HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Januari 2009

Timbalan Ketua Menteri Sarawak tidak tanding pilihan raya negeri

BERNAMA


KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan mengesahkan beliau tidak berhasrat untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau yang dipegangnya sejak 1983 pada pilihan raya negeri akan datang.

Beliau, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, berkata setakat ini beberapa pemimpin muda dalam SUPP telah dikenal pasti untuk menggantikan tempatnya sebagai calon ADUN di Piasau pada pilihan raya negeri yang akan diadakan selewat-lewatnya tahun 2011.

"Ya (tidak akan bertanding), perkara ini telahpun saya katakan sebelum ini termasuk kepada pihak media (akhbar Cina)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka SUPP sempena Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Katanya, SUPP akan memberi tumpuan untuk memperkukuhkan semula parti tersebut termasuk membimbing lebih banyak pemimpin muda dalam parti yang dapat bekerjasama rapat dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Dr Chan, 73 tahun, pernah menjadi Anggota Parlimen Lambir pada 1982 sebelum menjadi Adun Miri bermula 1983 dan 1987, kemudian sebagai Adun Piasau (sebelum itu dikenali DUN-Miri) pada 1991, 1996, 2001 dan 2006.

Mengulas isu perletakan jawatan Datuk Dr Soon Choon Teck sebagai Timbalan Setiausaha Publisiti, beliau berkata, ia tidak seharusnya diperbesarkan kerana agenda yang lebih penting dalam SUPP ketika ini adalah untuk membawa semua ahli dalam parti untuk kekal bersatu.

Katanya, selepas sambutan Tahun Baru Cina ini, SUPP dijangka akan menampilkan beberapa muka baru yang akan bergerak dalam satu pasukan untuk memperkukuhkan lagi BN di Sarawak.

"Tunggu selepas Tahun Baru Cina ini, kita ada barisan yang baru selain beberapa orang lama untuk membimbing parti," katanya.

Jumaat lepas, Dr Soon, yang juga Timbalan Menteri Perumahan Sarawak, telah mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Timbalan Setiausaha Publisiti SUPP yang dipegangnya sejak 1991.

Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sim Kheng Hui ketika ditemui berkata, keputusan rasmi berhubung perletakan jawatan Dr Soon hanya akan diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) selepas sambutan Tahun Baru Cina ini.

1 ulasan: