurangkan poltik wang tetapi bukan dengan cara bubar," katanya ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Lembaga Displin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail semalam agar struktur Umno disusun semula dengan membubarkan kesemua sayap parti bagi membanteras gejala politik wang.

Abdullah berkata, beliau memahami kehendak dengan cadangan itu kerana dengan tidak banyak jawatan yang dipertandingkan, maka "kuranglah politik wang."

"Tapi tak boleh sampai hapuskan badan-badan ini. Tak payahlah ini dijadikan satu polemik," katanya.

KOMEN NAJIB

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, perubahan struktur melalui kaedah pemansuhan sayap parti adalah satu tindakan drastik dan akan memberikan kesan yang begitu besar kepada usaha untuk memupuk pemimpin pelapis.

"Buat masa ini, kita tak bercadang mansuhkan.

"Kita tak boleh ketepikan peluang untuk pemimpin Pemuda, Wanita dan Puteri untuk tonjolkan bakat kepimpinan mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Ahmad Rithauddeen bahawa terlalu banyak proses pemilihan dalam struktur Umno hingga boleh menyumbang kepada gejala politik wang, beliau berkata: "Soal kaedah pemilihan boleh difikirkan."

Tambah beliau, Umno perlu memantapkan kaedah penguatkuasaan bagi membendung gejala politik wang.

"Kalau masalahnya ialah politik wang, kita mesti memperkukuhkan penguatkuasaan kita untuk membanterasnya iaitu bukan sahaja dari segi tindakan, malah dari segi pengukuhan nilai, budaya dalam umno.

"Maknanya proses pengukuhan mesti berjalan seiring dengan soal penguatkuasaan," katanya.

Najib juga berkata perubahan struktur dengan memansuhkan sayap parti belum sampai pada masanya kerana ia akan memberi kesan yang begitu besar kerana selama ini Umno memainkan peranan penting dalam usaha menyediakan generasi muda untuk menerajui parti itu pada masa hadapan.

"Kalau mereka tidak diberi peluang untuk memimpin, maka kita tidak boleh bangunkan pemimpin baru," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, kesemua sayap parti itu merupakan pelengkap kepada struktur kepimpinan dalaman Umno.

"Struktur Umno telah lama wujud dengan sayap Pemuda dan Wanita diwujudkan pada peringkat awal.

"Kedua-dua sayap ini memainkan peranan penting dalam parti dan kemudian Puteri pula diwujudkan beberapa tahun lepas, ini adalah satu struktur yang lengkap," katanya.

Tiada ulasan: