HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2009

Wanita KeADILan gesa amalan diskriminasi gender dihentikan

SUARA KEADILAN ONLINE


KETUA Wanita KeADILan Zuraida Kamaruddin menggesa Perdana Menteri, Abdullah Badawi untuk mengarahkan kesemua peringkat pentadbiran negara, khususnya Kementerian Pelajaran agar menghapuskan dengan serta-merta segala amalan diskriminasi gender bagi mengotakan komitmen beliau untuk menamatkan ketidakadilan yang berunsurkan gender.

Amalan diskriminasi ini telah didedahkan beliau dalam satu kenyataan yang diterima Suara Keadilan berikutan seorang wanita yang memohon jawatan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) telah dinafikan hak untuk diambil bekerja hanya kerana beliau sedang hamil.

“Insiden sedemikian mengukuhkan pengamatan bahawa gender mainstreaming di Malaysia terus gagal. Kegagalan itu telah meneruskan diskriminasi terhadap sebahagaian wanita di negara ini,” katanya.

Menurutnya, Perlembagaan mengenai pemberian hak kepada warganegara tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau gender (Perlembagaan Malaysia, Perkara 8[2]) hanya berupa tulisan-tulisan di atas kertas yang tidak memberi sebarang perlindungan yang bermakna kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya.

Tambahnya, lebih memburukkan adalah bilamana pelaku terhadap pelanggaran hak perlindungan itu ialah pihak agensi kerajaan sendiri, Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi Pejabat Pelajaran Daerahnya (PPD). Kerajaan sememangnya tidak acuh dalam meratakan pengetahuan dan penghayatan kesensitifan gender di kalangan masyarakat dan dalam pentadbiran kerajaan.

Sebagai pendandatangan kepada UN Convention for the Elimination of All Forms of Discrimination against Women, Malaysia, menurutnya selama ini telah dicanangkan sebagai komited dalam menghormati hak wanita Malaysia

” Perkara 11 dalam Konvensyen tersebut menuntut setiap negara agar mengambil segala langkah ke arah menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita dalam bidang pekerjaan bagi memastikan keadilan sebagai hak asasi sejagat untuk semua manusia berlaku,” katanya lagi dalam kenyataan bertarikh 28 Januari yang lalu.

Dalam kes ini, Noorfadilla Ahmad Saikin telah ditawarkan sebagai guru di bawah skima GSTT sembilan hari selepas menghadiri temuduga berkenaan pada 2 Januari lalu. Beliau telah diminta hadir untuk mengambil butiran penempatan sekolah di PPD, Hulu Langat.

Menurut kenyataan berkenaan, sebaik sahaja diberitahu bahawa beliau sedang hamil tiga bulan, pegawai yang bertugas terus menyatakan bahawa pemohon yang hamil sepatutnya tidak boleh memohon GSTT.

“Tiada alasan yang logik dikemukakan dan tiada pula tercatat di mana-mana dokumen permohonan tentang syarat bahawa pemohon hamil tidak dibenarkan memohon pekerjaan tersebut. Jelas sebagaimana yang disebutkan oleh Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Lok Yim Pheng, bagi wanita yang dinafikan hak untuk diambil bekerja hanya kerana mereka sedang hamil adalah tidak adil, khususnya bagi mereka yang benar-benar berminat dalam profesion perguruan,” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mempersoalkan kedudukan wanita

Soalnya, Mengapa ketidakadilan seperti ini tetap berulang dalam pentadbiran kerajaan? Kecuaian kerajaan BN dalam memastikan hak wanita terbela pada setiap ketika, tempat, masa, dan keadaan amatlah menghampakan.

Apakah Wanita Malaysia sekarang ini sentiasa boleh mengharapkan kerajaan Malaysia untuk memelihara dengan baik dan berkesan hak-hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan dan Undang-Undang serta Konvensyen Antarabangsa?

Tiada ulasan: