HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Januari 2009

Bagaimana sepatutnya Pak Lah, Najib, Khairy 'bertaubat'?

Fahri Abdullah al-Masri


Sejurus selepas keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diumumkan, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaludin berkata, bukan faktor calon yang menyebabkan kekalahan itu.

Tambah menantu Abdullah Ahmad Badawi itu, hal kekalahan itu juga bukan disebabkan oleh kelemahan Umno, sebaliknya berpunca daripada banyak faktor lain. Dan Khairy syorkan agar segala faktor itu dibedah siasat dan diatasi segera.

Katanya, kegagalan BN mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berpunca daripada gelombang besar penolakan rakyat ke atas parti juga tidak tepat kerana Wan Ahmad Farid masih mendapat sokongan lebih daripada 30,000 pengundi.

"..kena muhasabah diri, kaji semula kempen, pendekatan kita termasuk iklim politik tanah air sendiri sampailah kepada isu-isu tempatan. Ini boleh menjadi satu pengalaman yang baik kepada kita kalau .." demikian kata Khairy setelah taktik beliau mengguna isu hudud dalam debat bersama Husam Musa sebelum ini tidak membuahkan hasil.

Khairy bekas pelajar luar negara. Beliau mesti bijak dalam hal-ehwal menganalisa data. Mustahil ketika membuat tesis disertasi di Oxford beliau tak pernah tahu tentang tatacara melakukan soal selidik. Ada sampel lebih 30,000 pengundi yang mengundi Wan Ahmad Farid. Beliau boleh mulakan kaji selidiknya daripada situ.

Kalau beliau bijak, ambillah peruntukan Umno untuk cetak kertas soal selidik dan agihkan kepada para pengundi. Lihat dan kaji kenapa hal itu boleh berlaku. Khairy perlu bertanggungjawab kerana beliau antara yang terawal menyusun onar dalam isu hudud sebelum ini sehingga isu itu memanjang diperkatakan di media.

Khairy boleh berkata macam-macam dan mengulas apa saja berhubung isu kekalahan BN di Kuala Terengganu. Tapi, Khairy bukan Tuhan. Dia tidak pernah tahu apakah faktor pendorong yang menyebabkan ahli-ahli Umno beralih-arah dan telah hilang keyakinan kepada Umno. Jadi, Khairy mesti turun menyiasat!

Mungkin, inilah cara yang sepatutnya Umno lakukan untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar insaf dan mahu bertaubat nasuha! Berikan tugas khas ini kepada Khairy dan biarlah dia melaporkan kegagalan ini secara terbuka dalam Mesyuarat Agung Umno pada Mac kelak.

Percubaan Tun Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir juga mengulas berhubung kejadian kekalahan ini. Menurut beliau, calon itu tak sesuai, walhal sebelum ini beliau tidak menyentuh apa-apa pun darihal kekurangan Wan Ahmad Farid. Mahathir juga tak menyatakan Najib sebagai penyumbang kepada faktor kekalahan baru-baru ini.

Tetapi, akhir-akhir ini, beliau menulis di blognya mengenai kesilapan Abdullah dan Umno pula.

"..bagi sesetengah ahli Umno pilihan raya ini penting, itu adalah pendapat mereka. Bagi saya pilihan raya kecil ini penting kepada Umno jika ahli-ahli dan pemimpinnya dapat faham dan mengambil iktibar dari keputusannya. Saya tidak yakin mereka akan faham. Mereka akan nafi segala kesalahan mereka seperti dengan prestasi buruk pilihan raya Mac 2008," kata Mahathir.

Tetapi, merujuk kenyataan Najib, Muhyiddin dan beberapa pimpinan Umno yang lain, nampaknya mereka sedar juga tentang kesilapan mereka ini. Sepertinya, mereka insaf dan mahu 'bertaubat nasuha' di atas segalanya.

Semua orang boleh insaf, menyesal dan bertaubat. Tetapi, yang membezakan antara mereka, adakah mereka akan menebus hal kesilapan itu melalui tindakan, amalan. Sekadar melontarkan bicara bahawa mereka sudah insaf, kesal dan bertaubat, hal itu sesiapa pun boleh menyebutnya.

Najib solat tahajud

"Abang pernah tengok Najib bersolat sunat tahajud sekitar jam 4 pagi. Ini berlaku di depan mata abang sendiri," begitu kata seorang aktivis Umno kepada saya. Dahulunya beliau adalah pimpinan pemuda Pas di Kelantan. Lantaran kecewa, dia akhirnya masuk Umno.

Barangkali, di dalam satu program kerohanian anjurannya, beliau pernah melihat Najib bersolat tahajud di depan matanya sendiri. Najib tentu pernah tadarus al-Quran juga. Khatam atau tidak, itu soal lain. Tapi, apakah bentuk tindakan yang seharusnya Najib lakukan bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar insaf dan mahu menebus kesilapannya.

Tadarus al-Quran dan solat tahajud mungkin bukan bukti bahawa seseorang itu bertaubat. Boleh jadi dalam doa bertahajud itu termuat doa supaya hajat mendapat komisen kapal selam menjadi kenyataan. Air mata mengalir, tertumpah di atas kain sejadah, mungkin itu adalah air mata gembira kerana berhasil mendapat projek-projek mega.

Rakyat bukan mahu melihat kata-kata Najib seperti yang tersiar di media sebelum ini, bahawa kita perlu melihat di mana kelemahan kita, mengkaji di mana silapnya. Yang rakyat mahu lihat ialah, adakah Najib mahu berterus-terang berhubung isu pembunuhan Altantuya sebagai bukti bahawa Najib benar-benar kesal dengan semua yang dilakukannya sebelum ini.

Saya yakin, jika Najib boleh solat sunat tahajud, Abdullah mesti mampu bersolat sunat tasbih; solat sunat yang panjang sebagai kaedah menghapuskan dosa-dosa dalam pemerintahan. Tetapi, rakyat mahu lihat tindakan yang membuktikan Abdullah benar-benar kesal terhadap dosanya sebelum ini. Solat tasbih cuma membuang dosa dengan Tuhan, tetapi tidak dosa kepada rakyat.

Maka, solat tahajud Najib, terawih dan solat tasbih Abdullah Ahmad Badawi tidak menunjukkan keinsafan mendalam ke atas dosa-dosa pemerintahan mereka sebelum ini.

Percayalah bahawa solat tahajud dan solat tasbih Abdullah tidak menghapuskan dosa menahan orang tanpa bicara; ISA dan dosa menyusahkan guru-guru, pensyarah-pensyarah dan khasnya murid-murid yang terbeban dengan PPSMI.

Pemimpin Umno masih lagi berfikir bahawa puasa mereka, solat tahajud, solat tasbih, dan solat taubat mereka akan dapat membebaskan mereka daripada dosa pemerintahan ke atas rakyat.

Walhal, kalau kita boleh masuk syurga, tetapi masih berhutang dengan orang-ramai, maka langkah ke syurga itu tersekat. Demikian juga seorang syuhadak tidak dapat menjamah bau syurga sekiranya hutang-hutang kepada manusia belum terlunas!

Akhirul kalam.. Rakyat bukan mahu dengar lafaz kata-kata bahawa pemimpin kita sudah insaf dan mahu bertaubat nasuha. Tapi mereka mahu melihat apakah tindakan para pemimpin Umno yang membuktikan bahawa mereka benar-benar bertaubat.

Dan, demi sesungguhnya, hal ini tidak akan dapat sesekali dilakukan oleh Najib, Abdullah dan menantunya Khairy.

Tiada ulasan: